09 October 2007
Berdosa permainkan perkataan 'insya-Allah'
FIRMAN Allah bermaksud: "Wahai mereka yang beriman! Sempurnakan janji-janjimu,"- (surah al-Maid-ah, ayat 1). Ayat itu jelas bermaksud satu perintah agar setiap umat Islam mengotakan janji apabila membuat janji (berjanji). Janji bermaksud pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu. Kesediaan itu biasanya menetapkan tempoh akan melakukannya. Orang berjanji sebagai pihak pertama dan orang mengharapkan janji ditunaikan (dijanjikan) sebagai pihak kedua. Jika ada pihak menyaksikan perjanjian itu, ia dianggap pihak ketiga. Dalam urusan kehidupan seharian berjanji memang perkara biasa. Justeru, sikap sentiasa memegang janji (berusaha menunaikan janji) amat dipentingkan dalam ajaran Islam. la satu bentuk hubungan manusia dengan manusia. Dalam konteks membentuk hubungan yang baik, menunaikan janji adalah satu perkara amat penting.
Kepentingan menunaikan janji adalah asas membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan saling menghormati. Apabila membuat janji, bermakna sudah terbentuk satu tanggungjawab agar dilaksanakannya. Pihak kedua sudah pasti menanti agar janji itu dilaksanakan. Menunaikan janji bermakna pihak pertama menghormati pihak kedua yang mengharapkan janji itu ditunai. Sebab itu setiap kali janji dilaksanakan akan wujud satu perasaan lebih hormat, percaya dan yakin dalam meneruskan hubungan seterusnya. Ikatan janji biasanya mendatangkan keuntungan bagi kedua-dua pihak. Namun, dalam banyak kes ia lebih menguntungkan pihak kedua. Sebab itu, pihak kedua lebih berharap janji ditunaikan. Bahkan, jika janji tidak ditunaikan, banyak kesan buruk terpaksa ditanggung oleh pihak kedua.
Justeru, soal menunaikan janji tidak dipandang ringan oleh Islam. Sesiapa dengan sengaja tidak menunaikan janji melanggar suruhan Allah. Maka, bagi memastikan janji sentiasa diusahakan untuk ditunaikan, Islam meletakkan kesalahan tidak menunaikan janji sebagai dosa besar. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda Baginda yang bermaksud: "Barang siapa yang ada pada dirinya empat sifat ini, maka dia adalah seorang munafik sejati, iaitu apabila dipercayai nescaya dia mengkhianati, apabila berbicara dia berdusta, apabila membuat janji dia memungkirinya dan apabila bertengkar dia berlebih-lebihan. Dan barang siapa mempunyai satu daripada sifat itu, akan terus ada pada dirinya sifat munafik sehingga dia meninggalkannya." Sifat munafik bermakna pada zahirnya mengaku Islam, tetapi hakikatnya tidak beriman dengan sebenar-benarnya. Justeru, mereka yang sering tidak menunaikan janji bermakna tahap imannya masih terlalu lemah. Justeru, dalam banyak hal kepercayaan terhadap orang sering mungkir janji selalu diragui. Sebab itu, orang sering tidak menunaikan janji sanggup bersumpah menggunakan nama Allah ketika berjanji. Mereka mempermain-mainkan kalimah Allah semata-mata ingin menguatkan kepercayaan pihak kedua akan janji yang dibuatnya. Dia sanggup melakukan apa saja asalkan janjinya dipercayai.
Berjanji diharuskan kerana ia memberi peluang kedua-dua pihak menetapkan sesuatu untuk dilaksanakan pada masa akan datang. Sesuatu itu mungkin tidak mampu dilakukan serta merta atau lebih sesuai dilakukan pada masa akan datang. Sebab itu diadakan janji bahawa perkara itu akan dilakukan pada masa akan datang. Apabila berjanji, maka terbentuk satu hubungan antara dua pihak atau lebih dalam sesuatu hal yang dipersetujui. Dari segi undang-undang, janji dipanggil kontrak yang mengehendaki pihak terbabit mematuhinya. Bezanya, kontrak mesti dilakukan secara bertulis dan jika ingkar kandungan kontrak itu, ia boleh dibawa ke mahkamah untuk diadili melalui peruntukan undang-undang. Sesiapa saja boleh mengikat janji dengan pihak lain sama ada secara lisan ataupun bertulis, dengan niat benar-benar akan berusaha menunaikannya. Ditegah berjanji jika ada niat untuk memungkirinya.
Rasulullah pernah menunjukkan contoh baik dalam usaha menunaikan janji. Kisahnya, Baginda berjanji menemui seorang sahabat di satu tempat atas urusan tertentu. Maka, tepat pada masa dijanjikan, Rasulullah pergi ke tempat itu. Bagaimana pun, sahabat itu tidak datang tepat pada masanya seperti dijanjikan. Namun, Rasulullah terus menunggunya sehingga beberapa lama. Akhirnya, Baginda beredar meninggalkan tempat itu tanpa menemui sahabat yang ditunggu. Pada keesokannya, Baginda pergi sekali lagi ke tempat itu. Baginda berbuat demikian dengan anggapan mungkin sahabat itu terlupa pada hari semalam dan mungkin akan datang pada hari itu pula. Bagaimanapun, sahabat Rasulullah itu tetap juga tidak datang pada hari kedua itu. Demi menunaikan janji, pada hari ketiga sekali lagi Rasulullah ke tempat itu. Namun, sahabat itu tidak juga datang pada hari ketiga. Pada hari keempat, Rasulullah tidak lagi pergi menunggu sahabat di tempat yang dijanjikan.
Sikap Rasulullah itu membuktikan betapa pentingnya menunaikan janji, walaupun sudah melepasi masa dijanjikan. Jika difikirkan tentulah tidak perlu lagi Rasulullah pergi ke tempat dijanjikan kerana sudah melakukannya pada masa dijanjikan. Tujuan Rasulullah berbuat demikian untuk memberi peluang kepada sahabat menunaikan janjinya biarpun terlepas daripada masa sebenarnya. Berjanji memang mudah dilakukan. Dengan mengucapkan beberapa patah perkataan, tulisan atau pergerakan bahagian badan yang difahami, maka terbentuk dan terikatlah satu perjanjian. Janji hanya terbentuk jika pihak pertama menyebut kesediaan menunaikannya. Ada perjanjian ditentukan oleh pihak kedua. Contohnya seseorang 'dipaksa' melakukan sesuatu. Pihak pertama yang perlu melakukan perkara itu tidak pula menyatakan kesediaan, sebaliknya membantah. Dalam soal ini tidak wujud janji. Mana-mana janji mesti disanggupi untuk melakukannya oleh pihak pertama dan pihak kedua juga sanggup menerima (turut melakukan, setuju atau mengiakannya).
Ironinya, janji amat sukar untuk ditunaikan oleh mereka yang kurang Kesedaran dalam mematuhi perintah agama. Mereka menganggap janji sekadar hubungan sesama manusia. Justeru, mereka melihat perkara itu berkara biasa. Perkara ini terutama dilakukan oleh orang lebih berkuasa terhadap pihak kedua. Pangkat, kedudukan dan kekayaan dijadikan 'kuasa' membuat janji. Pada fikiran mereka, kalaupun tidak melaksanakan janji itu, pihak kedua tidak dapat melakukan apa-apa perkara yang boleh mendatangkan kesan buruk. Sebab itu, ramai orang menabur janji tanpa memikirkan kemampuan menunaikan. Bahkan ramai berjanji 'kosong' atau tidak berniat menunaikannya. Janji dilakukan sekadar untuk menyedapkan hati pihak kedua. Disebabkan terlampau mudah, ada membuat janji sehingga berpuluh-puluh dan mungkin beratus kali dalam sehari. Apabila terlalu banyak berjanji, ia mudah dilupakan atau tidak mampu menunaikannya. Amalan banyak berjanji perlu dihentikan, jika dirasakan tidak mampu menunaikannya. Berjanjilah jika yakin mampu menunaikannya. Kemudian terserahlah kepada izin Allah sama ada benar-benar dapat ditunaikan atau tidak.
Perbuatan berjanji dan tidak menunaikannya bukan saja berdosa, tetapi juga merugikan diri sendiri. Sekali terkena, orang lain akan berhati-hati kemudiannya. Jika kerap mungkir janji, orang lain tidak mempercayainya lagi, walaupun benar-benar berjanji ingin ditunaikan tidak dinafikan manusia tidak dapat memastikan apakah berupaya menunaikan janji. Ketentuan mengenai apa yang akan berlaku pada masa akan datang hanya Allah mengetahuinya. Manusia hanya merancang, sedangkan Allah menentukannya. Justeru, kita digalakkan menggunakan perkataan 'Insya-Allah' apabila membuat janji. Maksud perkataan Insya-Allah ialah 'dengan izin Allah' yakni segala apa yang akan berlaku hanya berjaya jika diizinkan oleh Allah. Malangnya, ramai menggunakan perkataan Insya-Allah dengan niat tidak ikhlas atau menyalahgunakannya. Perkataan itu digunakan bagi mengambil hati dan meyakinkan orang lain bahawa akan ditunaikan jika diizinkan Allah, sedangkan di dalam hati sudah berkata tidak mahu menunaikannya. Perkataan Insya-Allah juga sering digunakan untuk menunjukkan bahawa dirinya seorang Islam sejati yang patut dipercayai janjinya. Sebabnya, seorang Islam pasti berusaha menunaikan janji. Perkataan insya-Allah tidak boleh dipermain-mainkan. Mereka yang sengaja menggunakan kalimah suci semata-mata untuk memerangkap orang lain melakukan satu dosa besar. Maka bertambah satu lagi dosa, selain tidak menunaikan janji itu.
Mereka yang tidak menunaikan janji disebabkan terlupa atau tidak mampu menunaikannya tidak dianggap berdosa. Hukum Islam tidak meletakkan kesalahan kepada mereka yang terlupa atau tidak mampu melaksanakannya. Terlupa atau tidak mampu menunaikan janji yang mulanya dirasakan dapat ditunaikan, baru menepati maksud Insya-Allah sebenarnya. Kegagalan menunaikan janji memberi kesan tidak menyenangkan hati atau keburukan kepada orang lain. Oleh itu, adalah wajar orang yang tidak dapat menunaikan janji memohon maaf dan menjelaskan keadaan sebenarnya secepat mungkin. Memohon maaf sebagai tanda menyatakan kekesalan atas kegagalan menunaikan janji itu akan menyebabkan orang yang itu merasa dirinya tidak dipermain-mainkan.
01:23 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)