Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 November 2008

Anak peneroka diutamakan ke kolej matrikulasi

KUALA TERENGGANU 2 Nov. - Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar dan anak-anak peneroka untuk kemasukan ke kolej-kolej matrikulasi di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismai berkata, langkah itu bertujuan mengimbangi jurang pendidikan di kalangan pelajar kawasan bandar dan luar bandar.

Menurut beliau, kementerian mendapat kerjasama yang baik daripada Felda bagi memastikan anak- anak peneroka yang berkelayakan diberi tempat dalam kolej tersebut untuk menyambung pelajaran mereka.

''Kementerian menyasarkan seramai 40,000 pelajar kolej matrikulasi menjelang tahun 2010,'' katanya selepas menyampaikan ceramah motivasi kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini hari ini.

Katanya, pelajar-pelajar itu merupakan bakal tenaga mahir yang akan memberi daya saing dalam bidang profesional terutama perubatan, farmasi dan kejuruteraan.

Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu memberitahu, bagi menampung kemasukan pelajar terbabit, tiga buah kolej matrikulasi baru akan dibina di Terengganu, Kelantan dan Sabah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurut beliau, setakat ini terdapat sembilan Kolej Matrikulasi di seluruh negara yang menampung hampir 24,000 pelajar.

Beliau menambah, bagi memantapkan pengajian dan pembelajaran, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran setakat ini telah menghantar 90 tenaga akademiknya ke luar negara terutama ke United Kingdom bagi mengikuti latihan dan kursus dalam bidang sains serta teknologi.

Selain itu katanya, kementerian juga menghantar pelajar ke negara sama untuk mengikuti kursus pengajaran iaitu membabitkan 18 pelajar sesi 2005/2006, sesi 2006/2007 (12 orang) dan sesi 2007/2008 (50 orang).

''Kesemua pelajar ini akan diserapkan sebagai tenaga pengajar atau pensyarah di Kolej Matrikulasi seluruh negara setelah tamat mengikuti kursus tersebut,'' ujar beliau.

Timbalan Menteri itu berkata, kementerian turut mengadakan kerjasama dengan Felda melalui Program Tuisyen Sains dan Matematik yang dimulakan di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM.

Menurutnya, sehingga kini kira-kira 60,000 anak peneroka telah mendapat kemudahan tersebut dan prestasi yang ditunjukkan oleh pusat tuisyen itu amat memberangsangkan.

''Felda telah membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk memastikan anak-anak peneroka terus mendapat pendidikan yang terbaik,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia 3/11/2008

03:45 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)