Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2006

Gagal ke Universiti Bukan Noktah

SETIAP manusia mempunyai impian dan cita-cita tersendiri yang ingin dicapai. Begitujugadengan pelajar, pasti mempunyai impian masing-masing. Namun demikian, hanya usaha dan ketentuan Tuhan yang mampu mengubah nasib seseorang. Sungguhpun demikian, setiap pelajar mempunyai tahap pencapaian dalam pelajaran yang berbeza-beza, sama ada cemerlang, sederhana ataupun lemah. Sementara itu, adajuga pelajar yang gagal, terutama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional (SPMV) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sehubungan dengan hal itu, pelajar yang mendapat keputusan yang sangat cemerlang, misalnya mendapat 10A atau lebih dalam peperiksaan SPM, lebih mudah untuk mendapat tempat bagi melanjutkan pelajaran ke pe-ringkat prauniversiti atau matrikulasidi institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam atau di luar negara. Kejayaan yang diperoleh pasti menggembirakan pelajar serta individu yang berada di sekeliling, terutama ibu bapa mereka.
Walau bagaimanapun, pelajar yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan atau gagal janganlah beranggapan bahawa masa hadapan mereka sudah kabur atau hancur ke-rana kegagalan dalam peperiksaan tersebut. Setiap apa-apa yang berlaku pasti ada hikmah sebaliknya.
Pelajar yang diuji seperti ini hams lebih tabah dalam mengharungi segala ujian. Setiap kejayaan yang ingin dicapai pasti akan terselit ujian dan dugaannya. Hal ini demikian kerana tidak akan terasa manisnya sesebuah kejayaan tanpa mengharungi cabaran sebelumnya.
Sungguhpun demikian, sebenarnya banyak cara yang dapat dilakukan oleh pelajar untuk menebus kekurangan dan kegagalan yang dialami. Bagi pelajar yang gagal mendapat tempat di universiti atau sederhana keputusan peperiksaannya, mereka bolehlah memohon untuk

memasuki maktab perguruan, sekiranya berminat dan berkecenderungan dalam bidang pendidikan. Sekiranya pelajar ingin menceburi bidang ini, pelajar perlu memas-tikan bahawa pelajar benar-benar berminat dengan ker-jaya tersebut. Hal ini bagi memastikan tiada pelajar yang menjadikan bidang perguruan sebagai pilihan terakhir. Kerjaya sebagai pendidik merupakan kerjaya yang amat mulia dalam membangunkan sumber tenaga manusia agar menepati matlamat negara. Namun demikian, sekiranya pelajar kurang berminat untuk menjadi pendidik, hanya mengharapkan sekadar "ada kerja" dan menerima gaji setiap bulan, maka pelajar telah menganiayai anak bangsa sendiri dengan sikap sebegini.
Sementara itu, bagi pelajar yang cenderung kepada bidang teknikal dan kemahiran, Kementerian Pengajian Tinggi melalui lebih 15 politeknik ada menawarkan pel-bagai pengajian di peringkat sijil dan diploma. Lebih daripada 30 kolej komuniti diwujudkan di seluruh negara yang menawarkan pengajian di peringkat sijil. Sungguhpun demikian, pemilihan pengajian haruslah sesuai dengan minat dan kelayakan akademik pelajar.
Di samping itu, pelajar boleh juga mengikuti pengajian di peringkat prauniversiti atau diploma sama ada di universiti ataupun di kolej swasta yang kini berjumlah lebih daripada 500 buah di negara kita. Universiti dan kolej tersebut ada menawarkan pelbagai bidang pengajian yang mungkin ber-sesuaian dengan minat dan kelulusan pelajar.
Walau bagaimanapun, pelajar perlu membuat pilihan yang tepat apabila melibatkan tempat pengajian di beber-apa kolej swasta. Hal ini kerana ada sebilangan institusi yang tidak menepati piawaian pengajian yang ditetapkan dan hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata. Kolej sedemikian, kadangkala mengenakan yuran pengajian yang tinggi, tetapi kurang mempunyai kemudahan untuk pemelajaran. Terdapatjugakes sijil atau diploma yang ditawarkan tidak diiktiraf oleh kerajaan dan hal ini menjejaskan masa hadapan pelajar sendiri. Sehubungan dengan hal itu, pelajar perlu berhati-hati semasa memilih tempat pengajian agar wang yang dibayar setimpal dengan kelulusan yang akan diperoleh.
Bagi pemegang sijil SPM, pelajar boleh juga meneruskan pengajian ke tingkatan enam dan seterusnya menduduki peperiksaan STPM. Peperiksaan STPM juga ialah satu jalan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Pelajar boleh juga menduduki peperiksaan SPM semula sekiranya pelajar berasa kurang berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh. Janganlah ada perasaan malu dalam diri pelajar untuk mengambil peperiksaan semula. Pelajar perlu memikirkan bahawa keputusan yang diambil adalah untuk kecemerlangan masa hadapan pelajar.
Sekali gagal bukan bermakna akan gagal seterusnya. Mungkin pelajar akan memperoleh keputusan yang jauh lebih cemerlang sekiranya mengulang peperiksaan tersebut. Ketepikan soal malu dalam hal ini kerana yang paling penting ialah masa hadapan. Dalam situasi ini, pelajar boleh mendaftar di jabatan pendidikan negeri masing-masing untuk mengulang peperiksaan SPM. Kegagalan masa lalu pasti akan dapat ditebus jika pelajar belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan menjadikan kegagalan lalu sebagai pengajaran.
Pilihan atau cadangan yang dinyatakan di atas sebenar-nya ialah peluang untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti awam atau swasta. Hal ini kerana satu dari-pada syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi di Malaysia adalah dengan mengambil kira kelulusan di peringkat sijil atau diploma, di samping pengalaman bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan kursus yang dimohon bagi pengajian ijazah pertama.
Selain itu, pelajar yang berminat dengan ilmu kemahiran, mereka boleh memohon untuk memasuki institusi latihan kemahiran anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menawarkan pel-bagai kursus kemahiran sama ada di peringkat sijil ataupun diploma. Terdapat juga kursus jangka pendek yang boleh diikuti oleh pelajar. Dengan berbekalkan sijil kemahiran tersebut, pelajar lepasan institusi latihan kemahiran mudah mencari atau memperoleh pekerjaan dalam bidang yang berkaitan dengan kelulusan pelajar.
Bagi pelajar yang meminati bidang keusahawanan pula, mereka boleh memohon untuk mengikuti kursus atau program keusahawanan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU). Minat dan keazaman yang mendalam mampu membawa pelajar menjadi seorang usahawan yang berjaya pada masa hadapan.

Pelajar harus berani untuk menceburi bidang pemiagaan. Pelajar harus mencontohi individu yang berjaya dalam bidang ini. Sekiranya pelajar mempunyai minat dan cita-cita untuk berjaya dalam bidang pemiagaan, pelajar perlu mempunyai ilmu tentangnya. Maklumat dan ilmu yang berkaitan dengan bidang keusahawanan amat penting sebagai persediaan bagi menceburi dunia pemiagaan.
"Sekiranya takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai". Bidang keusahawanan ialah bidang yang mampu memberikan pendapatan yang lumayan sekiranya diuruskan dengan bijak. Dengan jumlah penganggur-an dalam kalangan siswazah yang semakin tinggi kini, maka bidang ini mampu memberikan alternatif bagi individu yang suka akan cabaran. Jangan takut untuk mencuba sesuatu kerana mungkin pelajar sendiri tidak mengetahui potensi sebenar dalam bidang ini.
Bagi memperoleh maklumat dan peluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi atau pusat latihan kemahiran dalam bidang yang diminati, pelajar boleh mendapatkannya melalui akhbar atau melayari laman web universiti atau institusi tersebut di internet. Pelajar harus rajin membaca akhbar dan melayari internet bagi mendapatkan maklumat terkini tentang sesuatu perkara. Jangan menggunakan kemudahan ini untuk melayari laman web yang tidak mendatangkan faedah kepada diri pelajar.
Sehubungan dengan hal itu, pelajar mempunyai banyak peluang dan pilihan untuk difikirkan dalam menentukan kerjaya dan masa hadapan masing-masing, tanpa mengira sama ada individu itu memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang ataupun sebaliknya. Yang paling penting ialah usaha tanpa mengenal erti putus asa dalam mencorakkan masa hadapan.
Walaupun terdapat sebilangan pelajar yang tidak berpeluang melangkah ke menara gading seperti pelajar yang cemerlang, pelajar tetap mempunyai haluan lain yang dapat dicapai asalkan mengetahui cara untuk merebut peluang yang berada di hadapan mata. Sekiranya pelajar ma-sih mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, syabas diucapkan. Yang penting, pelajar perlu berusaha lebih tekun agar impian untuk menjadi individu yang berjaya dalam pelajaran akan terlaksana, walaupun mengambil masa. Sesungguhnya, kejayaan masa hadapan pelajar bergantung pada hasil usaha dan keputusan yang dibuat pada hari ini.

Sumber: Pelita Bahasa Mac 2006

09:15 | Permalink