Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2006

Menghargai ruang dan peluang

Oleh: Esa b. Abd Samad

INGATAN kita sudah tentu masih segar terhadap bencana alam yang pertama kali melanda negara ini, iaitu ombak besar Tsunami. Ombak besar Tsunami telah mengakibatkan kehilangan lebih 150,000 nyawa di beberapa negara Asia apabila ombak itu melanda pantai kawasan pesisir pantai di beberapa negara Asia pada 26 Disember, 2004. Kemusnahan, keperitan hidup, kematian dilaporkan berlaku di serata tempat sehingga sukar diungkap dengan kata-kata.
Kepada remaja-remaja yang terlibat dalam bencana ini, mungkin belum terlalu terlewat untuk penulis merakamkan ucapan takziah dan merafakkan simpati yang tidak terhingga. Penulis amat terharu dan sebak apabila melihat golongan remaja yang masih di bangku sekolah, dilanda kesedihan dek kehilangan bukan sahaja ahli keluarga, malah persiapan sekolah seperti buku-buku teks, pakaian, dan sebagainya yang baru sahaja dibeli, namun sudah musnah akibat bencana alam yang dahsyat itu.
Bagi remaja lain yang tidak terlibat dalam bencana, jadikan bencana yang melanda sebagai iktibar yang tidak terhingga nilainya. Iktibar yang penulis maksudkan ialah iktibar dan pengajaran dari segi ruang dan peluang.
Ruang, bermaksud kawasan lapang. Misalnya ruang tamu merujuk kepada kawasan lapang di rumah kita untuk dijadikan kawasan tetamu bersembang dengan kita. Peluang pula ialah kesempatan. Misalnya, kesempatan untuk hidup, kesempatan untuk mencari rezeki dan berusaha.
Dalam hal kehidupan, ruang dan peluang bererti nikmat kelapangan dan kesempatan yang dianugerahi oleh Allah kepada kita untuk menjalani kehidupan. Antara nikmat kelapangan dan kesempatan itu termasuklah:
- Nikmat hidup
- Nikmat sihat
- Nikmat mempunyai keluarga
- Nikmat mempunyai kekayaan
- Nikmat mempunyai kelapangan masa
- Nikmat menjadi muda remaja.
Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda yang bermaksud, rebutlah lima sebelum
lima iaitu hidup sebelum mati, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit dan muda sebelum tua. Ingatan baginda itu disebabkan manusia selalu alpa dengan kesenangan dan kemewahan.
Berapa ramaikah antara anda yang benar-benar bersyukur dengan nikmat yang diberi dan menggunakan nikmat diberi secara bermanfaat, sebelum nikmat itu direnggut sekelip mata?
Jika anda mengambil iktibar daripada bencana Tsunami, anda harus ingat bahawa nikmat ruang dan peluang kurniaan-Nya boleh pergi sekelip mata. Harus diingat bahawa mangsa-mangsa tsunami langsung tidak menduga bahawa bencana itu menimpa mereka sekelip mata. Ketika sedang asyik menikmati keindahan pantai, menangkap ikan-ikan di tepi pantai, mandi-manda di laut ataupun mungkin ada yang sedang asyik menonton TV, tiba-tiba sahaja ombak setinggi pokok kelapa menderu menghempas pantai dan memusnahkan segala nikmat yang diraih sebelum ini.
Oleh itu, ingatlah bahawa walau apa pun anda lakukan pada saat dan tika ini, nikmat yang anda rasai sekarang boleh ditarik pada bila-bila masa. Jadi, sementara nikmat itu masih anda rasai, sementara ruang dan peluang masih ada, gunakannya dengan sepenuh hati untuk meraih kejayaan dan mencari keredaan Allah s.w.t.
Amat malang jika remaja tidak menggunakan ruang dan peluang yang dianugerahi Allah dengan bijaksana dan penuh kesyukuran. Misalnya, diberi nikmat masa lapang, anda gunakan sepenuhnya untuk berhibur dan berlibur tanpa batasan. Diberi nikmat muda remaja, anda gunakan untuk bersantai puas-puas dengan alasan - muda hanya sekali. Diberi nikmat sihat, anda gunakan untuk berlumba haram, melakukan maksiat dan noda tanpa mengenal batas.
Jika ruang dan peluang sudah tiada, yang tinggal hanyalah tangisan. Misalnya, ada seorang remaja yang mengambil keputusan PMR dengan perasaan yang sebak, menangis teresak-esak kerana keputusannya amat mengecewakan. Tangisan anaknya itu disahut oleh bapanya; "engkau menangis air mata darah pun tidak berguna lagi."
Menangis selepas kehilangan ruang dan peluang tidak berguna lagi. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Dalam konteks remaja di atas, tangisannya amat bererti jika itu dilakukannya setahun sebelum PMR. Tangisannya dijadikannya tekad untuknya menerokai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
Penulis juga pernah bertemu dengan seorang pelajar yang lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta, selepas dia terbabit dalam perlumbaan haram. Dia menangis, dia menyesal dan dia kecewa dengan tindakannya. Namun apakan daya, kini hidupnya bergantung kepada belas ihsan orang lain dan bantuan ibu bapanya untuk memapahnya ke sana dan ke mari.
Alangkah baiknya jika pelajar ini menyesal sebelum dia terlibat dalam perlumbaan haram. Alangkah baiknya jika dia beringat sebelum terkena. Misalnya mungkin dia boleh menggunakan nikmat sihat yang diraihnya atau nikmat kemampuan memiliki dan menunggang kenderaan dengan belajar bersungguh-sungguh, meminjam buku di pusat sumber atau menghadiri kelas tuisyen.
Oleh itu, jika anda menatap berita-berita menyedihkan seperti bencana tsunami, renung-renungkan pula pada diri anda. Sejauh manakah aku mensyukuri nikmat Allah sebelum segalanya ditarik-balik?

Sumber: Dewan Siswa Mac 2005

09:35 | Permalink