09 January 2006
Suram Mentari
Seorang pelajar sekolah menengah sains di daerah ini meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tiga."
Tumpuannya tersentak mendengar berita melalui corong radio.
"Pelajar tingkatan tiga tersebut dikatakan sedang membuat uji kaji Sains, didapati tergelincir, sebelum menjunam jatuh ke tingkat bawah".
Dia bangun untuk menambah volume radio berkenaan. Namun langkahnya tersasar. Tangannya menyambar gelas kaca yang kosong di atas mejanya. Pang! Berderai kaca memenuhi ruang lantai simen.
"Macam mana tahap keselamatan sekolah sekarang ni," rungut hati kecilnya. Kemudian dia keluar untuk mendapatkan penyapu untuk membersihkan serpihan kaca yang bertaburan.
"...bin Zakaria, 15,dipercayai meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan tulang belakang." Suara pembaca berita di radio itu tersekat-sekat kerana siaran yang tidak jelas. Pendengarannya juga terganggu dek deruman enjin lori balak yang sibuk keluar masuk di kawasan itu.
Selesai membersihkan serpihan kaca tadi, dia bersandar di kerusi.
"Bah, kenapa abah tak cari kerja lain aje?" bicara anak tunggalnya pada suatu hari dengan mulut berisi kentang goreng.
"Cari kerja sekarang, tak sama dengan cari kerja dulu," cuba memberi kefahaman kepada anaknya.
"Sebab itulah abah nak Yie belajar bersungguh-sungguh, dapat gred cemerlang dan dapat kerja yang boleh menjamin Yie, serta boleh sara abah.
Tak macam abah ni, yang terpaksa kerja teruk kerana tak ada pendidikan tinggi," begitulah penjelasannya setiap kali diajukan soalan yang sama.
Tuk!Tuk!Tuk!
Dia tersentak. Hampir sahaja bingkai gambar anaknya itu menerima nasib yang sama seperti gelas kaca tadi.
"Masuk."
"Ini peta kawasan yang encik minta tadi," hulur Hamdan, pembantu projeknya.
"Terima kasih, pukul dua setengah nanti awak standby," dia membelek jam ditangan.
"Baiklah, encik."
Seketika kemudian, tangannya rneraba poket.Telefonnya berdering. Sayup-sayup kedengaran suara seorang wanita memberikan salam.
"Waalaikumussalam," dia menjawab salam.
"Encik Zakaria, saya dari... ada... sa... berita... kepada encik," suara wanita yang memperkenalkan diri sebagai Puan Jamilah itu tersekat-sekat.
"Er... er... puan, liputan tak berapa jelas... boleh ulang sekali lagi?" dahinya berkerut cuba menangkap butir kata suara di hujung talian itu.
Tut... tut... tut...
Kawasan hutan yang didiaminya sejak empat hari lalu itu sememangnya serba kekurangan. Hinggakan dirinya sendiri terpaksa berteduh di dalam kontena yang telah diubahsuai, dengan satu ruang untuk melakukan tugas-tugasnya, dan satu ruang lagi sebagai tempat menguruskan kehidupan peribadinya.
Hatinya mula dipagut kebimbangan. Teringat kata orang tua-tua, sekiranya pecah barang kaca, selalunya ia adalah alamat yang tidak baik. Setengah jam perjalanan, berpandukan peta yang dibekalkan, mereka tiba di suatu kawasan hutan tebal yang masih belum terusik. Dia mentafsirkan kira-kira sepuluh hektar keluasannya. Pohon-pohon meranti, cengal, dan bermacam-macam jenis kayu-kayan menjadi tatapan mata mereka berempat.
"Bila kerja penebangan akan di mulakan, encik?" Hamdan memulakan bicaranya.
"Menurut kata Datuk, secepat mungkin. Tempahan semakin tinggi sekarang ini," dia meneliti batang balak yang setiap satunya sebesar dua pemeluk orang dewasa.
"Hamdan, awak pastikan semuanya berjalan lancar. Kawasan yang lama tu, dah hampir terang, saya nak kawasan ini mula ditebang selewat-lewatnya lusa, boleh?" dia mengarahkan pembantunya.
"Baiklah, encik." Malamnya, dia bersama dengan tiga orang pembantunya ke pekan yang berdekatan untuk mendapatkan
bekalan makanan.
Tepat jam sembilan malam.tiba-tiba dia teringat akan panggilan yang diterimanya siang tadi.
Mujurlah liputan agak memberangsangkan. Jelas kedengaran suara wanita yang sama menjawab salamnya.
Puk! Telefon terhempas menimpa meja batu. Terketar-ketar bibirnya. Kelopak matanya bergenang.
"Innalillah..." Tubuhnya tersandar lemah. Hamdan dan dua lagi pembantunya kehairanan.
Dia tidak mempedulikan orang di sekelilingnya. Pandangannya kabur. Dalam separuh sedar, dia menekan-nekan punat telefon.
"Hello, polis, saya..."
"Eh! Apa yang encik Zakaria buat ini?" Hamdan dan rakannya mula gelisah. Mereka mula angkat punggung.
"Jom, lari cepat!" mereka bertempiaran lari meninggalkan insan yang sedang meratap kesedihan.
Sejurus kemudian, berlalulah seorang lelaki yang gagal pada dirinya, untuk menjadi seorang hamba kepada I Tuhannya, seorang ayah kepada i zuriatnya, dan seorang rakyat kepada negaranya.
Bertemankan kegelapan, dia kini bertafakur di sebalik tembok penjara menghadapi hukuman di atas segala keikhlafan, sebagai pelakon di pementasan dunia, dek kerana hambatan nafsu haloba. Moga dengan suram mentari akan mencuci dosanya yang lalu.
"Yie, ampunkan abah, nak... moga kau tenang di sana... amin."
MOHD HAIRI ZAKARIA
SM Saujana, Setiu, Terengganu
14:50 | Permalink