Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

19 January 2006

Ramadan tuntut Muslim muhasabah diri

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

‘Tawaran istimewa’ perangsang umat rebut ganjaran tiada pada bulan lain.

RAMADAN akan menjelang dan umat Islam pasti menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Tidak kurang pula, ada sebahagian umat Islam yang mengeluh dan merungut kehadiran Ramadan yang menuntut setiap Muslim melaksanakan kewajipan berpuasa padanya yang dianggapnya sebagai satu beban baginya. Begitulah pelbagai ragam kehidupan umat Islam sempena kedatangan Ramadan yang penuh berkat.

Hadirnya Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim yang bertakwa kepada Allah. Ia kerana Ramadan yang bakal menjelang menjanjikan pelbagai keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda disediakan Allah kepada Muslim yang benar-benar bertakwa kepada-Nya. Ramadan menuntut setiap Muslim merenung dan bermuhasabah diri persediaan dan amalan yang sepatutnya dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ramadan.

Muhasabah terhadap persediaan ini amat penting kerana Ramadan hanya datang sekali setahun, tambah pula apakah setiap Muslim menyakini bahawa dia akan terus bernyawa pada Ramadan akan datang. Biarlah pada Ramadan kali ini, seseorang Muslim dapat melaksanakan yang terbaik sepanjang bulan mulia ini sebelum ditakdirkan bertemu menghadap Allah pada bila-bila masa.

Di samping itu, seorang Muslim yang bijaksana di sisi Allah adalah seorang yang akan memanfaatkan segala kelebihan dan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim ialah persediaan jasmani dan rohani. Ia kerana amalan ibadat sepanjang Ramadan yang berkaitan dengan amalan zahir dan batin membabitkan penyertaan jasmani dan rohani setiap Muslim.

Oleh sebab itulah, kita melihat Rasulullah SAW membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.

Begitulah persiapan orang Mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya sehingga mereka mempersiapkan diri bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi dari sudut rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati mereka sebelum menyambut Ramadan supaya hati mereka sudah bersedia untuk menerima cahaya Allah, rahmat-Nya dan kurnia-Nya yang tidak terhingga.

Seorang ahli hikmat pernah berkata: Sesungguhnya Rejab adalah bulan untuk memohon ampun daripada segala dosa. Syaaban pula untuk memperbaiki hati daripada segala kecacatan dan Ramadan bagi memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Setiap Muslim juga dituntut mengulang kaji segala persoalan yang berkaitan dengan masalah ibadat puasa, baik mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah yang terkandung di dalamnya.

Kesempurnaan ibadat puasa dan penerimaannya di sisi Allah amat bergantung kepada cara pelaksanaannya sama ada berdasarkan sunnah Rasulullah SAW atau sebaliknya. Malah, mengetahui cara melakukan ibadat puasa dengan betul adalah antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat itu kepada umat Islam.

Ketika menjalani ibadat puasa, setiap Muslim diwajibkan berusaha mengekang diri daripada segala kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa. Ia kerana matlamat utama puasa ialah menahan diri daripada segala runtunan hawa nafsu duniawi baik yang kecil mahupun besar, sama ada berkaitan dengan nikmat jasmani seperti makan, minum dan seks atau penyakit rohani seperti mengumpat, dengki, sombong dan seumpamanya.

Seiringan itu, setiap Muslim seharusnya memperbanyakkan amalan salih pada malam harinya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, solat witir, solat tahajud, tadarus al-Quran, iktikaf dan sebagainya. Pada siangnya, kegiatan seorang Muslim hanya bertumpu pada melaksanakan ibadah wajib iaitu puasa, maka pada malam harinya pula dia mengumpul segala kekuatan yang sedia ada untuk melaksanakan ibadat sunat anjuran Islam. Bukankah Allah sudah menjanjikan pahala satu amalan wajib pada Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain.

Sepatutnya ‘tawaran istimewa’ yang Allah sediakan pada Ramadan ini menjadi perangsang bagi Muslim yang bertakwa untuk merebut ganjaran berlipat ganda dan tidak ada pada bulan lain.

Seterusnya, seorang Muslim sejati akan tetap melaksanakan kegiatan sehariannya seperti biasa tanpa sebarang keuzuran atau pengecualian. Ibadat puasa tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi seseorang Muslim untuk melakukan kerja sehariannya ikhlas kerana Allah. Perlu ditegaskan bahawa sebarang kegiatan dan kerja seharian jika diniatkan ikhlas kerana Allah akan bernilai menjadi satu ibadat. Sedangkan semua amalan ibadat akan diberikan Allah ganjaran sehingga ratusan kali ganda. Untuk itu, mengapa perlu disia-siakan detik berharga yang menghiasi sepanjang Ramadan sehingga diisi dengan tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan yang Allah hamparkan sepanjang Ramadan ini.

Oleh itu, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, di samping persediaan sewajarnya supaya Ramadan yang bakal mendatang menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keredaan Ilahi juga. Perumpamaan Ramadan sama seperti kedatangan seorang tetamu besar yang datang bersama buah tangan atau hadiah khas kepada tuan rumah.

‘Keberkatan’ buah tangan atau hadiah itu tentunya hanya diberikan kepada tuan rumah yang menyambut kedatangannya dengan baik dan penuh ceria, bukannya dengan ala kadar. Begitulah juga Ramadan dengan pelbagai aneka keberkatan, kerahmatan dan keistimewaannya hanya dikurniakan kepada setiap Muslim bertakwa yang menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan pengisian amalan salih pada siang dan malamnya demi meraih keredaan Ilahi dan kenikmatan syurga di akhirat kelak.


PENULIS ialah Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Islam Universiti Darul Iman Malaysia, kampus Kusza Gong Badak, Terengganu.

Petikan: Berita Harian 19.9.06

08:05 | Permalink