Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

05 February 2006

Mengapa Islam mementingkan pendidikan untuk wanita

PADA suatu ketika dahulu golongan cendikiawan dan failasuf di barat berpendapat bahawa wanita itu adalah jenis manusia yang bersifat kurang, lemah dan hina serta tidak boleh disetarafkan dengan kaum lelaki, sehingga ramai ahli fikir mereka dan ketua-ketua masyarakat tidak membenarkan anak-anak perempuan diberi didikan atau pengajaran dalam berbagai ilmu pengetahuan.
Ramai ahli fikir di barat dahulu berpendapat bahawa wanita dijadikan hanya untuk berkhidmat kepada lelaki. Oleh itu umur wanita haruslah dihabiskan untuk membuat segala kerja yang diperlukan di dalam rumah, iaitu untuk melayan dan memenuhi keperluan suaminya bila ia telah kahwin dan kemudian untuk keperluan anak-anaknya bila ia telah mempunyai anak.
Pendapat orang di barat ini berubah dalam abad kedua puluh. Hari ini mereka memberi kebebasan kepada kaum wanitanya seperti kebebasan yang dinikmati oleh kaum lelaki.
Dalam istilah kebebasan yang mereka nikmati itu termasuk bebas bersuara, mencari ilmu, bekerja mencari rezki sendiri, memilih pasangan hidup, melakukan hubungan seks tanpa nikah dan berbagai perbuatan lagi yang dulunya dianggap sangat keji dan mencemar maruah diri dan nama baik keluarga.
Sebaliknya Islam sejak mula ia muncul lagi telah menyebarkan dasarnya yang jelas dan tegas mengenai wanita dalam segala bidang hidupnya, terutama dari segi pendidikan.
Dalam salah suatu hadithnya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Mempelajari ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan."
Dasar ini telah diletakkan oleh Islam sejak abad kemunculannya, iaitu sejak abad keenam Masihi, dan masih terpakai dan terus menjadi dasar pengajaran Islam hingga ke hari ini.
Alangkah jauhnya beza dasar ini dengan pendapat seorang ahli falsafah kemasyarakatan di Barat bernama Rosseau, yang diberikannya lama sesudah Nabi Muhammad wafat. Antara lain katanya:
"Wanita itu tidaklah dijadikan untuk ilmu pengetahuan, untuk hikmat, untuk berfikir, untuk mempunyai keahlian, untuk menjadi sarjana dan tidak pula untuk berpolitik atau untuk tugas negara, tetapi ia dijadikan hanya untuk menyusukan anak-anaknya dengan air susunya dan....."
Bahkan pendapat ini adalah pendapat ahli-ahli fikir antarabangsa mengenai taraf wanita dan segi pendidikan dan ilmu pengetahuan secara menyeluruh, kecuali pendapat ahli fikir Islam, berpandukan ajaran agama Islam yang maha suci.
Sebagai contoh, sehingga dalam abad kedua puluh ini masih terdapat adat yang memaksa seorang isteri mencampakkan dirinya ke dalam unggun api supaya ia mati terbakar bersama suaminya yang telah meninggal dunia, kerana isteri yang ditinggalkan akibat kematian suaminya dianggap tidak berhak hidup lagi.
Pandangan Islam terhadap wanita dan haknya untuk hidup dan maju dalam segala bidang untuk faedah dirinya sendiri, keluarga, anak-anak dan bangsanya adalah suatu hakikat yang diakui selaras dengan keperluan hidup bangsa manusia sendiri.
Kita sering diberitahu bahawa Allah menjadikan wanita dengan sifat-sifat kewanitaannya yang tersendiri, walaupun sifat istimewa itu tidaklah menjadikan wanita itu kurang harganya atau dianggap tidak sempurna sebagai manusia.
Anggapan seperti inilah pada zaman jahiliah dahulu yang mendorong orang-orang Arab tergamak menanam anak perempuan mereka kerana jenis perempuan dianggap kurang berguna, menyusahkan dan mungkin merugikan keluarga.
Tetapi Islam, di samping meletakkan wanita di tempatnya yang wajar sebagai manusia dan sebagai teman hidup di samping kaum lelaki, juga menghargai sifat 'kehalusan' dan 'ketajaman perasaan' wanita yang menjadikan ia paling layak memegang tugas pendidik, lebih dari kaum lelaki.
Sebab itulah, dari satu segi, wanita lebih penting diberi pengajaran atau pendidikan yang selengkapnya, kerana merekalah pendidik dan guru yang paling layak kepada anak-anaknya atau anak-anak bangsanya.
Bila seorang ibu itu jahil dari sebarang ilmu, buruk akhlaknya, cabul lidahnya dan jiwanya kosong dari nilai-nilai ajaran agama, lebih besar kemungkinan anak-anaknya juga akan senasib dengannya kelak.
Akibatnya, kejahilan ibu itu akan jadi milik turun temurun anak bangsanya.
Maka alangkah bahagianya suatu bangsa yang kaum wanitanya mendapat pendidikan yang lengkap, dan tinggi harga dirinya serta mulia akhlaknya, kerana dengan kehalusan sifatnya dan ketajaman perasaannya, seorang ibu yang demikian akan pasti memindahkan segala kebagusan yang ada padanya untuk diwarisi oleh anak-anaknya.
Dengan demikian tepatlah apa yang dikatakan oleh seorang pendita bangsa Arab:
"Wanita itu tiang negara, jika wanita baik, maka baiklah negara, dan jika wanita rusak, maka rusaklah negara."
Ada pula seorang failasuf Islam berkata:
"Bila pendidikan telah begitu lengkap bagi kaum wanita, biarlah kaum lelaki tidak begitu dipentingkan pendidikannya, kerana wanita-wanita itulah kelak akan mendidik kaum lelaki."
Seorang pendita Islam yang lain berkata:
"Jika kamu ingin mempunyai orang-orang lelaki yang menjadi pemimpin, menjadi pahlawan, hendaklah kamu beri didikan dan ilmu pengetahuan yang baik kepada kaum wanitamu."
Dan kata seorang pendita lain: "Jika kamu melihat seorang lelaki mencapai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi berkat amalannya yang halal; Tandanya ia mempunyai seorang isteri yang baik, dicintainya dan mencintainya."
Tetapi lama sebelum para failasuf dan pendita itu menyatakan semua itu mengenai wanita, Nabi Muhammad s.a.w. lebih dahulu telah bersabda:
"Sesungguhnya dunia ini perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan hidup di dunia ini ialah wanita yang salih."
Yang dimaksud dengan wanita salih ialah wanita yang berilmu, mengamalkan ilmunya, taat dan berbudi pekerti yang tinggi.

13:05 | Permalink