Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

26 March 2006

Keranamu Aida

Malam semakin merangkak tua. Aku melihat jam di atas mejaku menunjukkan pukul dua pagi. Aku mengeliat setelah hampir dua jam aku mengulang kaji pelajaranku. Aku menoleh ke belakang dan mendapati tiga orang rakan sebilikku sedang enak mengulit mimpi yang indah. Kemudian, aku mengemas mejaku untuk tidur. Tiba-tiba satu ' potret gambar terjatuh semasa aku mengeluarkan selimut daripada dalam almari. Aku mengambil potret gambar itu perlahan-lahan dan kutatap wajah dalam potret itu, Wajah itu merupakan satu-satunya wajah yang telah lama tidak kutemui. Aku mengusap-ngusap wajah tersebut.
"Aida, telah lama aku tidak menemui kau! Apa khabar kau?" Bisik hatiku sambil menatap potret itu. Aida merupakan sahabat baik aku di sekolah menengah. Kini dia berada jauh di perantauan, di universiti terkemuka di London. Aku membawa potret itu ke birai katil. Aku mengungkap kembali kenangan bersama Nur Aida binti Haikal.
Aku mengenali Aida ketika kami menginap di asrama Sek. Men. Langkasuka. Aida merupakan ketua pengawas manakala aku cuma penghuni biasa asrama itu. Aida sangat aktif di sekolah dan juga seorang yang peramah. Oleh itu tidak hairanlah jika dia terpilih sebagai ketua pengawas asrama kerana sifat kepimpinannya terserlah sejak tingkatan satu lagi. Aida juga mempunyai ramai sahabat di sekolah itu dan pernah memenangi pertandingan pidato. Dia juga bijak dalam pelajaran dan ini terbukti apabila setiap tahun dia berada di kelas teratas.
Aku pula seorang yang pendiam dan sentiasa merendah diri. Aku tidak mempunyai ramai sahabat di sekolah. Mungkin kerana sifat pendiam itu menyebabkan ramai orang menganggapku seorang yang sukar didekati. Aku juga kurang aktif dalam kegiatan sekolah. Walaupun aku tidak mempunyai ramai sahabat namun penghuni asrama tetap menerima aku sebagai kawan. Cuma aku jarang berbual dengan mereka. Aku juga bukanlah seorang yang bijak seperti Aida.
Setelah agak lama aku bersahabat dengan Aida, aku mendapati Aida boleh kujadikan sebagai sahabat baikku. Aku juga telah menyayangi Aida kerana dia selalu mengambil berat tentang diriku dan mengajar aku supaya menjadi seorang yang berani dan tidak terlalu merendahkan diri. Aida merupakan seorang yang berwawasan tinggi dan banyak memberi nasihat yang berguna kepada penghuni asrama.
Aida sering mengajar aku dalam subjek yang tidak kufahami. Walaupun ketika sedang sibuk, dia tetap mengambil peluang untuk mengajar aku. Dia juga sentiasa memberi dorongan kepada aku untuk belajar bersungguh-sungguh.Tambahan pula kami bakal menduduki peperiksaan SPM.
"Irna, aku teringin sangat nak melihat kau berjaya ke universiti," itulah ungkapan yang sering diluahkan oleh Aida ketika kami mengulang kaji pelajaran.
Sejak aku bersahabat dengan Aida, aku mendapati terdapat banyak perubahan dalam diriku. Aku menjadi lebih berani dan tidak terlalu merendah diri lagi. Prestasi pelajaranku juga semakin meningkat. Aku juga berasa sangat gembira bersama Aida yang telah kuanggap sebagai kakakku. Aku selalu meluahkan masalah aku kepadanya dan Aida tidak pernah jemu mendengar masalahku malah sedaya upaya memberi nasihat dan perangsang kepadaku. Setiap kali keputusan peperiksaan, aku akan memberitahu markahku kepada Aida dan begitu juga Aida. Apabila markahku lebih banyak daripada Aida, aku akan berasa sangat gembira namun sebaliknya terjadi apabila markahku kurang daripada Aida.
"Irna, baguslah markah kau. Aku rasa markah kau meningkat lagi. Nanti kau berusahalah lagi dan kau boleh dapat markah tinggi daripada aku," kata Aida setiap kali aku kecewa dengan markahku.
Aida merupakan seorang yang sangat sensitif. Dia mudah mengalir-kan air mata apabila seseorang telah melukakan hatinya. Telah beberapa kali aku melihatnya menangis namun dia tidak pernah memberitahu aku dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu aku melihatnya menangis. Sebagai seorang sahabat, aku sedaya upaya mendesaknya supaya memberitahu aku tentang masalahnya.
"Irna, aku sebenarnya tidak mahu membebankan kau dengan masalahku. Aku harap kau faham," kata Aida setiap kali aku menyoal tentang masalahnya. Aku agak terkilan dengan sikapnya itu namun kerana terlalu menyayanginya aku hanya mendiamkan diri dan berharap dia dapat menyelesaikan masalahnya.
"Baiklah, tapi sekiranya kau memerlukan aku, aku sedia membantu kau," kataku pula. Dia hanya mengangguk dan tersenyum.
Hari yang ditunggu-tunggu telah menjelma. Peperiksaan SPM telah bermula. Aku menjawab soalan peperiksaan dengan berhati-hati dan penuh keyakinan. Akhirnya perjuangan aku di sekolah menengah telah selesai dan ini bermakna perpisahan akan berlaku antara kami. Aku berasa sangat gembira kerana berjaya menjawab soalan dengan sempurna. Aku juga berasa sangat sedih kerana aku bakal kehilangan seoarang sahabat yang sangat baik.
"Irna, all the best! Kau jaga diri kau... Lepas tu aku harap kau berjaya dalam hidup kau," kata Aida sewaktu bersalaman denganku buat kali terakhir. Aku tidak mampu berbicara kerana begitu sebak. Kemudian kami berpelukan. Aku seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukan namun apakan daya, ibu bapaku telah lama menantiku.
Walaupun kami berjauhan namun kami masih lagi berhubung antara satu sama lain melalui telefon dan internet. Selepas tiga bulan, akhirnya keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Aida mendapat keputusan yang cemerlang manakala aku bersyukur walaupun aku tidak seperti Aida, namun keputusan aku juga baik. Aida berasa sangat gembira melihat keputusanku.
Berbekalkan keputusan Aida yang cemerlang, dia ditawarkan untuk belajar di universiti terkemuka di London. Sebelum itu, dia harus mengikuti kursus persediaan di Universiti Malaya selama satu tahun. Aku pula hanya ditawarkan belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja. Namun begitu aku berasa sangat gembira kerana dapat melaksanakan impian Aida dan juga aku untuk menjejakkan kaki ke universiti.
Kini telah empat tahun peristiwa itu berlaku. Aida telah lama berhijrah ke London. Aku pula masih berada di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam tahun akhir. Walaupun saat bersama Aida telah berakhir, namun kenangan bersamanya tetap tersimpan kemas dalam sanubariku. Walaupun di perantauan, Aida masih tetap mengirim khabarnya kepadaku danjuga bertanyakan tentang diriku. Memang Aida merupakan sahabat sejatiku.
Tiba-tiba aku tersentak dari lamunan apabila mendengar komputerku berbunyi yang menandakan bahawa aku mendapat e-mel baru. Aku segera membuka komputerku. Selepas membuka peti e-mel, terteralah e-mel daripada Aida...

MADIHA ABDRAHIM
Sg Petani, Kedah.

13:15 | Permalink