Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 April 2006

Latar Belakang Program Matrikulasi

Latar Belakang Program Matrikulasi

Program Matrikulasi merupakan satu program persediaan bagi pelajar Bumiputera untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama dalam bidang Sains Teknologi dan Perakaunan.

Program Pra-Universiti ini telah dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih 30 tahun yang lalu dengan cara dan corak pelaksanaan yang berbeza dan hasil dari program pra-universiti ini telah melahirkan banyak cendakiawan dan tenaga mahir dalam bidang profesional dan kritikal.

Langkah KPM mengambilalih Program Matrikulasi merupakan satu tindakan yang wajar bertujuan untuk menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan program tersebut. Pengambilalihan ini berlaku secara berperingkat dengan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil kumpulan pertama (Perintis) di kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan MRSM pada awal tahun 1999. Pelajar-pelajar ini telah ditempatkan di Kolej Yayasan Pelajaran Mara Bangi. Kolej Matrikulasi Melaka di Londang dan Kolej Matrikulasi Labuan telah membuat pengambilan pertama pada bulan Julai 1999. Kolej Matrikulasi Melaka dapat menampung 3000 orang pelajar, manakala Kolej Matrikulasi Labuan sejumlah 500 orang pelajar dengan menggunakan kampus sementara di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Tambahan 3 kolej telah mula beroperasi pada tahun 2000 iaitu Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan Kolej Matrikulasi Perlis. Pada sesi 2002/2003, kampus tetap Kolej Matrikulasi Labuan, Kolej Matrikulasi Perak dan Kolej Matrikulasi Johor telah membuat pengambilan yang pertama. Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Pahang pula mula beroperasi pada sesi 2003/2004.

Selain daripada 9 buah kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, 2 buah pusat / kolej lain yang turut mengendalikan program ini adalah Kolej MARA Kulim dan Kolej MARA Kuala Nerang.

Gagasan Penubuhan BMKPM bermula pada September 1998, untuk menyeragam dan menyelaras semua Program Matrikulasi/Asasi yang selama ini dikendalikan oleh IPTA. Objektif BMKPM selari dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang berwawasan, berakhlak mulia, berilmu dan berketrampilan demi memenuhi keperluan sumber tenaga manusia untuk kemajuan negara. BMKPM kini telah melangkah ke tahun ke-6 sejak penubuhannya dan telah membuat sebanyak 8 ambilan bermula tahun 1999 hingga tahun 2004.

Walaupun Program Matrikulasi dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, ini tidak bermakna peranan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak diperlukan lagi. Dari peringkat awal Bahagian Matrikulasi ditubuhkan sehingga kini, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan Program Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia berada di landasan dan hala tuju yang betul. IPTA terlibat secara langsung dengan penggubalan kurikulum program, penggubalan soalan peperiksaan, penaksiran soalan peperiksaan dan pemeriksaan kertas jawapan peperiksaan. Pengambilalihan Program Matrikulasi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tidak menjejaskan kuantiti dan kualiti pelajar bumiputera dan berorientasi untuk menyediakan pelajar yang lebih berdaya saing dan lebih beriltizam. KPM telah diberi tanggungjawab yang berat dalam usaha Kerajaan memperbanyakkan lagi lulusan Bumiputera yang layak mengikuti pengajian di peringkat Ijazah pertama khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi.



Maklumat Lanjut :
Bahagian Matrikulasi
Kementerian Pelajaran Malaysia

05:20 Posted in MAKLUMAT AM | Permalink