09 April 2006
Puisi Kaktus Batu
Aku Mahu Tidur
Lena nyenyak dalam impian murni
Igauan sendiri
Aku tidak peduli jika ada yang sinis
memerhati, berkata sangsi
mempersoal apa mahuku ini.
Aku tidak lagi
mahu mengerti
Selain dari apa
impiku ini.
Mungkin
aku sendiri telah alah
pada alam realiti.
Atau apakah
aku sudah muak dengan
segala hipokrasi, birokrasi dan
entah apa lagi dalam dunia ini
yang telah amat basi
Aku tidak lagi mahu tahu
Biarlah aku ketemui lenaku, mimpiku.
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Anak Nakal
Tingkahmu sememang mengisi jiwa
Tiap leretan senyum menghilang segala
Penat lelah jerih seharian bekerja
Untukmu sanggup ku perlaku segala
Asal saja kau kekal petah berkata
Tentang sayang dan cita mulia
Setiap kataku ada saja jawabmu
Kukata itu, kau kata begitu
Namun itu pendingin saljuku
Dalam hening kontang pondokku
Kau anakku penghias kalbu
Serasa indah segala pandangku
Anak nakal kau ratuku
Kau puteri kau nafasku
Moga sentiasa kau kekal sebegitu
Kalau kiranya masa berlalu
Kau terlupa asal usulmu
Doaku tetap kau selamat selalu
Kalau kelak kau berdosa padaku
Menghina lupa berkatku mendewasamu
Ketahuilah aku, tetap mengampunmu
Anak nakal kesumat jiwaku
Walau dikata kau buruk laku
Namun bagiku, kau tersempurna selalu.
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Bingkisan Buat Bonda
Kucari syurga di tapak kakimu
Yang penuh kematu, keras
Kering, bersisik
Bagai tunggul kayu
Kekadang dipandang tiada lalu.
Kaki itu yang melangkah saban hari
Tidak pernah disaluti sepatu
buat menghindar kuman dan luka
Setiap danau yang kau teroka
Apa di situ syurga menunggu?
Bertahun lama aku termangu
Khuatir dosa, aku membisu
Namun kekadang jiwa dan fikiran
Bergerutu ingin memberi tahu
Ada katamu yang tidak kusetuju
Bagaimana boleh aku perlaku
Untuk menunai apa yang wajib ke atasku
Tanpa menggadai apa inginku?
Mana satu perlu kuperdahulu
Apa engkau atau aku?
Walhal jawabannya aku tahu
Namun apa boleh dayaku
Menidak impian yang lama dicatu!
Aku tetap melangkah pergi
Dengan segak sepasang sepatu
Mencari apa yang kiraku jitu
Walau kau termenung sayu
Mengiring setiap hayun langkahku
Masa berganti bersilih waktu
Aku leka mengejar duniaku
Kakimu masih tebal kematu
Aku bangga pakai sepatu
Saban masa kau mengingatkan aku
Dalam warkah diolah jiranku
Kerana menulis tiada dayamu
Doamu mengiring mencekal aku
Agar aku terus maju
Kalau lapang jenguklah bondamu
Masakan kau faham apa perluku
Masih banyak yang wajib kutemu
Belum bisa aku menjengahmu
Sayang masa menipu aku
Hanyut aku dibelai saat berlalu
Terlupa lama bonda menunggu
Aku pulang bawa sepatu
Jenama terbaik untuk bondaku
Lumrah anak ketinggalan restu
Bonda tiada lagi menunggu
Kaki bonda memang tidak ingin bersepatu
Tinggallah aku menjinjing lesu
Hadiah yang kukira berharga tentu
Yang ingin kujadi banggaan bondaku
Kukucup kaki bonda yang kematu
Yang kini terasa lembut bak baldu
berharum kesturi menikam kalbu
Ampun bonda, dosaku terlalu
Apa mungkin diterima mohonku
Atau tahapku di sepatu nerakaMu..
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Haa Miim
Tujuh pintu, tujuh pagar
Tujuh ingatan penuh bingkisan
aku tidak mahu mati dua kali
aku tidak mahu
biarlah aku mati sekali dan hidup dua kali
seperti dijanji akan diberi
andai aku tiada mengengkari
aku butuh amat mendapat janji itu
itu janjiMu Yang Satu
tapi mengapa sedikit itu yang Kau tuntut
dariku masih tiada aku penuhi
mengapa bisikan syaitan, mengapa
badi Firaun lebih menebali diri ini?
dalam aku tahu, dalam aku sedar
dalam aku mencuba
aku masih
lalai.. alpa.. lupa. Tapi,
kekadang tidak juga lupa
kekadang tidak juga alpa
hanya mungkin suapan Iblis
terasyik kunikmati bagai halwa
dan kemudiannya.. hilang segala
dari ingatan untuk berusaha
meniti jambatan selebar seutas rambut itu!
gigil aku, ketar aku malam ini
bagaimana kalau sebentar lagi aku dijemput pergi
bagaimana kalau aku tidak diberi sesaat lagi
bagaimana kalau aku tidak lagi melihat mentari esok hari
malam ini aku akur
malam ini aku tafakur
moga malam, dan hari berikutnya..
aku tidak kufur
aku tidak lagi kufur
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Pergi (sebuah Sonata)
Izinkan aku berbicara
Kisah alam berlapik dunia
Cerita sang bayu mengejar bayangnya
Hikayat suria mencari nyalanya
Apa sudi kau tawa bersama
Dalam nestapa penglipur melara
Kerna tiada indahnya seloka
Kira tiada penyanjung nista
Beraja aku pencurang hiba
Syaitan membisik mengusap duka
Hingga dingin disiram tuba
Mengubat lemas dilambung gelora
Izinkan aku terus bernyawa
Kerna hidupku penyempurna semesta
Andai tiada teladan seumpama
Hilang segala impian tercipta
Kalau purnama bisa berbicara
Apa agaknya tutur dan kata
Saban malam aku bertanya
Namun purnama tiada menjawabnya
Kalau bintang bisa bertutur
Apa agaknya ayat diatur
Mungkin banyak yang ia menegur
tentang segala yang telah terlanjur
Kalau angin bisa berbisik
Apa suaranya indah menggersik
Atau mungkin ia merisik
Segala apa yang aku terusik
Kalau mentari bisa berkata
Apa terserlah segala sengketa
Atau mungkin pedihlah mata
Melihat dosa sealam semesta
Kalau nanti semua berkata
Apa ada yang baik belaka
Yang bakal saksi-saksi memperkata
Semasa dihitung segala nesta.
--------------------------------------------------------------------------------
Kalau Saksi Mula Berkata
Ke mana lagi mahu ku pergi
Andai kehadiranku tiada diingini
Kata malaikat di sebelah kiri
Hanya satu yang bakal menanti
Ke mana lagi harus kupergi
Untuk lari dari hati ini
Yang terlalu amat mengikat diri
Hingga tiada keruan lagi
Ke mana lagi boleh ku pergi
Agar dapat kuubat diri
Moga fana tiada kulewati
Dengar ketar tiada terperi
Ke mana lagi dapat ku pergi
Untuk membasuh hinaku ini
Apa cukup lautan kurenangi
Buat larutan mensuci diri
Ke mana lagi bakal kupergi
Sebelum Pergi, yang menjemput diri..
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Mohon Aku
Malu aku untuk mengaku
Apa keturunan baka lahirku
Kerana itu bakal menghina
Nenek moyang yang dulu ternama
Apa juangku, apa baktiku
Aku sendiri tidak tahu.
Ampun Ya Tuhan
Tidak selesai malah tiada mulanya lagi
Tugas dan amanah hambaMu ini
Sedangkan setiap saat nikmatMu aku perolehi.
Mungkin benar
Aku hamba tiada berbudi.
Walau tebal panas mukaku ini
Namun kupohon sekali lagi
Berikan aku sesaat lagi, seminit lagi dan kalau
Layak aku, sehari lagi
Untuk aku mencuba
Sekali lagi
Menjadi hambaMu yang bisa nanti
turut beratur di pintuMu walau di akhir sekali
barisan yang berterusan
bersama insan-insan, yang menginsafi kehidupan.
Mohon aku, walau kalau aku sendiri
Yang mempertimbangkan diriku
Mahu sahaja kuhalau aku
Kerana berani begitu memperlaku.
Tapi itu yang aku tahu, itu yang mampu olehku
Kerana Engkau Yang Maha Tahu
Apa batasan tahap bolehku
Kerana aku sendiri
Masih tidak lagi, dapat tahu.
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Pantun Rindu PadaMu
Ingin kujejak bumi terpilih
Namun ongkosnya tiada masih
Setiap lebaran Adha tersisih
Dari mereka yang mendapat kasih.
Qiblat menjadi pengubat rindu
Saban hari kumohon restu
Agar dosa tidak dipalu
Agar usaha mendapat imbuhMu
Saban hari ingin kuucapkan
Namun terasa diri kekerdilan
Walau sebanyak kata pujian
Serasa daif bila dilafazkan
Padamu kumohon Ya Illahi
Semoga sampai jua nanti
Impiku pergi menunai janji
Sebagai umat yang sedia mengabdi
Kiranya nanti tiada dayaku
Menunai janji mencapai hajatku
Ajal yang terdahulu menjemput daku
Usahlah kilan menyelubungi kuburku
Jika itu ketentuan nanti
Terimalah ibadahku moga Kau sudi
Tunaikanlah doa hambaMu ini
Moga ada yang dapat ditimbangi.
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Pepanji Lara
andai ku kibar pepanji jiwa,
apa ada yang bakal bersama,
berjuang, menegakkan.
andai tersanggah jatuh terkulai,
apa ada yang bakal mencapai,
melangkah, mengibar,
menegak si lara
atau apakah pepanji jiwa
hanya sekadar nesan dilupa
kibaran longlai dimakan masa
menunggu reput dimamah usia
tiada dihirau malah mergastua
sekadar penanda lara hina.
--------------------------------------------------------------------------------
Sempurnamu
Kalau ada yang pernah mengata
Sifat sempurna perlu bebasnya
Dari cacat mahupun cela
Segala tingkah laku terjaga
Dan tiada membawa lara,
Maka itu silapnya mereka
Kalau tidak masakan ada
Penghuni syurga mahupun neraka
Bagi insan makhluk biasa
Kerana sempurna memerlu kurangnya
Bagi menghitung tahap lengkapya
Bagi duka menjadi bahagia
Sempurna ini ada padamu
Gabungan erat lara dan lagu
Acuan marah, manja dan ayu.
Kalau ada yang pantas mencela
Tangkas menghina menyiram tuba
Usah dihirau rugi mereka
tidak menahu, menilai sempurna.
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Yang salah kamu, yang dosa aku?
Kau muncul lagi
Menyengih .di kaca televisyen
Memperkata lagi tentang janji
Dengan gaya penuh konfiden
Heh! Tidak malukah engkau
Tidak takutkah engkau akan apa yang telah sedia menanti
Tahukah engkau berat mana badi jika dikaji
Sebagai ketua engkau dikatakan menjadi
Bagaimana pula aku?
Aku takut aku pula yang terkaku
melihat gaya dan rentak helahmu
tanpa berbuat apa laku
untuk menegur, memperlihat kepadamu
Apa yang afdal, apa yang perlu
Aduh, apa menjadi dosa padaku
Kira aku terus membisu
Apa jatuh kifayah ke atasku
Untuk memperkata walau sesuatu
Kerana aku telah tahu
Apa helah sebalik tingkahmu
Bingit aku, resah aku
Yang berdosa mungkin kamu
Tapi yang subahat mungkin aku
Kerana membiar semua berlalu
Itu lagi dosa bertalu..
Ke Atas
--------------------------------------------------------------------------------
Siapa Sebenarnya Diri Kamu?
(Buat sahabatku, saudaraku, dunia akhirat.)
Siapa sebenarnya diri kamu
Rasa kukenal namun kekadang kuragu
Walau saban waktu engkau berlalu
Di sisi, di sini, bersama aku,
Kau berdiri, menyeri.
Siapa sebenarnya diri kamu
Kerana seolah tiada percaya aku
Ada insan masih wujud yang sepertimu
Yang membantu tiada berbelah
Yang menyokong tanpa mengalah
Namun bila ada berbalah
Seolah tiada berpaling arah.
Siapa sebenarnya diri kamu
Kekadang menggores halus mengiris
Kekadang membawa suka amatnya
Kekadang menjadi sahabat setia
Siapa sebenarnya diri kamu
Atau kau sendiri tiada mahu beritahu
Kerana kalau kau tanya aku
Kau terlalu berharga bagiku
Baikmu, salahmu, ikhlasmu
Itu semua benar bagiku
Itu sebenarnya, bagiku, dirimu.
Ke Atas
06:10 | Permalink