20 May 2006
Projek perintis nilai keberkesanan matrikulasi
BH- 3/5/06
JASIN: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan perlanjutan tempoh pengajian matrikulasi kepada dua tahun untuk sebahagian pelajar berpunca daripada kelemahan pencapaian akademik mereka.
Sebaliknya, beliau berkata, ia projek perintis untuk menilai keberkesanan pengajian matrikulasi selama dua tahun.
Beliau berkata, antara lain ia untuk memastikan supaya pendidikan menyeluruh dapat ditekankan, selain membolehkan institusi pengajian tinggi (IPT) memperlengkapkan pelajar dengan sikap, pemikiran serta ilmu yang baik.
Katanya, ia boleh dilaksanakan kerana Kolej Matrikulasi dilengkapi kemudahan fizikal, peralatan, tenaga pengajar terbaik dan pasaran yang sudah dikenal pasti.
Katanya, tiada sebab untuk kolej berkenaan tidak mampu melahirkan insan cemerlang bukan saja dalam akademik, malah sahsiah, pegangan nilai hidup dan keyakinan diri.
“Ini idea saya. Ia projek perintis dan semuanya sukarela. Dalam lima tahun Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) saya minta 500 pelajar atau 30 peratus daripada pelajar matrikulasi merintis sama ada sesuai dipanjangkan selama dua tahun.
“Mereka yang boleh laksanakan satu tahun, kita tidak akan hapuskan supaya dapat habiskan masa dalam matrikulasi secepat mungkin.
“Namun, mereka yang memerlukan masa lebih setahun kita rintis dalam RMK-9,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Antara Sekolah Teknik Kesembilan 2006, di Sekolah Menengah Teknik, Jasin semalam.
Hishammuddin berkata, pelaksanaan lima tahun untuk program perintis itu bagi membolehkan semua pihak menyertainya apabila pendekatan itu diguna pakai pada 2010.
“Kita terima pendapat lain mengatakan setahun tidak mencukupi. Bukan semua setuju setahun. Namun, mustahil untuk melaksanakannya dalam sekelip mata.
“Masa kita buat dasar tanpa merujuk kepada projek perintis sudah berlalu. Sebab itu, dalam RMK-9, saya tidak buat transformasi pendidikan secara mendadak tanpa kajian dan penelitian. Cukuplah dengan dasar sekarang yang perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh,” katanya.
Hishammuddin juga berkata, sebahagian besar pelajar kini berminat menyertai bidang yang bukan semata-mata bercorak akademik.
Berikutan itu, katanya, program perintis itu sebagai pendekatan untuk menilai pelajar dan bukan sekadar berdasarkan peperiksaan.
13:00 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink