Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

18 May 2006

Kemusnahan membawa keinsafan

Kemusnahan membawa keinsafan

Setiap insan menginginkan kehidupan yang bahagia. Mereka akan berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapatkan kebahagiaan yang diidam-idamkan itu. Antaranya melalui harta yang banyak. Dengan adanya harta yang banyak akan dapat memenuhi apa saja impian yang diingini dalam hidup.

Di sini ingin kuceritakan kisah mengenai keluargaku yang berusaha keras mengumpul harta, namun akhirnya musnah menjadi abu. Ibu bapaku berasal dari keluarga yang susah. Ketika kami adik-beradik masih kecil, ada kalanya terpaksa mengikat perut kerana kekurangan duit untuk membeli makanan. Dengan pekerjaan sebagai penoreh getah, berapa sangatlah yang diperolehi oleh kedua orang tuaku ketika itu.
Dalam keadaan serba kekurangan itu, ayah amat menitik beratkan soal pelajaran kepada anak-anaknya. Kata ayah, pelajaranlah yang dapat mengubah kehidupan kami sekeluarga. Walaupun susah, ayah tetap memastikan persekolahan kami berjalan dengan lancar.
Selepas tamat belajar di sekolah menengah dengan keputusan peperiksaan SPM yang cemerlang, aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti. Ayah menebalkan muka meminjam wang daripada saudara-mara untuk membolehkan aku menjejakkan kaki ke universiti. Begitu jugalah yang berlaku kepada adik-adikku. Lima orang daripada kami berjaya ke universiti, manakala seorang ke maktab perguruan.
Akhirnya tibalah masa ayah dan ibu menuai hasil daripada apa yang telah ditanam selama ini. Selepas aku, seorang demi seorang adik-adikku keluar universiti dan menjawat jawatan yang baik. Kami tidak pernah lupa kepada jasa dan pengorbanan ibu dan ayah selama ini. Setiap bulan, aku dan adik-adikku akan memberi wang kepada ibu dan ayah. Kami juga telah membina sebuah rumah yang besar dan cukup selesa untuk keluarga di kampung. Ketika ini, apa sahaja yang dihajati, insya-Allah boleh diperoleh. Bahkan, ibu dan ayah telah beberapa kali menunaikan haji dan umrah.
Suatu hari, kami adik-beradik merancang mengadakan hari keluarga. Selesai perbincangan, kami sepakat mengadakannya di sebuah pulau peranginan di Pantai Timur. Tidak ada ahli keluarga yang terkecuali lebih-lebih lagi ayah dan ibu. Rumah di kampung dibiarkan tanpa penghuni.
Pada waktu inilah berlakunya satu kejadian yang tidak kami duga sama sekali. Rumah di kampung telah terbakar! Hangus tanpa ada satu barang pun yang dapat diselamatkan, Siasatan mendapati kebakaran tersebut disebabkan oleh perbuatan khianat, namun tidak diketahui siapa yang melakukannya.
Selepas mengetahui mengenai kebakaran tersebut, kami sekeluarga bergegas pulang ke kampung. Tidak ada apa yang boleh kami lakukan melainkan berserah kepada Tuhan. Kulihat ibu dan ayah terlalu sedih dengan apa yang telah terjadi. Walaupun kami adik-beradik cuba mententeramkan perasaan ibu dan ayah dan berjanji untuk membina rumah lain, mereka tetap sugul seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu perasaan mereka.
"Mak, kami berjanji untuk membina rumah yang lebih baik daripada ini. Tetapi kenapa Zah lihat ayah tu terlalu sedih seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan?" aku meluahkan pertanyaan kepada ibu.
"Sebenarnya Zah, duit yang kamu semua bagi selama ini, kami tidak simpan di bank. Tetapi duit itu kami simpan di dalam rumah ini. Dah habis terbakar," jelas ibu.
"Berapa banyak?" aku bertanya.
"Semuanya ada lebih kurang RM30,000."
"Masya-Allah." Aku terkesima. "Tidak kusangka ayah dan ibu bertindak sedemikian rupa.
"Tapi Zah. Mak rasa apa yang berlaku ini adalah hukuman Tuhan kepada kami. Beberapa bulan dahulu, mak cik Gayah yang tinggal dihujung kampung ni ingin meminjam duit sebanyak RM4000 untuk membayar kos perubatan anaknya. Sebelum itu dia telah meminjam RM1000, tapi masih belum dibayar lagi. Jadi ayah kau tak mahu bagi. Alasannya, tak ada duit sebanyak itu."
"Kami juga tidak pemah mengeluarkan zakat wang simpanan. Dulu kami tak sedar akan kewajipan mengeluarkan zakat simpanan, maklumlah dulu duit sentiasa tak cukup. Tapi selepas mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Haji Dahlan, baru kami sedar. Tapi ayah kau melengah-lengahkannya sehinggalah duit tersebut hangus kesemuanya." Demikianlah cerita ibuku dengan panjang lebar.
Mendengar kata-kata ibu, aku menarik nafas panjang. Mungkin betul katanya, ini adalah balasan ke atas orang yang tidak menunaikan zakat dan enggan membantu orang-orang susah. Aku sedar, peristiwa ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada kedua ibu bapaku, tetapi juga kepada kami adik-beradik. Hal ini telah diingatkan dalam firman-Nya:

“Dan pada harta-harta mereka, (adapula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)." Adz-Dzaariyaat: 19


NUR 1-2004

16:13 | Permalink