Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

18 May 2006

Mencari jalan pintas

Kabir seorang pemuda yang gemar berangan-angan. Masanya banyak dihabiskan berbaring dan tidur sepanjang hari. Selepas ayahnya menghilangkan diri, hanya ibunya bekerja diladang.
Setiap hari dia asyik merungut tentang nasib.
"Kenapa aku dilahirkan miskin? Tidaklah aku begini malang kalau keluarga aku kaya raya," selalu ingatan begitu menerjah fikirannya. Kerap benar dia menyalahkan nasib, tanpa mahu berusaha.
"Kalau aku kaya tentu aku dapat berehat-rehat begini sepanjang masa," itulah yang dibisikkannya setiap hari.
Sikap Kabir menyebabkan ibunya tidak henti-henti membebel. Kebelakangan ini pula, akibat tidak tahan dengan leteran ibunya dia akan bertandang ke pondok buruk yang terletak di kaki sebuah bukit tidak jauh dari rumahnya.
Petang itu ketika kakinya melangkah ke pondok itu, Kabir terkejut melihat ada seorang tua bongkok baring di muka pintu. Selepas mengenalkan diri dan menceritakan keluh-kesah jiwanya, orang tua itu berkata. "Aku tahu cara mudah untuk jadi kaya."
"Bagaiman atok???"
"Di puncak bukit ini banyak batu yang besar-besar. Kau cari satu daripadanya yang hitam legam. Di bawah batu itu ada harta karun yang banyak. Sesiapa patuh pada syarat-syaratnya, harta itu menjadi miliknya," kata lelaki tua itu.
"Apakah syaratnya???" tanya Kabir tidak sabar-sabar.
"Kamu hendaklah baring di sisi batu itu. Alasnya mestilah belulang, bukan tikar. Sampai waktunya batu itu akan bergerak..."
Belum habis orang tua Itu berkata, Kabir melompat, berlari menuruni bukit itu.
"Nanti... aku belum habis lagi..." jerit orang tua itu sambil menggeleng-gelengkan kepala. Namun Kabir sudah hilang dari pandangannya,
Sampai di rumah, Kabir ke hulu ke hilir memikirkan bagaimana cara mendapatkan belulang. Setelah ditemui di kampung sebelah, malam itu juga dia memanjat bukit tersebut. Hampir senja baru dijejak kemuncaknya. Selepas puas memerhati, dia menemui batu berwarna hitam yang dikatakan orang tua itu. Batu itu jauh lebih besar daripada yang lain.
Sambil membentang belulang di sisi batu itu, Kabir memasang angan-angan setelah harta karun itu diperolehinya kelak. Dia menelentang.
Dilihatnya bintang bergemerlapan di langit. "Ah, petanda baik..." bisik hatinya.
Dia menunggu saat untuk memperolehi harta itu. Bagaimanapun akibat keletihan, dia terlelap. Tiba-tiba didengarnya jam berdenting beberapa kali. Bunyi yang gamat itu memeranjatkannya. "Bagaimana ada jam di hutan belantara begini?" bisiknya.
Diamatinya bunyi itu, tapi tidak berdaya dia memikirkannya lebih jauh. Ketika itulah, dia terdengar bunyi seperti rantai besi ditarik di atas tanah. Dia menoleh kiri dan kanan, kalau-kalau dapat melihatnya. Tidak ada, tapi bunyinya begitu hampir. Dia sedikit gementar, tapi hasrat ingin kaya mengatasi rasa takut itu.
Tiba-tiba batu hitam di sisinya beralih ke kanan. Sebuah lubang berpintu besi terbuka. Perlahan-lahan puncak bukit yang tadinya gelap terang-benderang apabila cahaya dari-pada lubang itu melimpah keluar.
Dalam keadaan fana, Kabir menjenguk ke dalam. Dilihatnya ada ratusan anak tangga dan tanpa banyak bicara dia menuruninya tanpa rasa gentar.
Sampai ke sebuah dewan, Kabir kagum melihat keindahannya. la seperti sebuah balairung lengkap dengan lampu-lampu serta perhiasan yang menarik. Seperti rusa masuk kampung, Kabir berjalan ke setiap ruang. Di sebuah bilik, dia menemui longgokan wang perak. Terbeliak biji mata Kabir lalu dengan rakusnya dia mengutip kepingan wang itu. Dimasukkannya ke dalam kocek baju dan seluarnya. Sikap tamaknya datang.
Dia ternampak guni usang. Tanpa berfikir panjang dia mengisi wang perak sehingga sendat guni itu.
Kabir berlari pula ke bilik lain. Di situ matanya bertambah silau. Setiap ruang dipenuhi wang emas.
Bukan kepalang menyesalnya Kabir memenuhkan karung dengan wang perak. Sambil merungut sambil tangannya pantas mengeluarkan kembali kepingan wang perak itu. Sebaik kosong, diisinya pula dengan wang emas.
"Kan baik kalau aku ke bilik ini dulu?" katanya merungut sendiri. "Tidaklah habis masa aku."
Setelah karung itu sendat, baru terbayang di kepala akan kesukaran membawanya keluar.
Diperahnya tenaga yang ada untuk mengheret karung itu. Memang tidak berdaya, terlalu berat!
Selepas bersusah payah, dia dapat membawa karung itu ke kaki tangga. "Aduhhh, masih jauh," rungut nya lagi.
Dia meneruskan heretannya - perlahan dan berhati-hati.
Sedang berfikir bagaimana untuk segera keluar dari lubang ajaib itu, Kabir terdengar bunyi yang mula-mula didengarnya - rantai besi ditarik lagi.
Kabir menjerit marah apabila bunyi rantai itu benambah kuat. Kemudian dilihatnya batu besar itu beralih sedikit demi sedikit mahu menutup pintu. Kabir berlari ke atas, Cuba menahan pintu daripada tertutup. Tapi sejauh manalah kudrat Kabir.
Sebaik dia sampai ke tangga paling atas, pintu hampir tertutup. Bersusah payah Kabir meloloskan dirinya daripada dihimpit batu besar itu. Sebaik badannya dapat keluar, kaki pula tersepit. Puas direntapnya barulah dapat dikeluarkan. Kabir terlentang keletihan sambil dadanya berombak kencang. Teringat pada karung wang emasnya, spontan dia bingkas.
Beberapa ketika dia termenung. Barulah Kabir sedar dia berada di mana - di atas belulangnya. Hari sudah kesiangan. Segera dia mencari kalau-kalau karung emasnya ada di sisinya.
Puas dia mencari tetapi tidak bertemu. Marah, Kabir menggulung belulang itu menuruni bukit dengan hati yang kecewa. Dia menemui orang tua di pondok usang.
"Aku belum pun habis memberikan syaratnya, kamu terus beredar. Sifat tamak kamu terlalu besar. Wang perak dan emas yang kamu temui itu hanyalah sebahagian daripada mimpi semasa kamu tidur.
"Hanya mereka yang berusaha sahaja menjadi kaya. Tidak ada jalan pintas menuju kejayaan. Mimpi yang kamu alami itu sebenarnya membawa banyak pengertian. Kamu hendaklah meneliti makna mimpi kamu itu.
"Semalam kamu tertidur di atas belulang kerana keletihan. Jika kamu seorang yang sabar, kuat berusaha dan mendengar segala syarat yang aku berikan, bukan mustahil kamu akan kaya. Aku rasa cukuplah sekadar kamu kaya dalam mimpi," kata orang tua itu.
"Selamat tinggal..." orang tua itu ghaib selepas berkata begitu.
Tinggallah Kabir terkebil-kebil. Dia telah mendapat suatu pengajaran berguna daripada orang tua itu.
Keesokan harinya emak Kabir terkejut melihat perubahan anaknya.
"Semoga kau berjaya anakku..." doa ibunya di dalam hati sambil menadah tangan. Tidak disedari ibu tua itu, air matanya mengalir melihat Kabir berhempas pulas bekerja di ladang. Dikesat matanya, kemudian dia meneruskan kerjanya.

14:40 | Permalink