20 May 2006
Berakhir sebuah kejayaan
Jarum jam menunjukkan pukul tujuh malam. Pesakit – pesakit yang masih menunggu di hadapan bilik suamiku masih lagi ramai. Aku menarik nafas panjang. Atikah, pembantu suamiku masih lagi sibuk membelek – belek fail di kaunter pendaftaran.
“ Atikah, dah nak masuk Maghrib ni. Sampai pukul berapa kamu masih nak terima pesakit? “ Masya Allah!! Nada suaraku semakin tinggi.
“ Tapi pesakit masih ramai, kak. Lagipun doktor masih mahu terima pesakit”, jawabnya.
Aku meninggalkan Atikah dalam kebingungan. Haruskah aku menegur Marwan lagi? Masih aku ingat, bagaimana marahnya dia ketika aku mahu menundakan pemeriksaan pesakit – pesakit kerana waktu Maghrib telah tiba.
Bismillah…Aku membuka pintu biliknya perlahan. Marwan menarik muka apabila melihat aku. Seorang perempuan muda tersenyum kepadaku, pesakit Marwan yang sedang dirawat olehnya. Azan Maghrib sedang berkumandang dari menara – menara masjid berdekatan dengan klinik suamiku.
“ Abang…dah Maghrib ni. Ain dengan Amir…tengah tunggu abang tu”, bisikku perlahan.
“ Ya… Ya…abang tahu. Tak usahlah ingatkan abang selalu. Sekali beritahu cukuplah”, balas suamiku tanda perli.
Allahuakbar… kalau tidak berada di hadapan pesakit itu, mahu sahaja aku memarahi Marwan. Aku cuba bersabar. Aku meninggalkan bilik Marwan dengan harapan agar suamiku itu cepat – cepat menyusul.
“ Ini ubatnya mak cik. Lepas habis ubat ni datang semula ya”, kata Marwan lembut.
Aku hampa dengan sikap Marwan. Katanya dia akan membuka semula kliniknya selepas Maghrib. Aku memandang Marwan yang masih memakai baju putihnya. Baru selesai menunaikan solat Maghrib, Marwan terus bersiap untuk ke kliniknya semula. Mushaf kecil yang dahulunya selalu dibelek dan dibaca, sekarang ini ditinggal sepi di dalam almari. Apakah pesakit – pesakit itu tidak mampu menunggu beberapa minit? Atau Marwan yang mula lalai akan tugasnya sebagai seorang umat Islam. Aku melambai anak – anakku, mereka perlu menghadiri kelas agama malam ini.
Dr. Marwan Asmadi, dialah suamiku. Dia merupakan seorang doktor yang cukup terkenal di Bandar Melaka. Prestasinya kini semakin naik. Di kalangan rakan – rakan seangkatannya dia sememangnya layak mendapat pujian. Bukan sahaja setiap teori dapat difahami, tetapi tangannya juga mampu mengubati pesakit dengan baik. Bilangan pesakit – pesakitnya semakin hari semakin ramai, membuatkan namanya terus mahsyur, dan terus meningkatkan ekonomi keluarga. Namun, ada perubahan dalam diri Marwan yang membuatkan aku terkilan. Entahlah, hatiku semakin berani mengatakan Marwan sudah berani mengangkat muka di hadapan Allah.
Marwan Asmadi…aku masih ingat lagi ketika nama ini ditawarkan kepadaku enam tahun lalu,. Doktor muda yang baru sahaja memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.
“ Idah… Marwan tu seorang yang bijak dalam dunia perubatan, Dia memerlukan seseorang untuk memberi kekuatan kepadanya”, ujar Mak Longku. Aku cuma diam.
“ Memerlukan bukan hanya sebagai pembimbing, peransang, tetapi juga sebagai teman hidup yang saling memahami.
Dahulu Marwan selalu meminta aku menasihati dan mengingatkannya kerana dia kadang – kadang mudah lupa jika dalam kesibukan.
“ Marwan akan menyambung pelajarannya di peringkat MASTER, di Indonesia, jadi dia semakin memerlukan bantuanmu Idah”, ujar Mak Long lagi.
“ Apa yang saya mampu buat Mak Long?”, Tanyaku ragu. Apatah lagi aku dengar Marwan bukan sekadar cemerlang dalam bidang yang dia ceburi, malah handsome!
“ Idah…buat apa mak Long tawarkan kepada kamu kalau kamu tidak mampu”.
“ Tapi…”, aku masih berusaha menolak. Mak Long menggeleng.
“ Jangan cepat mengatakan tidak, mohon petunjuk dari Allah”.
Akhirnya aku menerima tawaran itu. Dialah yang memantapkan hatiku, Dia juga yang akan menolongku.
Tahun pertama perkahwinan kami lalui dengan mudah.
Namun setelah dua tahun selepas Marwan menyiapkan MASTERnya, aku nampak perubahan pada diri Marwan. Dia banyak bermegah – megah dengan kejayaan – kejayaannya dalam bidang perubatan, apatah lagi dia telah berjaya menemui ubat untuk suatu penyakit yang dianggap kronik. Kesibukannya di hospital ditambah dengan perancangannya untuk membuka klinik sendiri membuatkannya semakin jauh dengan kerja – kerja dakwah. Setiap kali aku mengingatkannya, dia cuba mengelak. Kesibukannya menyebabkan begitu banyak alasan yang dia berikan. Alhamdulillah, dalam keresahanku masih ada lagi teman – teman yang banyak memahami. Aku yakin pertolongan Allah akan tiba.
Kehebatan Marwan merawati pesakit – pesakit membuatkan dia berada sebaris dengan doktor yang terkenal di tanahair dalam bidang perubatan. Apatah lagi dia rajin mengikuti setiap perkembangan yang terjadi, malah dia juga semakin kerap ke luar negara menghadiri seminar perubatan. Sudah berapa kursus dan diskusi yang diikutinya. Aku sering mendengar kejayaan Marwan menangani permasalahan – permasalahan dalam perubatan yang membuatkan seniornya begitu mengagumi dengan pencapaiannya . Marwan semakin bangga. Ini membuatkan aku semakin takut.
Sudah hampir sebulan Amir menangis dan mengeluh lehernya sakit. Aku sering melihat Amir memegang lehernya sambil menahan kesakitan setiap kali makan. Marwan cuma mengatakan Amir mempunyai masalah radang, tetapi tidak terlalu bahaya. Alhamdulillah, Aku bersyukur kepada Tuhan
Ternyata masuk bulan kedua, aku melihat perubahan pada diri Amir. Lehernya semakin baik. Lega rasanya aku melihat Amir aktif kembali. Dia hanya mahu dirawat oleh babanya sahaja setiap kali sakit Marwan sentiasa mempamerkan yang terbaik di hadapan anak – anaknya. Kadang – kala puas aku memujuk mereka berjumpa doktor lain ketika Marwan tiada. Minggu depan Marwan akan ke Jepun mengikuti latihan kedoktoran peringkat antarabangsa selama sebulan. Waktu yang terlalu lama.
“ Ini kesempatan yang baik Idah. Abang terpilih oleh kerajaan negeri untuk menjalani latihan ke Jepun. Lagipun di sana bukan hanya menjadi pendengar, Di sana abang boleh berdiskusi dengan doktor – doktor yang lain, ini sudah pasti banyak pengalaman yang abang dapat kutip. Bukan senang ni Idah”.
“ Alhamdulillah… syukur kepada Allah kerana memberikan kelebihan pada abang. Pesakit – pesakit di sini bagaimana ?” aku bertanya lembut.
“ Untuk sementara ini Dr. Halim akan menggantikan tempat abang. Sekali sekala berilah kesempatan untuknya kumpul duit banyak – banyak. Ha… Ha…
Aku terkedu mendengar kata – kata Marwan. Dia kini sudah terlalu angkuh dengan percakapannya. Aku cuba mengingatkannya tentang kesombongan manusia yang boleh membawa ke neraka.
“ Idah ni serius sangatlah”, kata Marwan sambil ketawa.
Ya Allah…
“ Hidup ini perlu serius, abang. Bukankah dengan serius juga abang berjaya seperti sekarang? Apalagi jika kita menyedari bahawa kehidupan kita ini bukan pada diri kita sendiri”.
“ Ya abang faham apa yang Idah maksudkan. Abang jarang membaca al – Quran, abang jarang membelek buku – buku agama, tapi itu bukan bererti abang lupa hal – hal seperti itu. Cuma masalahnya masa abang sahaja. Lagipun abang kan ada Idah untuk mengingati semua itu. He… he…”, dia melirik aku manja.
“ Abang banyak berubah!”, ujarku kesal.
“ Yelah… masakan hidup tidak perlu berubah”, jawabnya.
“ Abang pura – pura, sebelum ke Jepun, abang sebenarnya perlu bertemu Pak Long dulu. Banyak perkara fardhu ain dia nak tanya abang!” tegasku
“ Sudahlah… Idah ni cerewet sangat. Abang tak sempat. Pak Long mesti faham.
Itulah sikap Marwan. Setiap kali aku ingatkan dia, dia menghilang dengan pelbagai alasan. Aku berlalu begitu sahaja.
Hari ini Marwan akan berangkat ke Jepun. Semua kelengkapannya telah selesai diurus olehku. Segala peralatan tulisnya juga aku masukkan termasuklah mushaf kecil dan buku muhasabah harian. Aku risau dengan diri Marwan. Terlalu lama dia akan berada di Jepun. Ya Allah… Kutitipkan suamiku kepadaMu.
Perjalanan menuju ke Lapangan Terbang KLIA Sepang terasa mendebarkan. Aku merasakan sesuatu yang sulit terungkap dalam diriku. Kusebut asma Allah berulang kali untuk menenangkannya. Ain dan Amir memeluk manja di kiri kanan Marwan, sehingga tidak mempedulikan diriku. Baru kali ini baba mereka akan pergi untuk waktu yang lama.
Sebelum Marwan berangkat naik pesawat, aku tidak putus – putus menginagtkan dia agar selalu telefon ke rumah dan juga membuka buku – buku yang aku kirimkan terutamanya mushaf kecil.
“ Insya Allah… kan tadi dah bagitahu”, ujarnya yakin
“ Pesan Pak Long jangan lupa ye “, ingatku lagi.
“ Ya, tapi Idah jangan lupa berdoa untuk abang”, ucapnya.
“ Insya Allah, Idah tak pernah lupa mendoakan abang “.
“ Baba… belikan kimono untuk kakak”, pinta Ain manja.
“ Adik nak pedang samurai! Sambung Amir.
Kami berdua tersenyum melihat gelagat mereka. Tidak berapa lama kemudian pesawat yang kami tunggu telah tiba. Entah kenapa perpisahan kali ini membuatkan hati aku terlalu berat. Suamiku menyampaikan salam buat Mak Long dan Pak Long.
Beberapa hari selepas Marwan ke Jepun., Amir jatuh sakit. Tubuhnya terlalu panas, 38 darjah celcius. Dia selalu menangis. Tangannya asyik memegang lehernya dan akan menangis setiap kali aku cuba memegangnya. Sudah seminggu lehernya sakit. Suhu badannya terus meningkat dan bahagian lehernya nampak sedikit bengkak. Kupandang Amir.
“ Adik… adik budak baikkan. Budak baik mesti selalu sihat. Kita pergi jumpa doktor ye”, pujukku
“ Adik nak baba juga”, katanya sebagai jawapan. Masih belum berubah.
“Baba pergi Jepun, nak beli pedang Samurai dekat adik, kita pergi jumpa doktor Halim ye.
“ Baba juga”, ujar Amir dan terus merengek. Aku menghela nafas panjang.
“ Adik… kita pergi jumpa doktor ye, kakak sedih tengok adik macam ni. Kakak main sorang – sorang je”. Ujar Ain.
Aku memeluk Ain dengan rasa terharu. Dia menyondol kepalanya ke pangkuanku. Dia menangis. Aku mengendong Ain keluar.
“ Kakak… kakak tengokkan adik. Ummi nak telefon doktor Halim”.
Alhamdulillah… Doktor Halim ada di rumah. Satu jam lagi dia akan tiba di rumahku. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Keadaan Amir semakin kronik. Sebentar dia mengerang kesakitan sebentar dia menyebut nama babanya. Aku mengajar Amir menyebut asma Allah. Aku semakin risau melihat keadaan Amir. Tidak lama kemudian doktor Halim datang dan dia terus merawat Amir. Keningnya berkerut dan lama dia merawat Amir.
“Anak saya sakit apa doktor?” aku bertanya cemas. Doktor Halim cuma tersenyum.
“ Radangnya sakit, tak apa kak, saya akan bagi ubat antibiotic. Kalau ada apa – apa telefon saya”, dia menerangkan sambil menyerahkan resit.
“ Insya Allah, macam mana dengan klinik?’ aku bertanya.
“ Alhamdulillah kak, cuma ramai pesakit yang bertanyakan Dr. Marwan bila dia nak balik. Walau bagaimanapun saya cuba melaksanakan amanah ini sebaik mungkin. Ok akak, saya balik dulu. Dah lewat ni”.
Aku menghantar Dr. Halim hingga ke pagar depan rumahku.
Seminggu telah berlalu, namun sakit radang Amir belum lagi sembuh, malah bertambah teruk, Amir selalu menangis, Dia bukan hanya sukar untuk bernafas, malah suaranya juga semakin sengau. Dr. Halim mencadangkan agar aku membawa Amir berjumpa dengan doktor pakar di hospital. Tidak ada pertanyaan lagi untuk anakku, tidak seperti biasa`dia lakukan. Amir tidak membantah kerana terlalu sakit dan terlalu lemah. Dia mengikut sahaja kehendakku.
Hasil pemeriksaan, Amir perlu tinggal di hospital. Aku menjadi panik? Tiada pilihan. Ain terpaksa kuhantar ke rumah emak. Mula – mula Ain membantah dengan pelbagai alasan. Kebijaksanaan aku memujuknya akhirnya Ain menerima.
Lima hari berada di hospital, tanda – tanda sembuh pada diri Amir mulai nampak. Suhu badannya dalam keadaan stabil. Sakit di lehernya juga semakin berkurang, Cuma bonjolan di rongga hidung yang masih ada. Aku berasa lega.
Namun kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Sehari menjelang keputusan Amir dibenarkan pulang ke rumah, suhu badannya naik secara tiba- tiba. Aku kebingungan. Ya Allah…apakah sakit anakku yang sebenar? Kucuba menepis bayangan buruk. Istiqfarku meluncur. Anak cuma anugerah, Idah, bukan milik Idah selamanya.
“ Maafkan saya puan, terus terang saya katakan… setakat ini sahaja kemampuan saya. Jadi…saya sarankan puan membawa anak puan berjumpa dengan Profesor Dr. Johari, nanti saya akan uruskan surat dan minta pihak hospital menghantar puan dengan anak puan. Banyak – banyak bersabar dan berdoa”.
Aku tidak mampu berkata apa- apa. Bagaimana? Dari doktor pakar Amir disuruh berjumpa dengan doktor yang lebih pakar. Hari ini aku dibawa bersama Amir berjumpa doktor tersebut. Beberapa kali aku berpesan kepada teman – teman Marwan untuk merahsiakan hal ini daripada pengetahuannya. Aku tidak mahu dia risau. Amanah yang dipikulnya terlalu berat. Wang yang digunakannya kini adalah wang rakyat. Bagaimana jika dia rasakan ilmu yang perlu dia kutip di sana tidak diperolehi dengan baik, terpaksa pulang hanya kerana masalah peribadi? Tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Hari ini Marwan pulang. Aku tidak menjemputnya di Airport kerana perjalanannya terlalu jauh. Aku lebih suka menyambutnya hanya di rumah. Marwan tahu kebiasaan itu.
“ Assalamualaikum! Baba pulang”, terdengar suara Marwan dari luar.
“ Waalaikumussalam. Selamat pulang, abang”, sambutku ceria.
“ Ain dan Amir mana ? sepi saja rumah kita ?”, ia menatap di sekeliling rumah.
“It’s just between you and me…”, bisikku di telinga Marwan. Dia tersenyum. Ya Allah berkatilah kami.
Kesokkan harinya baru aku mengajak Marwan melawat Amir di hospital. Dia kehairanan ketika kereta yang kupandu memasuki perkarangan hospital. Dia bertambah pelik apabila aku meletakkan kereta berhadapan bilik Profesor Dr. Johari. Aku menarik nafas panjang.
“ Abang… di sinilah Amir tinggal. Di wad kanak – kanak”, ucapku perlahan.
“ Amir sakit? Idah tak beritahu abang ? Bagaimana kalau sesuatu terjadi pada Amir? Marahnya. Aku diam. Marwan berlari – lari ke wad kanak – kanak.
Aku melihat Marwan tergamam melihat keadaan Amir. Amir cuma membalas lemah pelukan babanya. Suhu badannya tinggi dan keadaannya teruk sekali.
“ Idah, biar abang sahaja merawat Amir. Idah pulang dulu. Ain memerlukan Idah. Abang akan beritahu perkembangan Amir selepas merawatnya nanti.
“ Keadaan Amir terlalu kritikal “, bisik Marwan sambil memeluk bahuku. Aku mengangguk.
“ Maafkan Idah, abang. Idah tak mahu mengganggu latihan abang di sana…”
“ Abang faham. Abang hanya… sudahlah, abang juga yang bersalah”.
Aku tertunduk. Kemudian kami memandang antara satu sama lain, memberikan kekuatan.
Dua minggu selepas itu Amir nampak semakin sembuh. Marwan pula setiap hari akan berulang –alik ke hospital. Aku dan Ain sentiasa menziarahi mereka berdua di sana.
“ Cuba kalau Idah beritahu abang lebih awal,mungkin Amir tidak perlu menahan sakit terlalu lama”, kata Marwan yakin. Aku menatap Marwan. Dia tersenyum mengangguk – angguk. Apakah suamiku masih dengan kesombongannya. Lupakah dia dengan pesan kami sebelum pergi? Kumpulkan segala kesabaran.
“ Idah fikir abang lebih tahu tentang penyakit Amir daripada Idah. Bukankah Profesor cakap penyakit Amir ni jarang - jarang berlaku, bahkan baru menyerang. Belum diketahui apakah puncanya, apatah lagi menemui ubatnya. Jika Amir sembuh, itu sudah pasti pertolongan daripada Allah”, aku berkata tajam agar Marwan sedar hakikat itu. Aku dapat melihat wajah Marwan merah padam menahan kemarahan.
“ Namun dia sembuh selepas abang merawatnya”, Marwan mengangkat dirinya. Aku melirik kesal.
“ Jangan mengundang ketidakredhaan Allah, abang !” ujarku.
“ Apa yang dimaksudkan oleh Idah ? Abang tak faham”.
“ Abang mula takabur, angkuh! Kita perlu sedar siapa diri kita abang!
Aku meninggalkan Marwan seorang diri. Bukakanlah pintu hatinya, Ya Allah.
Peringatan yang aku berikan itu mendatang juga akhirnya. Keadaan Amir semakin teruk. Segala – gala yang diusaha untuk membantu pernafasan Amir juga tidak berjaya. Tidak ada upaya lain yang rasanya yang mampu diharapkan kecuali pertolongan Allah. Aku sudah pasrah. Barangkali ini adalah jawapan firasatku. Mungkin Allah ingin membuka mata hati kami, terutama suamiku.
Malam ini kami menunggu Amir dengan perasaan sedih. Nafasnya turun naik. Suhu badannya semakin tinggi membuatkan anakku tidak berdaya. Ya Allah…jika Engkau mengkehendaki dia kembali kepadaMu, sabarkan diri Kami, Engkaulah sebaik – baik pemberi. Kubisikkan lafaz ayat suci al – Quran ke telinga Amir. Dan tepat pukul dua pagi Allah mengambil kembali anugerah itu dari kami. Innalillahiwainnailaihi rajiun.
Marwan termangu. Aku dan Ain menghampirinya,. Kutatap matanya dalam. Ada sinaran penyesalan di sana. Perasaan berdosa, bersalah.
“ Abang…manusia adalah makhluk yang lemah, seharusnya sebagai doktor, abang lebih tawaduk, lebih banyak bersyukur dan mengagungkanNya. Setiap hari abang melihat kekuasaanNya. Tanpa Dia… abang tak akan ada apa – apa. Bahkan terhadap anak abang sendiri. Ternyata Dia lebih berkuasa dan berhak, bukan kita”, bisikku lembut.
Marwan hanya mampu menangis. Ain turut menangis. Kami berpelukan tanda sedih.
“ Idah…ajarilah abang bersyukur…”, ucapnya dalam. Aku terharu.
“ Ada banyak tangan – tangan yang akan menolong kita abang. Aku meyakinkan.
Betapa mahal harga yang harus kami bayar demi sebutir hikmah tentang rasa kesyukuran, Ya Allah, ampunilah kami…
Nukilan : Nor
05:58 | Permalink