Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 May 2006

Masih ada lagi kesempatan

Eiyah!

Dengan pantas Nadia melompat naik di atas motor seorang jejaka yang baru dua hari dikenalinya.

“ Pegang kuat – kuat dik, nanti kalau jatuh, adik juga yang susah. “ kata jejaka itu.

“ Lambat benar motor abang ni, lajulah sikit !
Motor EX5 jejaka itu meluncur laju.

Tidak berapa lama kemudian Nadia tiba di depan rumahnya.

“ Alhamdulillah, mujur papa dan mama tak ada dekat rumah.”
Lupa aku. Hari ini papa dan mama ada mesyuarat dekat sekolah.

Fhuih, lega…

Belum sempat lagi Nadia melangkah ke pekarangan rumahnya, tudung yang dipakainya tadi dibuka. Sambil bersiul – siul dia melangkah masuk ke halaman rumahnya.

“ Nadia! Nadia ! Assalamu…”

“ Hai Jefrey!” Nadia membalas sapaan Jefrey yang melalui depan rumahnya. Tudung kepala yang dipegang dilambai – lambaikan ke arah Jefrey.

“ Hei, tak nak singgah dulu ke ?”

Jefrey hanya tersenyum kehairanan. Dia tidak mampu berkata apa – apa apabila melihat tingkah laku Nadia. Jefrey, ketua Pengawas Sekolah Agama Nurul Iman cepat – cepat melangkah pergi.

# # # #
Sebenarnya aku sedikitpun tidak ada hati untuk belajar di Sekolah Agama Nurul Iman yang terletak di pekan kecil berdekatan kampungku. Namun, aku tidak ada pilihan. Permohonanku untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM ) tidak berjaya. Akhirnya aku terpaksa akur dengan kehendak mama dan papa yang mahu aku belajar di Sekolah Agama Nurul Iman.

“ Papa lebih suka kalau Along belajar di Sekolah Agama tu. Belajar rajin – rajin. Faham tentang agama dan berakhlak mulia. Jadi, seperti mama, seorang ustazah yang berkaliber.” Nasihat papa.

“ Kalau boleh lebih baik dari mama, sambung belajar dekat Jordan, paling tidak boleh menjadi hafizah. Tentang perbelanjaan jangan Along risau, sekarang ini Along belajar saja!” nasihat mama sambil membelai rambutku.

Ah! Leceh betul mama dan papa…

Tetapi akhirnya di Sekolah Agama Nurul Iman itulah Nadia belajar. Hampir hari – hari Nadia ke sekolah dan pulang ke rumah dengan masam mencuka. Dia merasakan dirinya dikongkong. Setiap hari ke sekolah wajib memakai tudung kepala! Itulah perkara yang sejak dari dulu disuruh oleh papa dan mama yang kutolak, kini menjadi kewajipan di Sekolah Agama Nurul Iman!

“ Along tahu itu wajib! Along nak pakai tudung kepala! Tapi bukan sekarang ni mama. Along masih muda. Kesempatan inilah Along hendak bergaya. Nanti kalau dah kahwin atau kalau dah tua nanti Along pakailah!” rengek Nadia.

Aku seperti lembu dicucuk hidung. Itulah perasaanku sekarang. Keluar saja dari pintu sekolah, Nadia akan membuka tudung kepalanya. Beberapa orang temannya kehairanan dan berasa pelik dengan sikap Nadia. Namun, ramai lagi yang melakukan hal yang sama seperti Nadia. Ika, Laila, Suzana, Julia dan ramai lagi yang bertindak seperti Nadia. Mereka terpaksa datang ke sekolah atas desakan ayah dan ibu. Sekali lagi aku katakan mereka seperti aku; terpaksa!

“ Alah, aku peduli apa, Kak Rina dan Rini jiran sebelah rumahku walaupun sekolah agama, di rumah atau ke mana – mana tak pernah pakai tudung . Cuma kalau ke sekolah saja.Itupun tak pernah dimarahi oleh ayah dan ibu mereka. “ leter Suzana teman sekelasku yang jiwanya juga memberontak seperti aku.

“ Eh… Nadia kau tengok tu budak perempuan tu sikit punya seksi jalan dengan pak wenya.

“ Ha… ha… ha… tak sepadan langsung.” Ketawa mereka serentak.

# # # #
“ Terus terang aku katakan Nadia, aku sukakan kamu.”
Itulah kata – kata Nazrul sebulan yang lalu , senior di sekolahku yang sememangnya menjadi kegilaan pelajar – pelajar perempuan. Nazrul bukan sahaja sering menjadi wakil pidato sekolah di setiap peringkat , malah memiliki wajah yang cukup handsome apatah lagi anak orang kaya.

“ Boleh kalau malam ni aku datang ke rumahmu?”

“ Kau gila, nak kena tembak dengan papa aku. Kau kan dah tahu papa aku tu ustaz, imam kampung pulak tu. Dia dan mama tak suka kalau aku kawan dengan budak lelaki, tak solehah kata mereka. Alah, diaorang nikan fikiran macam orang tua dulu – dulu.”

“ Habis tu macam mana?”

“ Alah kalau nak jumpa , jumpa dekat sekolah sudahlah.”
Nazrul menarik muka masam dengan kata – kata Nadia.

Tidak menjadi masalah bagi Nadia kalau semua orang di sekolah tahu tentang hubungannya dengan Nazrul. Apatah lagi Marziah teman sekelasnya yang bertudung rapi dan alim di sekolah sering menasihatinya.

“ Marziah, tak payahlah awak nak jaga tepi kain orang lain, jagalah diri kau tu sendiri cukuplah.” Marahku. Suzana tersenyum mendengar kata – kata yang terkeluar dari mulut Nadia.

“ Astaqfirullah, bukan niat aku untuk menjaga tepi kain engkau, tapi sebagai sahabat aku sayangkan engkau. Aku mahu engkau menjadi wanita yang tahu tentang tanggung jawab dan hakikat sebagai seorang muslimah.. Itu saja …”

“ Diamlah! Mulut kau tu macam orang tua – tua. Aku tahulah apa yang aku buat, apa kau sibuk.”

Menyesal aku sekelas dengan orang yang suka berkhutbah. Rimas, benci, ah… Marziah sering menegur tentang sikap aku di sekolah. Marziah menegur tentang tudung kepala yang sering kutanggalkan selepas waktu sekolah. Sekarang ini dia sibuk mencampuri soal peribadi hidupku! Huh!! Rimas aku…

“ Marziah, kalau kau nak aku macam kau tunggulah empat puluh tahun lagi. Masa aku dah tak cantik macam ni lagi” . Kata – kata yang pedih ditelan begitu sahaja oleh Marziah. Dia akur dengan sikap Nadia. Namun, kemesraannya tetap tidak pernah hilang terhadap Nadia. Nadia sahaja yang tidak mampu menghadapi semua ini.

“ Nadia, pengetua panggil engkau!” beritahu Suzana.

“ Hah, pengetua panggil aku. Apa hal pulak!

“ Manalah aku tahu, cepatlah”, tegas Suzana sambil menampar bahu Nadia.

“ Nadia, awak telah terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan Tilawah al – Quran peringkat zon 1. Saya harap awak mampu memberi kajayaan kepada sekolah. Selamat berjaya, Nadia”, kata pengetua sekolahku.

Aku tersenyum riang .

Sejak sekolah rendah lagi Nadia sering menjuarai pertandingan Tillawah al – Quran sama ada peringkat sekolah mahupun peringkat negeri. Bukan hanya suara dan nada lantunannya baik, malah Nadia bijak menguasai segala seluk beluk tentang tilawah dengan sempurna. Mama dan papanya yang banyak memberikan tunjuk ajar. Nadia cukup berbangga dengan kebolehannya. Ramai teman – temannya yang nampak alim di sekolah seperti Marziah dan Kamalia tidak mampu menandingi kehebatan Nadia dalam membaca al – Quran dengan baik.

# # # #
“ Biar aku ajar kau orang baca al – Quran. Mesti gempak punya. Okey… Qoriahlah katakan! Ha… ha… “ pekik Nadia.

Nazrul dan Suzana tersenyum. Mereka turut berbangga dengan kemenangan Nadia dalam pertandingan itu!

“ Al – Quran bukan untuk dipertandingkan dan dibanggakan seperti itu, tetapi al – Quran untuk difahami, dihayati dan diamalkan. Semoga kau mendapat hidayah-Nya, Nadia”, kata Marziah apabila mengetahuii kemenangan Nadia tersebut. “ Apalagi… kita nikan pelajar sekolah agama.”

Nadia sekadar menarik muka masam. Kata – kata Marziah tidak ubah seperti leteran papa dan mama.

“ Bila kamu mahu berubah, Nadia? Mencintai Islam dengan sepenuh hati. Mencintai Allah dan rasul dengan seikhlas mungin? Nadia sebenarnya kamu boleh manfaatkan kebolehan kamu dengan al – Quran bukan hanya sekadar untuk masuk pertandingan sahaja” kata Marziah lagi.

Lama kelamaan Nadia agak terharu mendengar kata – kata Marziah. Dia memandang Marziah begitu dalam.

“ Okeylah, aku berazam untuk berubah, tapi bukan sekarang”, Nadia tertawa.

“ Eh, akupun sama, masih ada esokkan untuk kami? Sampuk Suzana.

Marziah sekadar memandang sayu ke arah Nadia dan Suzana.

# # # #
Cuti minggu akhir bulan November, Nadia benar – benar happy. Dia dan kawan- kawannya akan menghabiskan cuti minggu itu di Gunung Jerai.. Minggu ini mereka semua terlalu gembira kerana di kesempatan ini mereka dapat merehatkan minda dari tugas – tugas harian di sekolah. Dii kesempatan itu mereka tidak melepaskan peluang merakamkan foto – foto kenangan bersama di sana.

Suzana, nampak terlalu gembira hari ini. Aku memandang seketika ke arahnya yang terlalu akrab dengan dua orang jejaka yang baru sahaja dikenalinya. Kawan – kawan yang lain masih leka melayan perasaan masing – masing. Nadia kembali menyambung membaca majalah muzik yang baru saja dibelinya. Alhamdulillah, hawa di Gunung Jerai nyaman sekali.

Jam sudah menunjukkan pukul lima petang ketika mereka sedang sibuk mengemas barang – barang untuk pulang. Jauh juga jarak antara Gunung Jerai dengan pekan Alor Setar! Mereka tidak mahu mengambil risiko sampai lewat malam ke rumah.

Semua sudah berkumpul di tempat yang telah dijanjikan, tetapi Suzana belum lagi tiba!

“ Ke mana pulak budak ni! Berjalan pergi ke mana sahaja dia ni! Marah kawan – kawan yang lain.

“ Aku ingat dia dengan kamu Julia. Tadikan kamu dengan Suzana asyik melayan dua orang pak we tu”, kata Nadia sedikit resah.

“ Betullah tu, tapi lepas tu mereka bertiga pergi. Aku tak mahu ikut sebab aku sakit perut waktu itu”, cerita Julia dengan suara yang terketar – ketar.

“ Ke mana Julia?”

“ Manalah aku tahu, kalau aku tahu senanglah” suara Julia agak keras.

Dada Nadia berdebar kencang. Dia mula cemas mengingatkan Suzana seorang diri bersama dua jejaka tadi.

Satu jam mereka menunggu. Namun kelibat Suzana belum lagi muncul. Hari semakin gelap. Wajah masing – masing masam mencuka menanti Suzana.

“ Mungkin dia dah pulang dulu, Nadia. Jomlah kita pulang. Dah lewat ni”, ajak Suzi dan Aida.

“ Tidak mungkin, Suzana bukannya orang yang jenis berani jalan sorang – sorang. Selalunya aku yang akan menghantarnya pulang. Kalau tak mesti kena marah dengan ibunya,” tegas Nadia.

“ Kita mesti carinya juga sampai jumpa. Satu jam dari sekarang kita jumpa di sini kembali.

Bersama Aida, Nadia mencari Suzana. Menjelajah jalan- jalan sunyi di sekitar Gunung Jerai. Pencarian kami sia – sia.Suzana masih belum dijumpai.

“ Kalau ke sana mugkin tidak, Aida?’

“ Eh, semak – semak macam ni takkan orang nak masuk kot!” Jelas Aida. Saat itu mereka sampai di penghujung jalan Gunung Jerai. Di hadapan mereka sekarang seperti jalan yang curam dan cukup membahayakan.

“ Ya Allah! Nadia menunduk dan memungut sesuatu.

“ Apa?”

“ Ini skaf Suzana, aku yang berikannya waktu hari lahirnya yang ke – 18! Aida, dia mesti ada di sini” ! suara Nadia agak terketar.

“ Kita pulang saja Nadia! Haripun dah gelap ni! Kawan – kawan kita mesti dah menunggu!”

“ Tidak, kita akan ke sana juga”! sambil tangan Nadia menunjuk ke arah belantara di hadapan mereka.

“ Aku … aku takutlah Nadia, kau ajalah yang pergi”.

Nadia menarik tangan Aida. Jantungnya berdegup lebih keras. Tak mungkin, tak mungkin dia di sini, bisik hati Nadia. Tapi…

“ Ya Allah !!! Nadia dan Aida berteriak sekuat – kuatnya! Suzana terkapar d semak – semak.Pakaiannya tidak terurus. Matanya terbeliak ke luar! Sebilah parang melekat di dadanya. Nadia tidak dapat menahan sebaknya. Dia menangis sepuas hati.

# # # #
Sejak kematian Suzana, Nadia menjadi orang yang tidak betul.. Peristiwa sebulan yang lalu masih menghantui jiwanya. Setiap kali Nadia mahu melelapkan matanya, pasti wajah Suzana muncul di kotak fikirannya.

Nadia juga sering berulang – alik ke Balai Polis memberi laporan tentang kes yang berlaku kepada Suzana.

“ Ajal seseorang itu seperti yang telah ditakdirkan oleh Allah. Kita tidak pernah tahu bila kita datang, dan bila kita akan kembali. Mungkin hari ini, mungkin waktu ini, mungkin saat ini, kita tak pasti bila dan bila… Siapa akan menyangka tidak ada esok lagi untuk Suzana”, kata Marziah dengan nada sedih.

Nadia cuma tunduk membisu. Dia memandang sayu pada wajah Marziah. Sukar baginya untuk melupakan wajah Suzana.

Terbayang saat – saat Suzana dengan bangga menunjukkan blaus yang tak berlengan itu kepadanya.

“ Cantikkan” ? ujarnya ketika itu.

“ Eh, kalau aku pakai macam ni nak mampus. Silap – silap kena pukull dengan papa aku,” kata Nadia.
Mereka berdua ketawa. Baju itu juga yang dipakai oleh Suzana semasa tragedi ngeri itu.

Ah! Nadia cuba memejamkan mata. Bayangan Suzana tak juga hilang. Astaqfirullah, di mana, bagaimana dan apa yang dialami oleh suzana sekarang di alam kubur? Apa yang… Astaqfirullah. Siapalah yang tahu akan ajal seseorang? Bagaimana kalau esok aku mati?

Nadia semakin gementar. Malam ini Nadia menunaikan solat Isyak lama sekali. Sewaktu dia membaca al – Quran, dia menangis. Inilah pertama kali dalam hidupnya yang sebelum ini belum pernah dia lakukan.

# # # #
Sudah seminggu Marziah tidak datang ke sekolah. Bila Nadia telefon ke rumahnya, ibu Marziah cakap dia cuma demam. Namun, ketidak hadiran Marziah ke sekolah benar – benar aku terasa kehilangannya. Barulah kini

Nadia sedar, segala nasihat, teguran daripada Marziah benar – benar bermakna buat dirinya.

Sebenarnya aku ingin sangat menceritakan kepada Marziah bahawa kini papa dan mama sangat gembira dengan perubahan diriku. Perubahan yang disebabkan keikhlasan hatiku dan juga atas nasihat – nasihat manismu.. Aku tidak mahu hari esok tidak ada lagi buat diriku.

Entahlah. Kata mama Allah memang Maha Pembolak balik hati manusia. Alhamdulillah, mungkin saat ini aku berasa aku telah mendapat hidayah daripada Allah. Masya Allah, pagi tadi Nadia terbaca di surat khabar, 15 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspress dan lori tanah di Jalan Baling. Innalillah! Kemudian berita tentang Pakistan, Afghanistan dan rakyat Iraq.

Wajah – wajah comel muslimah – muslimah yang masih kecil bertudung lengkap jelas terbayang dalam ingatanku. Wajah Suzana.

“ Nadia, kau dah banyak berubah sekarang! Kata Julia mengejutkan Nadia. Nadia sekadar tesenyum. Tersenyum dengan kata – kata Julia tadi.

“ Tidaklah, kamu ni Julia, sama saja”.

“ Tak, lebih alim! Kan … kan … kan… Julia. Aida dan Suzi serentak menjawab.

“ Oh, aku cuma mahu manfaatkan kehidupan aku selama ini. Mungkin sudah sampai ketikanya aku harus mendekatkan diri kepada Allah SWT”. Ujar Nadia.

“ Kau dah pandai berkata – kata sekarang ni Nadia. Dah boleh jadii macam ustazah “.

“ Bukan macam tu, tapi inilah hakikatnya. Okeylah aku pergi dulu ye, jumpa lagi”.

# # # #
“ Marziah, aku rindu benar dengan nasihat – nasihat dan teguran – teguranmu seperti dulu. Insya Allah Marziah aku mahu lakukan yang terbaik buat diriku. Terima kasih di atas segalanya. Maafkan segala kesilapan yang pernah aku lakukan dulu”, rayu Nadia.

Marziah tersenyum.

“ Alhamdulillah… Biarlah ini untuk selamanya Nadia. Ikhlaskan niat dan jangan jadikan perubahan ini kerana sebab tertentu tetapi perubahan ini kerana Allah SWT.

“ Marziah, perhubunganku dengan Nazrul juga telah kuputuskan. Aku mahu menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran dan mendalami Islam dengan sebaik mungkin”.

“ Alhamdulillah, eloklah tindakan yang Nadia buat tu. Maaf yea Nadia,, sekarang ni sudah pukul berapa? “

“ Sudah masuk waktu Zohor”.

Tidak lama kemudian Mak cik Sopiah, ibu Marziah memangku Marziah ke bilik mandi.

“ Solat, Nadia, Ma.. af ya. Saya mandi dulu”.
Aku sayu memandang keadaan Marziah. Mukanya pucat, badannya kurus. Matanya cengkung. Namun, wajahnya masih tampak keserian dengan senyuman – senyuman yang tak lekang di bibirnya walaupun aku sedar Marziah sedang beperang dengan kesakitan penyakitnya. Aku tidak menyangka selama ini Marziah mengidap penyakit barah otak yang begitu serius. Namun, aku tidak pernah nampak wajah kerisauannya selama ini. Aku bersyukur kerana di saat ini aku masih mampu bersamanya.

Nadia turut berwuduk dan berjemaah dengan Mak cik Sopiah . Selesai solat , Nadia baru teringat yang dia telah berjanji dengan mama dan papa untuk pergi ke rumah Mak cik Jamilah, adik mama di Perlis.

Nadia masuk semula ke kamar Marziah. Terasa berat untuk Nadia meninggalkan Marziah ketika itu. Nadia juga tidak mahu mengganggu Marziah. Tapi entah kenapa hatinya ingin benar hendak menggengam erat tangan Marziah, orang yang pernah dibencinya dahulu sebelum pulang ke rumahnya. Digenggam erat jari – jemari Marziah yang semakin kurus. Aku tatapi wajah pucatnya dalam – dalam. Sedih aku memandangnya. Marziah terlalu letih. Aku lihat matanya dipejam rapat. Senyuman jelas di wajahnya walaupun dia sedang tidur.

“ Cepat – cepat sembuh wahai sahabatku. Semoga Allah akan meringankan sakitmu, Marziah. Insya Allah lepas ini bolehlah kita sama – sama bergiat dalam aktiviti agama di sekolah. Aku sayang kamu, Marziah. Amin”, doa Nadia.

Namun, genggaman Nadia terasa sesuatu yang aneh berlaku. Tidak ada tindak balas. Seperti … seperti… Marziah tidak bernafas lagi! Aku meletakkan jariku di hujung hidung Marziah. Ternyata tidak ada hembusan yang keluar. Tidak mungkin…

“ Mak cik … Mak cik … cepat ke sini”, jerit Nadia.

“ Marziah … Marziah…, kenapa ni, anakku.

Mak cik Sopiah memangku Marziah. Dia memeriksa seluruh badan Marziah. Wajah lembut mak cik Sopiah nampak sedih. Mutiara jernih di kelopak matanya menitis membasahi selimut yang menutupi separuh badan Marziah.

“ Innalillahi wa innailaihiraji’un… “,ucap Mak cik Sopiah.

Nadia tergamam! Tidak mampu dia berkata apa – apa ! Dia seperti tidak percaya. Baru sebentar tadi Marziah sedang bercakap – cakap dengan aku. Kini dia sudah meninggalkan dunia ini buat selamanya. Ya Allah inilah segala ketentuanmu, ketetapanmu yang tidak mampu diubah walaupun sesaat. Benar kata Marziah, kita tidak tahu bila kita akan dijemput kembali ke sana. Hari itu, Suzana di jemput dalam keadaan yang menyedihkan. Kini, Marziah pula yang Allah ambil dengan cara yang baik. Mungkin ini balasan Allah kepada hambanya yang selalu taat dan patuh kepada segala perintahnya. Mutiara – mutiara dari kelopak mataku turun dengan laju.

Mak cik Sopiah memeluk erat aku. Kami sama – sama tidak mampu menahan sebak di dada dan kesedihan di atas pemergian Marziah. Kini, aku kehilangan seorang sahabat yang banyak membantu aku dan menyedarkan aku tentang liku – liku hidup ini dan soal kematian. Rupa- rupanya Marziah sudah merasakan saat – saat dia akan meninggalkan aku. Kesyukuran aku panjatkan di kesempatan yang singkat ini kau menyedarkan aku betapa bernilainya erti sebuah persahabatan yang berlandaskan ketulusan hati kerana Allah. Biar badai melanda, biar ribut dan taufan menunjah bumi, erti persahabatan yang ikhlas kerana Allah tidak akan hilang sampai ke akhirat kelak. Aku teringat kembali kata – kata Marziah kepadaku.

“ Nadia, ingat perubahan diri yang telah kau lakukan jangan atas sebab tertentu, tapi keikhlasan kerana Allah”. Wajah manis Marziah terlintas di fikiranku. Air mataku menitis lagi, menitis mengingati insan yang bergelar sahabat yang tak akan aku lupakan di dunia hingga ke akhirat.

“ Ya Allah, kau tempatkanlah sahabatku ini bersama- sama orang yang beriman. Sejahterakanlah kehidupannya di sana. Semoga kebaikan yang telah dia lakukan kepada aku dibalas olehMu Ya Allah dengan ganjaran pahala yang besar. Semoga dia aman dan tenang di sana”.

“ Ya Allah maafkanlah segala kesombonganku selama ini. Astaqfirullah! Terlalu takut untuk aku menghadapi hidup ini.

Aku mesti berubah dengan seikhlas mungkin. Seperti mana kata – kata arwah Marziah. Marziah, kini masih ada kesempatan lagi buatku . Aku mahu menjadi muslimah yang terbaik. Seperti Saidatina Aisyah, seperti Saidatina Khadijah dan seperti serikandi – serikandi Islam yang lain. Tudung kepala yang sering kubuang dulu akan kupakai buat selamanya. Bukan tahun depan, bukannya dua puluh tahun akan datang, tetapi sekarang ini juga aku akan berubah. Aku semakin tidak yakin dengan kehidupanku kini. Bahkan aku tidak pasti sama ada masih ada lagi kesempatan buatku.

Air mata Nadia semakin deras. Aku mahu berubah ! Sekarang ! Sudah terlalu banyak pengajaran yang dapat memberi tauladan buat aku meneruskan kehidupan ini.

“ Ya Allah, ampunilah segala dosa – dosaku, ampunilah segala dosa kedua ibu bapaku. Aku bersyukur kepada- Mu kerana telah memberi kesempatan buatku untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Ya Allah sesungguhnya kau tetapkanlah imanku di dunia dan di akhirat…”

Kini, Nadia sudah bertekad untuk menjaga agama dan peribadinya dengan sempurna sebagai seorang muslimah dan sebagai pelajar di Sekolah Agama Nurul Iman!


NOR

05:56 | Permalink