Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

18 May 2006

Tertunai sudah

Hari itu, aku sibuk berkemas barang-barang keperluanku. Kawan-kawan sedormku juga sibuk. Masing-masing kelihatan gembira, mereka berbual mesra dan diiringi gelak ketawa. Gembira bukan saja kerana akan balik bercuti panjang ke kampung, tetapi juga kerana kami telah 'merdeka'. Merdeka dari demam peperiksaan. Sambil berkemas, kami sibuk bercerita mengenai rancangan masing-masing sepanjang cuti. Menunggu keputusan peperiksaan SPM nanti. "Ah, aku nak kerja kilanglah, boleh kumpul duit", celah Lina yang sedang sibuk dengan beg pakaiannya. "Hai Lin, minat kau nak kerja kilang, "Sambut Ros. Badan" sekeping" nak kerja kilang, aku fikirlah, Pengurus kilang itu tu tengok badan kau pun, dia kesihan," sambung Ros lagi. "Kalau macam badan aku ini, bolehlah, "usik Ros lagi, sambil dia memusingkan badannya. lagak seorang pragawati mengayakan fesyen. Kemudian disusuli dengan gelak ketawa kami beramai-ramai. Memang kami akui, di antara kami Roslah yang mempunyai bentuk badan yang besar. Seorang murid yang ramah dan mudah mesra dengan siapa saja ia berkawan. Satu lagi sikapnya yang kami puji ialah ia tidak lokek dalam segi apa pun. Bersikap "happy go lucky" dalam sebarang keadaan.
Bukan saja kami, malahan guru-guru juga amat menyenangi perangainya. Lina pula seorang murid yang tinggi dan kurus. Perwatakannya lembut tapi tegas dalam membuat segala keputusan, cepat mesra dalam pergaulan dan senang diajak bergurau. Kami sedorm geli hati melihat telatah mereka berdua. Memang kalau mereka berdua berjumpa, maka tidak kering gusilah dibuatnya. Ada-ada sahaja cerita yang menarik dan melucukan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Aku meneruskan kerjaku sambil mendengar perbualan mereka. Ingatanku melayang ke kampung terkenang kepada emak, ayah serta pada adik-adik yang sangat ku rindui, lebih-lebih lagi pada TJ yang sudah lama tidak bersua. Esok pagi aku akan ke stesen bas untuk menaiki bas yang bertolak ke negeriku. Esok juga aku akan meninggalkan sekolah ini, yang telah meninggalkan banyak kenangan pahit manis selama lima tahun aku menuntut ilmu. Dan yang paling sedih dan berat rasa di hati ialah berpisah dengan sahabat-sahabatku terutama Lina, Ros dan Ita yang telah ku anggap seperti keluargaku sendiri. Jika ada sebarang masalah yang timbul kami akan berbincang bersama.
Lea, Lea, ada surat untuk kaulah, "teriak Ita. Panggilan itu membuatku tersedar dari lamunan. Aku, tanpa banyak bicara lagi, terus mendapatkan Ita yang sedang memegang surat bersampul biru.
"Hai Lea, dah nak cuti pun kau masih terima surat, "Usik Ros mencemburui aku. "Tentulah dari sidia, "usiknya lagi. Aku hanya diam saja tanpa menghiraupun usikannya. Aku meneliti setem yang bercop tempat di mana TJ tinggal. Dalam hatiku berkata, "mungkin dari TJ kerana sudah lama ia tidak menghantar berita buatku,". tapi bila aku perhatikan, tulisan namaku nyata sekali tulisannya berbeza dari tulisan TJ yang telah aku arif bentuknya. "Apa lagi ditenong-tenong, bukalah lekas surat tu, manalah tahu sidia hendak berjumpa, melepaskan rindulah katakan, "Usikan Ros berpanjangan. Aku pun tanpa berlengah lagi terus membuka surat tersebut walaupun hatiku terasa tidak sedap dan berdebar-debar saja.
Aku membaca patah demi patah perkataan yang terkandung dalam surat itu. Hatiku menjadi sebak, degup jantungku bertambah kencang, badanku lemah longlai serta air mataku menitis tiba-tiba, apabila aku membaca kandungan sebenarnya surat tersebut. Antara lain ialah.
"Kak Lea, saya adalah adik kepada abang TJ yang kakak kenali. Di sini saya ingin memberitahu kepada kakak bahawa abang TJ sudah meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Beliau telah terlibat dalam kemalangan jalanraya dengan sebuah kereta. Waktu itu abang TJ sedang menonggang motosikalnya dalam perjalanan ke negeri M untuk menemui kak Lea. Abang TJ mengalami luka parah dan sempat dikejarkan ke hospital yang berdekatan. Tapi sayang, doktor tidak dapat menyelamatkan nyawanya dan ia telah menghembuskan nafas terakhirnya pada keesokkan harinya. Sebelum abang TJ meninggal dunia.Dia ada menyebut-nyebut nama kak Lea. Dan sekali lagi Ina memohon maaf kerana lewat memberitahu kak Lea mengenai peristiwa tersebut. Ini bukanlah Ina sengajakan, tapi Ina terpaksa mematuhi pesanan abang TJ. Abang tidak mahu mengganggu kak Lea kerana waktu itu kak Lea akan menghadapi peperiksaan yang besar buat diri kakak."
Setelah aku habis membaca surat tersebut, air mataku jatuh berguguran, aku tidak dapat menahan kesedihan. Kawan-kawanku yang tadi-nya sibuk berkemas dan berbual, tiba-tiba diam apabila mendengar tangisanku. Mereka menghampiriku dan bertanya-tanya sesama sendiri. Ita( salah seorang kawanku bertanya. "Kenapa Lea, kenapa kau menangis, apa yang telah terjadi, cakaplah,".
Aku hanya membisu sahaja sambil menghulurkan surat kepadanya. "Bersabar lah Lea, itu semua sudah ditakdirkan Tuhan, kita hanya berupaya berdoa sahaja, semoga rohnya dicucuri rahmat," pujuk Ita menasihatiku.
Di antara kawan-kawanku. Italah yang paling rapat sekali denganku. Segala hal peribadi dan perhubunganku dengan TJ telah dia maklumi. Malah kami berdua tiada rahsia lagi.
Masihku ingat lagi, pada tanggal tersebut sebagaimana yang telah dijanjikan, TJ akan bertemuku di T.B. pada pukul dua petang. Hari itu ialah hari di mana seminggu lagi aku akan menghadapi peperiksaan S.P.M aku. Aku menanti dengan penuh debaran dan gelisah. Berdebar kerana mungkin ada sesuatu yang hendak di sampaikan dan gelisah kerana menanti kedatangannya yang tidak kunjung tiba. Setelah jam menunjukkan pukul lima petang, namun bayanganya masih tidak kelihatan. Aku terus melangkah pulang dengan kehampaan dan kekecawaan. Dalam perjalanan pulang berbagai persoalan timbul di tempurung kepalaku. "Mungkin TJ ada hal lain yang lebih penting dan tidak sempat menghubungiku," bisik hati kecilku. Kata-kata itu lahir hanya untuk menyedapkan hatiku yang tidak tenteram. Oleh kerana seminggu lagi aku akan menghadapi peperiksaan S.P.M., aku terus melupakan peristiwa itu. Oh Tuhan, rupa-rupanya kecelakaan telah berlaku keatas dirimu. Dalam usia yang masih muda, kau telah pergi untuk selama-lamanya untuk menyahut panggilan Ilahi. Tenaga dan jasa hatimu amat diperlukan oleh negara terutama sekali keluargamu yang ingin melihat kau memegang ijazah dan seterusnya menjadi seorang pendidik.
Aku tahu, keluargamu merasa kehilangan yang besar. Kau merupakan anak sulong dan anak tunggal dalam keluargamu yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Begitu besar harapan keluargamu ingin melihat kejayaanmu. Hal itulah yang sering kau simpaikan, apabila menulis surat kepadaku. Tapi kini, harapan itu tinggal harapan, yang pergi bersama sekujur tubuh yang kaku. Hilanglah segala gelak ketawa yang sering memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada adik-adikmu.
Itu semuanya aku dengar dari ibu dan adik-mu, Lina. Mereka telah menceritakan segala peristiwa yang berlaku kepadaku sewaktu aku mengunjungi rumahmu seminggu selepas aku menerima surat dari adikmu. Masihku ingat lagi kata-kata ibumu," Lea, janganlah kau bersedih, Mak cik lebih merasai kehilangannya. Dia yang pergi tidak akan kembali lagi Jadi kita yang tinggal ini, sama-samalah berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama-sama orang yang diberi perlindungan oleh Allah". Nasihat ibumu membuat aku lebih tabah menghadapi cabaran dan dugaan hidup.
"Lea, belajarlah bersungguh-sungguh dan abang berharap agar tercapai cita-citamu", itulah juga kali terakhir pertemuan kita, waktu itu kau dalam cuti semester dan aku pula sebulan lagi akan menghadapi peperiksaan S.P.M ku.
Kini baruku sedar, perangai ganjil yang kau tunjukkan kepadaku sewaktu pertemuan itu. Kau mengajakku mengelilingi bandar M dengan menaiki motor scramblermu,aku cuba menolak, dengan alasan aku tidak pernah menaiki motor tapi kau seolah-olah memaksaku. Aku tiada pilihan lain, untuk menjaga hatimu, aku terpaksa menurut kehendakmu, Kau membawaku mengelilingi bandar M, setelah penat kau mengajakku pula makan di sebuah restoran, aku hanya mengikutimu. Sewaktu kita akan berpisah kau telah memberikanku sebatang pen yang bertulis gabungan nama antara kau dan aku dan kau juga sempat meluahkan perasaanmu.

"Lea, apabila sudah berjaya kelak, abang harap Lea pilihlah bidang perguruan kerana ia sangat sesuai untuk seorang wanita. Menjadi pendidik adalah sesuatu tugas yang mulia kerana dapat mendidik anak bangsa yang bakal menjadi pemimpin negara," harapannya kepadaku.
Sebenarnya aku tidak meminati bidang perguruan. Kau juga sendiri tahu, aku lebih berminat dalam bidang lukisan. Pernah suatu hari, aku beritahu padamu apabila aku berjaya dalam peperiksaan S.P.M. ku, aku bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek. Kau hanya diam saja, tidak menyokong dan juga tidak membantah.
Setelah keputusan peperiksaan keluar. Aku telah berjaya mendapat pangkat ke dua. Aku bersyukur terhadap keputusan yang aku perolehi walaupun tidak memuaskan hati. Berdasarkan keputusan itu, aku cuba memohon untuk melanjutkan pelajaranku ke pusat pengajian tinggi. Di samping itu aku juga telah memohon untuk memasuki Maktab Perguruan.
Aku telah bernasih baik, Kedua-dua permhonanku telah berjaya diterima. Ketika itulah aku dalam keadaan dilema samada ingin meneruskan cita-citaku ataupun menurut cakap orang tuaku. Ibuku lebih suka aku menjadi guru kerana aku merupakan anak bongsu dari lima orang adik-beradik. Malah, ibuku selalu mengharapkan semoga salah seorang daripada anaknya akan menjadi guru. Jadi untuk tidak menghampakan harapan ibuku serta kata-kata nasihat darimu, akupun menerimanya. Walaupun hati ini terlalu berat untuk menerima.

Kini setelah hampir setahun aku berada di maktab ini. Aku mula merasai kebenaran kata-katamu. Walaupun sebelum ini tiada terlintas di hatiku untuk mendapat gelaran cikgu. Aku mula sedar dan insaf menjadi seorang pendidik bukan-lah satu tugas yang ringan seperti yang di anggap oleh setengah-setengah masyarakat. Dari sekarang, aku sedang cuba menanam sifat-sifat serta menerima hakikat yang sebenarnya bahawa aku adalah seorang guru. Dan satu hari nanti apabila aku keluar kelak, aku akan dipanggil cikgu oleh anak muridku.
Tapi sayang, kau tidak dapat melihat kejayaanku. Kejayaan bakal menjadi seorang guru seperti yang kau harapkan. Tapi aku merasa puas kerana dapat menunaikan cita-citamu.
Walaupun peristiwa ini, telah berlalu hampir dua tahun, tapi ianya masih segar dalam ingatanku. Apabila menjelangnya peperiksaan S.P.M. pada setiap tahun maka kenangan itu akan sering menghantui fikiranku, air mataku sudah mengalir membasahi pipiku. Selepas sembahyang aku menghadiahkan Al Fatihah untuk rohmu Amin.

03:55 | Permalink