18 May 2006
Derita seorang sahabat
Sedang asyik aku menghayati seni kata lagu 'Mungkin Nanti', aku terkenang peristiwa silam bersama sahabat karibku.
"Saya Izzah, nama saudari pula?" Aku memperkenalkan diri.
"Saya Izma" jawabnya mesra.
Begitulah detik perkenalanku dengan Izma. Daripada ramalanku, Izma seorang yang lembut dan sopan. Izma kelihatan lebih ayu apabila tersenyum kerana dia memiliki sepasang lesung pipit.
Ah, cantiknya Izma! terbit perasaan cemburu di hatiku.
Persahabatan kami bermula semenjak kami ditempatkan di dalam sebuah kelas yang sama. Persahabatan kami semakin hari semakin akrab kerana kami mempunyai minat yang sama. Kami diibaratkan seperti isi dengan kuku. Aku dan Izma amat meminati aktiviti lasak dan sering melibatkan diri dalam permainan bola tampar dan bola jaring.
Sepanjang perkenalanku, Izma seorang yang periang tetapi di sebalik sifat periangnya, aku mendapati Izma merahsiakan penyakit yang dihadapinya daripada pengetahuan ibu bapanya dan rakan-rakan yang lain. Hanya aku tempat dia mengadu segala masalah dan keperitan dirinya menahan sakit.
"Izzah, tahu tak sejak akhir-akhir ini Izma sering bersedih, sedangkan Izma
tidak boleh bersedih, nanti..." kata Izma pada suatu hari.
"lzma, jangan macam ni, kuatkan semangat, tabahkan hati dengan ujian Allah kerana segala yang berlaku ada hikmahnya. Banyakkan berdoa kepada Allah. Lagipun Izma, kan ada Izzah. Izzah akan sentiasa berada di sisi Izma. Izzah mendoakan Izma panjang umur dan sihat daripada keperitan penyakit yang Izma tanggung selama ini."
Aku berharap nasihatku diterima oleh Izma. Hanya itu yang terbaik dapat kuberikan kepada Izma kerana aku amat menyayangi Izma dan sangat simpati dengan penyakit yang dihadapinya.
"Izzah semalam Izma jumpa doktor. Kata doktor jantung Izma semakin teruk dan mata Izma semakin kekuningan. Izma takut sahabat lain akan tahu penyakit Izma, lebih-lebih lagi keluarga Izma. Selama ni, kalau Izma sakit, Izma tak pernah beritahu mereka. Keluarga angkat Izmalah yang banyak membantu Izma. Merekalah yang menampung kos rawatan Izma selama ini."
"Tabahlah Izma dan banyakkan berdoa kepada Allah. Selagi Izzah mampu tolong, Izzah akan tolong. Kalau Izma tidak tabah, Izzah lagi sedih. Kita kan sahabat tapi Izma jangan lupa makan ubat dan dengar nasihat doktor. Dalam hidup Izzah, Izmalah sahabat setia Izzah, tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Izma di hati Izzah."
Sedang asyik aku terkenang peristiwa silam, tanpa ku sedari sepucuk surat terjatuh daripada genggamanku. Aku segera mengambil surat tersebut dan membacanya.
Izzah,
Semasa Izzah membaca surat ini, Izma telah selamat menjalani pembedahan. Terima kasih Izzah kerana telah banyak membantu Izma. Izma sayang persahabatan kita. Izma harap Izzah sudi hadir ke majlis kesyukuran yang akan diadakan pada hari Isnin depan pada pukul 8.00 malam. Izma harap Izzah hadir ke majlis tersebut kerana Izma ingin sekali menemui Izzah.
Yang Merinduimu, Izma.
Air mataku terus berlinangan namun kegembiraan di hatiku mula berputik. Adakah ini realiti atau sekadar fantasi yang dapat memujuk hatiku... Aku bertekad akan pulang ke Malaysia secepat mungkin sebaik sahaja aku tamat pengajianku dalam bidang perubatan di London.
Ya Tuhanku, aku bersyukur kepadamu kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Mu, sahabat yang aku sayang selama ini dapat menikmati hidup ini dengan sempurna tanpa penderitaan. Hanya Kau yang mengetahui segala isi hati hamba-Mu ini,..
Oleh : Nur Faizzah Ahmad Zurin
Bandar Baru Bangi
04:00 | Permalink