07 May 2007
Kepuasan dari sujud...
Pernahkah kita terfikir, setelah saban usia kita mendirikan solat berserta syarat rukunnya, apakah rukun solat yang paling disukai oleh Allah s.w.t.? Persoalan ini kita utarakan, mudah-mudahandapat menambahkan kefahaman kita mengenai ibadah solat yang kita dirikan selama ini.
Dengan menyelami, memahami, menjiwai serta menghayati setiap detik ibadah atau solat yang dikerjakan, barulah kita akan mendapat kemanisan dan faedah darinya. Barulah ibadah kita itu dapat mendinding dan mencegah diri kita dari dosa dan noda.
Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.(Al-Ankabut: 45)
Sememangnya segala rukun di dalam solat, baik rukun yang melibatkan hati (qalbi), lisan (qauli) mahupun perbuatan mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di sisi Allah. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya sarat dengan hikmah dan pendidikan dari Allah Taala.
Namun begitu, amalan atau rukun yang paling disukai Allah ialah rukun sujud. Dikatakan juga bahawa waktu sujud itu adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Kenapa rukun sujud itu sangat utama dan paling disukai Allah?
Cuba kita perhatikan bagaimanakah keadaan kita ketika bersujud itu. Tidakkah pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan rasa menghina dirinya seseorang hamba itu di depan Tuhannya.
Dia berada di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa Ya Allah, hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan meminta pertolongan.
Seorang Sahabat Nabi s.a.w., iaitu Huzaifah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda,Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah, daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah (sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah).(Riwayat Imam Tabrani di dalam Ausath).
Orang yang tidak mahu, tidak suka, enggan ataupun malas bersujud kepada Allah sudah dapat digambarkan tahap kesombongan, keangkuhan dan keegoannya. Sinonimnya orang yang ego untuk sujud kepada Allah, adalah orang yang juga ego dan sombong kepada sesama manusia. Tidak begitu?
Untuk sujud, meratakan dahi (muka) setaraf bumi dirasakan terlalu leceh, kolot dan membuang masa. Kalau ia bersujud pun, sujudnya tidak sempurna ibarat patukan ayam sahaja - hendak cepat selesai.
Apalagi kalau yang bersujud sama di sebelahnya ketika itu adalah seorang fakir miskin. Hatinya rasa mendongkol dan bibirnya menjuih ke depan penuh penghinaan.
Inilah manusia-manusia angkuh. Manusia-manusia yang ingin memakai selendangAllah, sedangkan selendang sombong (kibriyak) itu hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja.
Role Model
Role model kepada manusia-manusia angkuh itu tak lain tak bukan adalah Iblis laknatullah sendiri. Dalam al-Quran, surah al-Baqarah, Allah telah merakamkan betapa angkuh dan bongkaknya Azazil ini untuk sujud kepada Nabi Adam a.s., sebagai satu perintah dari Yang Maha Berkuasa.
Sementara itu, di kalangan manusia, masih ramai lagi bilangan yang tidak mendirikan solat lima waktu. Tidak bersolat maknanya tidak bersujud dan tidak tunduk kepada Allah. Justeru, orang yang tidak mendirikan solat sebenarnya adalah orang yang sombong terhadap Allah.
Sedangkan setiap orang daripada kita, tidak kira siang atau malam, pagi atau petang, menghidup udara Allah, meratah dan memburu rezeki-Nya di segenap penjuru dunia, juga menghidu setiap kuntum nikmat-Nya. Hamba jenis apakah kita ini jika masih tidak mahu tunduk dan sujud kepada Tuhan pemberi nikmat?
Firman Allah, bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami) mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombingkan diri.(As-Sajadah: 15)
Di dalam perlakuan sujud itu, ada simbolik dan hikmah yang harus kita fahami dan hayati. Iaitu bersama tertancap dan ratanya tujuh anggota badan kita dengan bumi.
Pergerakan yang sepenuh jiwa, sepenuh rasa hina dan mengharap kepada Allah s.w.t. Simbolnya ialah penyerahan total seorang hamba terhadap Penciptanya dalam menerima serta mematuhi segala perintah dan larangan dari-Nya.
Jangan sampai berlaku, hanya di dalam solat sahaja kita sujud, tetapi di dalam kehidupan seharian kita bersifat jauh api dari panggang. Dalam erti kata yang lain kita tidak tunduk, tidak taat dan tidak menyerah secara total kepada peraturan dan sistem Allah yang maha sempurna.
Sujud sebegini adalah sujud yang tidak luhur, tidak tulus kepada Allah s.w.t. Sujud yang tiada penghayatan (roh), dan tidak akan membentuk diri empunyanya.
Marilah kita sama-sama membina sujud yang berkualiti. Sujud akan memberi makna dan kepuasan maksimum bilamana hamba-hamba Allah ini sujud di hadapan-Nya dalam keadaan menghina diri, memohon keredhaan-Nya.
Ubadah bin Somit r.a. telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Tiadalah seorang hamba yang sujud kepada Allah dengan sekali sujud, melainkan Allah menuliskan bagi hamba-Nya itu satu kebaikan, menghapuskan baginya satu kejahatan dan mengangkatkan baginya satu darjat.
01:06 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.