Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 May 2007

Kolej matrikulasi jadi pusat kepakaran khusus

Oleh Syuhada Choo Abdullah

SEMUA kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran akan dijadikan pusat kecemerlangan yang memfokus kepada aspek tertentu berdasarkan bidang kepakaran masing-masing.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata perancangan itu adalah antara usaha dikenal pasti dalam agenda penjenamaan, pembestarian dan pemartabatan program matrikulasi kementerian.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaannya tetap bergantung kepada pelbagai faktor berkaitan, termasuk dari segi peruntukan, keperluan bidang fokus, serta kepakaran dimiliki kolej terbabit.

Sebagai permulaan, beliau berkata, empat daripada keseluruhan sembilan kolej matrikulasi sedia ada sudah pun dijadikan pusat kecemerlangan dalam dua aspek khusus.

“Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan Kolej Matrikulasi Pahang menjadi pusat kecemerlangan bagi pembangunan, pemerolehan, penggunaan serta pembudayaan perisian kursus, pada 2004.

“Dua kolej matrikulasi terbabit bertanggungjawab membina dan membangunkan perisian kursus yang interaktif untuk menjana proses pengajaran dan pembelajaran bestari dalam pelaksanaan program matrikulasi kementerian.

“Selain itu, berperanan dari segi pengembangan serta pembinaan bahan pengajaran dan pembelajaran secara online di mana pelajar boleh akses melalui portal akademik atau laman web.

“Satu lagi tanggungjawab ialah mengintegrasikan pelbagai bahan sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran yang boleh diperoleh dari banyak sumber berlainan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Zainal Abidin berkata, program pusat kecemerlangan yang memfokus kepada aspek perisian kursus itu bermatlamat membangunkan budaya penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan pensyarah kolej matrikulasi kementerian.

Beliau berkata, inisiatif ke arah pembestarian program matrikulasi itu antara lain bertujuan menyokong pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris serta menjadikan pensyarahnya lebih inovatif serta kreatif dalam penyediaan bahan kuliah.

Dalam konteks ini, katanya, pensyarah di kolej matrikulasi lain boleh mendapatkan maklumat serta pendedahan kepakaran berkaitan, termasuk kemahiran membangunkan portal tersendiri untuk pengajaran dan pembelajaran interaktif, dari dua pusat kecemerlangan berkenaan melalui latihan, taklimat mahupun `training of trainers’.

“Di samping itu, ada juga perisian kursus dibangunkan oleh pensyarah berkepakaran di dua pusat kecemerlangan berkenaan yang boleh diedarkan kepada kolej matrikulasi lain untuk kegunaan bersama dan perkongsian maklumat.

“Bukan itu saja, malah dua pusat kecemerlangan berkenaan turut berperanan menilai bahan pengajaran dan pembelajaran yang dihasilkan oleh kolej matrikulasi lain, serta membangunkan perisian kursus daripada hasil aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) pensyarah,” katanya.


Sumber: Berita Harian 20/5/06

05:32 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink