14 August 2007
Bersyukur jika tak terus buat maksiat
SESUNGGUHNYA cinta dan kasih sayang Allah kepada Kita sentiasa melimpah ruah. Kita tidak mampu menghitungnya.
Salah satunya, Allah SWT memberikan dua 'penutup' kepada kita. Pertama, Dia menutup peluang kita untuk berbuat maksiat. Sungguh bertuah apabila kita selalu gagal berbuat maksiat. Boleh jadi itulah pertolongan daripada Allah, sehingga kita tidak tergelincir ke lembah dosa. Justeru kita harus segera insaf. Segeralah sedar dengan mengucapkan istighfar atas segala niat buruk yang meresapi hati kita, sekali gus ucapkan Alhamdulillah di atas pertolongan yang tidak terkira itu.
Kedua, Allah menutupi pandangan orang lain daripada melihat segala kejelekan dan aib yang ada pada diri. Boleh jadi kita terjerumus ke lembah dosa, namun dengan kasih sayang-Nya, Allah menutupi dosa-dosa itu sehingga tidak terlihat orang lain. Di sinilah sebuah rahsia besar
terungkap bahawa kita dihargai, disegani, dipuji dan dimuliakan, bukan kerana kita layak mendapatkannya atau kerana memang kita benar-benar mulia. Kita dihargai orang kerana Allah menutupi setiap kesalahan dan aib kita. Andai Allah membukakan semua kebusukan dan kelemahan diri, nampaknya tidak ada lagi orang yang mahu mendekati dan berkawan dengan kita. Sesungguhnya, Allah saja yang layak menyandang kemuliaan, pujian dan semua kebaikan. Andai kita mendapatkannya, sungguh itulah 'bonus' daripada Allah untuk kita.
Saudaraku;
Dalam AI-Hikam, Ibnu Atha'ilah mengungkapkan; "Siapa yang menghormati kepadamu, sebenarnya hanya menghormati tutup Allah kepadamu. Kerana itu, seharusnya pujian itu hanya untuk Allah yang menutupi (kesalahan) engkau, bukan pada orang yang memuji dan berterima kasih kepadamu."
Sayangnya, kita sering menginginkan ditutupi aib dan kesalahan diri, daripada ditutupi dari bermaksiat kepada Allah. Sebabnya kerana takut wibawa dan citra diri kita jatuh di hadapan manusia, Bila keadaan seperti ini menghinggapi, maka kecintaan kita terhadap dunia, masih mengalahkan cinta kita kepada Allah. Susah senang kita masih ditentukan oleh penilaian manusia, bukan oleh penilaian Allah.
Saudaraku;
Tidak salah jika kita meminta agar Allah menutupi segala kesalahan kita. Namun menginginkan agar dijauhkan dari maksiat tentunya lebih bernilai khusus. Keinginan jenis kedua ini akan menghindarkan kita daripada bertuhankan manusia. Padahal, tidak ada yang paling dibenci Allah, selain mengadakan sekutu bagi-Nya.
Semaklah kisah berikut. Kelak pada hari Kiamat ada beberapa orang yang dibawa ke syurga. Namun setelah melihat segala kesenangan yang ada di dalamnya , serta berasakan sedikit kesegarannya, tiba-tiba Allah memerintahkan malaikat untuk menghalau mereka dari syurga. Ternyata, syurga bukanlah tempat yang disediakan kepada mereka. Tempat mereka yang sebenarnya adalah neraka. Kembalilah mereka dengan keadaan amat terhina dan penuh penyesalan.
Mereka berkata, "Wahai Tuhanku, andaikan Engkau masukkan kami ke dalam neraka sebelum memperlihatkan kepada kami syurga, dengan segala kenikmatan yang Engkau siapkan kepada ahlinya, nescaya akan terasa lebih ringan bagi kami." Allah berfirman, bermaksud: "Kami sengaja melakukan yang demikian.
"Sebab dulu, jika anda sendirian, anda dengan bebasnya melakukan maksiat. Namun jika bertemu dengan orang lain, anda berlagak alim. Anda takut dengan manusia, namun tidak takut kepadaKu.
Anda mengagungkan manusia, namun tidak mengangungkanKu. Anda condong kepada manusia, namun tidak condong kepadaKu. Maka pada hari ini, rasakanlah seksaKu, dan diharamkan atasmu segala RahmatKu." Wallaahu alarn.
17:55 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.