Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

21 August 2007

Mengapa anda mudah lupa

SEMUA maklum bahawa sepanjang hari anda menerima banyak maklumat dan pengalaman baru yang mana tahap kepentingannya adalah berbeza-beza. Jika sekiranya semua maklumat baru itu disimpan oleh daya ingatan anda, maka anda akan mendapati betapa sukarnya untuk mengurus semua data-data dan fakta-fakta maklumat tersebut. Mujurlah daya ingatan anda dapat melenyapkan mana-mana fakta yang tidak penting secara berterusan untuk mengisi minda anda. Dengan proses ini anda akan lebih mudah mengingati apa yang perlu di kala ianya perlu diingat. Bagi mempastikan maklumat disimpan secara kekal, maka anda perlu mengulang mengingatnya pada waktu-waktu tertentu selepas menerima maklumat tersebut.


Jika kita tidak mengulang bagi mengingat semula maka maklumat tersebut lama-kelamaan akan lenyap dengan sendirinya. Misalnya dengan selalu menatap gambar orang tersayang akan menyebabkan kita sukar melupakannya. Jadi untuk mengelakkan kita dari mudah lupa maka proses mengingat semula sesuatu perkara penting itu perlu dibuat. Di sinilah pentingnya pelajaran sejarah bagi menimbulkan semangat sayangkan watan/patriotik ditanamkan di kalangan generasi muda.

Fakta sejarah penjajahan bangsa Melayu selama 455 tahun mesti diketengahkan agar anak bangsa tak mudah lupa betapa hinanya, betapa susahnya, betapa hapraknya kita dulu berbanding sekarang. Jangan mudah lupa sejarah. Sambutan ulang tahun adalah penting bagi mengingatkan kita semua akan detik kebebasan kita dari cengkaman penjajah.

Perlu ditekankan di sini bahawa daya ingatan adalah sebahagian dari proses kerja otak, maka fahamlah kita bahawa apa saja yang menjejaskan kesihatan otak akan menyebabkan seorang itu mudah lupa. Otak cuma berfungsi sempurna bila cukup oksigen. Ringkasnya otak perlukan oksigen yang banyak untuk berfungsi dengan baik. Sebenarnya otak menempati cuma 2 peratus dari berat badan seseorang itu secara keseluruhan, tetapi otak menggunakan sebanyak 25 peratus dari oksigen yang diterima oleh tubuh. Gas oksigen ke otak melalui aliran darah. Jadi apa saja yang menyekat aliran darah ke otak akan memberikan kesan yang besar ke atas fungsi otak dan seterusnya boleh menjejaskan keupayaan daya ingatan/proses mengingat juga terjejas dan anda akan jadi mudah lupa.

Di samping itu, tabiat makan yang tidak baik (mengambil makanan yang tidak seimbang) dan kurang bersenam boleh menjadi punca asas terencatnya daya ingatan. Bersenam akan melancarkan aliran darah dan lebih banyak oksigen berada di sel-sel tubuh badan.

Memang benar anda tidak lupa semua perkara akibat dari kurangnya oksigen ke otak. Tetapi anda akan mendapati secara amnya kesukaran untuk belajar sesuatu dan sukar untuk mengingat kembali maklumat penting yang telah diketahui terdahulu pada masa yang dikehendaki. Penyakit-penyakit seperti serangan angin ahmar dan kecederaan kepala yang ringan berkemungkinan boleh merosakkan bahagian-bahagian otak di mana tersimpannya data-data yang perlu diingat. Jadi cegahlah penyakit sedemikian dan cuba elakkan dari kemalangan di bahagian kepala. Bersukan seperti tinju/gusti dan sebagainya yang agak lasak/bahaya sepatutnya dijauhi agar kesihatan otak tidak terjejas sepanjang hayat.

Lazimnya masyarakat percaya bahawa semakin tua seseorang itu, maka semakin hilang daya ingatannya. Ini sebenarnya tidak tepat. Para penyelidik mendapati bahawa warga tua yang sihat dan masih aktif mentalnya (rajin membaca, rajin berfikir, rajin menyelesaikan masalah, rajin menelaah, rajin berdialog, kretif) cuma menunjukkan sedikit atau tiada langsung penurunan tahap keberkesanan daya ingatannya. Misalnya Perdana Menteri kita sudah berumur 76 tahun namun masih tidak mudah lupa kerana masih aktif mentalnya.

Seperkara lagi yang perlu ditekankan adalah elakkanlah pengambilan alkohol kerana setiap kali anda minum alkohol maka anda telah memusnahkan ribuan sel-sel otak dan seterusnya menjejaskan daya ingatan anda yang amat berharga itu. Anda lupa dunia dibuai oleh kesan alkohol dan lain-lain dadah yang mengkhayalkan. Hargailah nikmat akal.

Secara amnya, maklumat telah tersimpan di otak anda sebagai ingatan jangka panjang, tetapi telah bercampur-baur dengan perkara lain atau telah dilupuskan/jadi pudar kerana ianya tidak diperkukuhkan secukupnya melalui cubaan mengingat semula/latihan mengingat. Seseorang hafiz al-Quran perlu mengulang-ulang membaca ayat-ayat yang perlu dihafalnya sepanjang waktu. Jika tidak akan mudah lupa.

Kadangkala, maklumat yang perlu diingat masih tersimpan di otak, tetapi anda tidak berupaya mengeluarkannya pada ketika yang perlu tanpa pemasalahan mendesak. Ingatan adalah sesuatu yang terbentuk dan tersimpan, dan bila mana anda mempunyai keperluan berkaitan sesuatu masalah saja maka anda dapat mengeluarkan ingatan tersebut. Untuk itu anda perlu melatih minda anda untuk meningkatkan keupayaan mengingat sesuatu dengan aktiviti kreatif yang mencabar minda. Ada baiknya anda membaca buku-buku yang mencabar minda atau menonton drama berat yang menuntut otak bekerja keras untuk menyelami mesejnya. Kalau minat anda cuma membaca kartun dan menonton filem bercorak hiburan ringan saja maka minda anda tidak tercabar dan daya kreativiti anda tidak dirangsang. Akibatnya anda mudah lupa.

Jika sekiranya sesuatu maklumat yang diterima itu tidak pernah dipedulikan. Maka sudah tentu anda akan mudah melupainya. Ilham/idea yang diperolehi oleh seseorang pengarang itu sebenarnya umpama seekor burung yang bertenggek di dahan, bila ilham yang datang itu tidak dicatit atau tidak diendahkan maka ilham/idea itu akan 'terbang' dan tidak akan kembali lagi, sebagaimana burung yang bertenggek itu jika tidak dipikat sudah tentulah ia pergi begitu saha. Dalam erti kata yang mudah dapatlah difahamkan bahawa ilham yang datang dalam bentuk daya ingatan itu akan mudah lupa maka kita mesti mampu mengatur makluamt yang ada dan diterima agar tercatit segar diingatan sepanjang masa.

Pendek kata anda perlu ada buku catitan peribadi yang merekodkan apa saja yang anda fikir perlu diingat umpamanya daftar hutang piutang, nombor telefon rakan dan sebagainya agar dapat diingat dengan segera bila perlu. Sesuatu yang kita catit sukar untuk dilupakan. Kita tidak akan mudah lupa terhadap ala saja yang kita lihat dengan mata kepala sendiri.

Ada juga keadaan di mana seseorang itu berudaha melupakan maklumat yang tidak diingininya. Ini juga menjadikan seseorang itu mudah lupa. Ini dapat terjadi bila individu tersebut memotivasikan diri ke arah melupakan apa saja yang tidak dikehendakinya. Usaha melupakan fakta yang ada dalam kotak fikirannya dibuat mungkin kerana kepentingan duniawi tertentu.

Umpamanya gambar pemimpin yang dibenci tanpa sebab dibakar semata-mata untuk menafikan segala jasa dan budi yang telah ditaburkan oleh pemimpin tersebut terhadapnya.

06:05 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.