Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

21 August 2007

Strategi Cemerlang Dalam Peperiksaan

PERSEDIAAN FIZIKAL

KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari
ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan
peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu
persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda
perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan
kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan
membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang
berikut:

Tidur yang cukup. Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam
sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan
boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk
kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur
yang optimum ini dari sekarang.

Jaga pemakanan. Allah s.w.t telah berfirman yang
mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan"
(Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan sebagai yang baik disini ialah
baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak
dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).
Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari
sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan
menggelapkan hati mereka.

Riadah. Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar
yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk
untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20
minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan
yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini,
lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda
boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat
peperiksaan penting nanti.



KESELAMATAN

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri
anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan.
Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda pasti tidak mahu
mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital.
Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak
berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai
kemungkinan. Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa
anda untuk berada dirumah.


PERSEDIAAN MENTAL
Pelbagai Gambaran Negatif.

Kerapkali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan
peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walau pun anda telah
berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini
sering mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar
ialah:

Menyerah kalah sebelum berjuang. Ini disebabkan kerana mereka
rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat
apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka
percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada
keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini. Mereka cuba
membaca tetapi dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu
memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.

Merasa belum bersedia. Keadaan yang kedua pula berlaku kepada
mereka yang sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum
cukup bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau
segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca
kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang
berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik? Semua ini bermain
difikiran.

Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi. Tidak ada ibu bapa yang tidak
mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa
berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa
memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi
ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan
mengganggu fikiran mereka. Kepada ibu bapa, saya sarankan agar
dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut
kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda
mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh.
Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak. Ini akan
mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.
Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah
berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda
lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda
bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu
bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih
ada untuk berusaha sepenuhnya.

Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar
pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat
anda. Ia juga membuatkan anda meragui kebolehan diri anda.

Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada
pencapaian langsung".

"Something is better than nothing"

Lakukan "Latihan Minda" setiap hari.

"If you can't see it, you can't have it".

Kata-kata di atas menunjukkan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan
itu maka gambaran kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam
pemikiran. Sebelum anda mampu mendapat 8A dalam PMR, maka 8A itu
mesti terlebih dahulu ada dalam pemikiran. Ia ibarat menghasilkan
sebuah lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak
gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda nampak
dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda tidak
akan menhasilkan sesuatu yang anda tidak gambarkan. Oleh itu,
gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk
merealisasikan apa yang digambarkan itu. Makin jelas gambaran yang
ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk merealisasikannya.

Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat
latihan minda seperti dibawah.

Duduk dikerusi anda dengan selesa. Tangan diletakkan di atas peha.
Badan tidak bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot,
sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.

Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan
hembuskan melalui mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda
menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda
membuang segala ketakutan dan kebimbangan.

Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil
atau besar. Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu.
Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan
sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda. Dimana ia
berlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa
yang anda dengar? Kalau ada tepukat, dengar tepukan gemuruh ketika
itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa yang memuji itu.
Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara
yang ada dengan jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu.
Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda
sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu
kembali.

Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-
dua peha anda dengan tangan. Biar terasa sedikit sakit. Buka mata
anda, dan pejam kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.

Kini pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan
peperiksaan. Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja tersedia
kertas soalan. Rasakan ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini
anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang
anda baca keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana
anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan penuh keyakinan.
Ide keluar mencurah-curah. Gambarkan 8A dalam PMR (Gred 1 untuk
SPM). Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha anda seperti yang
telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.

Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.

Buatkan latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari. Sekiranya anda
lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal
perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik
nafas dan mencubit kedua-dua peha.

Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan
anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda.

Selamat mencuba!


PERSEDIAAN EMOSI
Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri
dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut
perlu dielakkan:

Pertengkaran dengan rakan-rakan;
Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;
Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan;
Bersikap terlalu yakin - "overconfident";
Berprasangka buruk terhadap orang lain;
Ramai pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang
berlaku terhadap mereka. Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat
semulajadi mereka. Apa perasaan anda kalau rakan membohongi anda?
Anda mungkin serta-merta menjadi marah. Apa berlaku kalau rakan
memulau dan mengejek anda? Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil
hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku
dengan persediaan peperiksaan anda? Anda pasti tidak mampu
memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya luka dihati
berkekalan berhari-hari.

Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda. Jangan izinkan sesiapa
melukai hati anda. Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh
berbohong dan sebagainya. Mereka ada suara, biarkanlah mereka.
Anda cuma pekakkan telinga. Banyakkan bersikap sabar. Teruskan
sahaja kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila
anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.

Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan
atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat
setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif,
iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang
positif. Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan
ada hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu
membenteng emosi anda.


PERSEDIAAN ROHANI
Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani
juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah
mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah
lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu
disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu
untuk meraih ketenangan ini.

Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:

Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukan solat hajat dan pohon
agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi
peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam
peperiksaan.
Minta restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anaknya sangat
makbul. Jadi mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka
mendoakan kejayaan anda.
Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir
akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda
sering membaca al-quran. Allah telah berfirman dalam surah ar-
Ra'ad, ayat 36, yang mafhumnya "Sesungguhnya dengan mengingat Allah
akan menjadi tenanglah semua hati".
Jauhi maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa
besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang
resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.
Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.



MENGATASI PELBAGAI SOALAN
DAN KEBIMBANGAN.
Saya tidak tahu dimana patut bermula.
Jangan panik. Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan.
Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah
dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama didahulukan.
Rancang masa untuk menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya.
Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan.
Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang
dibincangkan oleh guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat yang
ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa
bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi
pembelajaran anda. Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda
dengan topik yang senang dahulu. Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu.
Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan,
tingkatkan waktu belajar anda.

Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat tinjauan
keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami konsep-
konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham. Mulakan
belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang
kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya
kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh
membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau
anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci.

Subjek ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan mengantuk apabila
membacanya.
Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan kaedah membaca yang
berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan topik yang
dipelajari sebelum memulakan ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika
belajar. Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis
nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris
kata kunci dan menjawab soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak
mungkin dengan apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca
kepada gambaran minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif
tentang subjek tersebut dan bincangkan.

Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya.
Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah
aanda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:

Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.

Gunakan Teknik Ceraian.

Gunakan Teknik Mnemonik.

Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama anda
kemana sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad-kad ini.

Anda rasa anda faham apa yang dibaca. Anda rasa anda telah
mengingatinya.
Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan. Uji
ingatan dan pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan dari buku atau
dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Bina soalan-soalan
berdasarkan tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana?
Berapa? Kenapa? Bagaimana? Misalnya, kalau anda sedang membaca
sejarah Melaka diserang Portugis, tanaya kan soalan-soalan seperti:

Bila Melaka diserang?
Kenapa Melaka diserang?
Siapa yang menyerang?
Bagaimana Melaka diserang?

Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.
Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan
dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam
bentuk yang sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh
anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:

Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya.
Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain
dalam tajuk tersebut.

Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan
persamaan yang ada. Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini
boleh dilakukan).

Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-
bahan yang ada perkaitan. Misalnya, kalau anda sedang membaca
sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu
carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu
penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda
mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara
tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka.

Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa?
Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa sebagai manusia
normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam masa 24
jam. Oleh itu anda perlu merancang satu strategi agar anda mampu
mengatasi kelemahan ini.

Pastikan setiap apa yang anda baca telah diringkaskan. Jadikan
fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta
tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan
olehnya. Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda
ringkaskan menjadi dua atau tiga patah perkataan. Selepas 24 jam,
cuba lihat nota ringkas anda ini. Cuba ceritakan semula apa yang
anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda
sudah mampu memanggil semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak,
semak semula sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab soalan-
soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan anda.
Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa. Dengan cara ini
anda tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu
hampir dengan peperiksaan.

Anda suka belajar disaat-saat akhir.
Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat
akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga. Pendapat di
atas adalah tidak benar. Anda perlu belajar seawal mungkin bagi
mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab. Dengan belajar awal
juga anda punya banyak masa untuk bertanya pada guru dan rakan-
rakan. Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan. Lagi kerap
sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda
memahami dan mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda
sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah
dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan
dengan lebih bersungguh-sungguh.



BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN
Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan
yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan
mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam
peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka
dengan betul. Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda
lakukan mulai sekarang hinggalah ke dewan peperiksaan bagi
memastikan anda lakukan yang terbaik.

Bersedia untuk belajar
Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan bagi
memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih
tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.

Sekiranya anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak
yang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru
mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi sekiranya
anda bakal menduduki SPM. Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar
memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu
matapelajaran yang membawa anda ke menara gading. Matapelajaran ini
ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua
matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun,
Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan).
Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata
pelajaran ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.

Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah
yang terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab persaingan ke
universiti kini semakin sengit. Mereka yang berjaya biasanya
memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.

Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan
Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama. Walaupun
anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-
kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih
banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya
penyelesaian.

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku
teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun
lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai
untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan
juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.

Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang
lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab
ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda
kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari
sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu
minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah
untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang
penting, mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji
bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi
setiap masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu
maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari
untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu
berkorban demi masa depan. Anda mungki belajar 1 jam diwaktu pagi,
2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam.
Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.

Mengingati Tajuk
Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda mampu
mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu
matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa
yang anda pelajari.

Buatkan Nota
Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan
dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya. Ramai pelajar
yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya
lupa. Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan
masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota
ringkas. Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang
anda fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan
fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda
mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan
senarai kata kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta konsep
berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan apabila
anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan
fakta yang berkaitan dengannya.

Latih diri anda untuk peperiksaan
Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan anda
tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda anda juga
seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara
intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang
dalam 'bowling' perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan
kemahiran ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda perlu
melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.

Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:

Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang berkesan.
1. Latih mengeluarkan maklumat
Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula. Oleh itu
anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat
yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan seperti:

Menjawab soalan-soalan;
Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
Mengadakan perbincangan dengan rakan;
Menyediakan kad imbasan kecil.
Mengambarcarakan apa yang telah dipelajari.
Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan
soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan fakta-
fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan anda
mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.
2. Hadkan masa menjawab
Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. Peperiksaan
bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi anda
perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah
ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh
dibina melalui latihan yang berterusan.

Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian. Iaitu menjawab
soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.

3. Anggap seperti peperiksaan sebenar
Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan
yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang
sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian.
Gunakan strategi menjawab soalan (lihat di bawah). Ingat masa
berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda
melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang
terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda
memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar nanti.

4. Strategi menjawab soalan
Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya
kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.

Langkah-langkah berikut dapat membantu:

Baca arahan terlebih dahulu.
Baca arahan terlebih dahulu.
Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
Jawab soalan mengikut turutan berikut:
Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul.
Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih
sebelumnya.
Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya
dengan satu kali cubaan.
Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa
yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.
Semak - Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif,
pastikan tandanya betul.
Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan
senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh
itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya
menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir
barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa
masih mengizinkan.
Mencari sebab (post-mortem)
Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab
soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latihan ujian. Semak
setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka
lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab. Setiap kesilapan
ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda
atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:

Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang.
Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.
Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan pada guru atau
rakan.
Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah
dipelajari.
Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi
Menjawab Soalan di atas.
Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan
anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar
kesilapan yang sama tidak diulangi.
Jangan buang masa
Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap
masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang
terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan
masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat. Ceritakan
apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa
yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini
mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar
maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.

Bagi mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-
satu sessi mengulangkaji.

Nota tambahan: Saya telah menemui satu laman yang cukup baik untuk
subjek geografi. Silalah lawat laman berikut
http://www.geocities.com/Paris/2023/

05:27 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.