Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

12 September 2007

Hendak jadi burung atau cicak ?

RIBUAN tahun dahulu, pada zaman Nabi Ibrahim a.s. berdakwah, baginda telah ditangkap dan diseksa oleh orang-orang kafir yang dikepalai oleh Namrud. Baginda kemudiannya dibakar hidup-hidup. Saat baginda dibakar inilah terjadinya dua peristiwa yang unik. Pertama, seekor
burung ciak-ciak (burung yang amat kecil), menggunakan paruhnya yang kecil berulang-alik mengambil air lalu cuba memadamkan api yang marak terbakar itu. Rakan-rakan burung itu kemudian menempelak perbuatan burung itu. Mereka berkata tidak ada apa-apa faedahnya mencurahkan air yang sedikit ke atas api yang marak itu. Api itu tidak akan padam sedikitpun!
Burung itu menjawab:
"Aku bukan memikirkan sama ada perbuatanku ini berhasil atau tidak. Aku lebih memikirkan amanahku kepada Allah. Aku lebih memikirkan takutku kepada Allah. Kelak Allah akan bertanya di akhirat, apakah yang aku lakukan di saat nabi-Nya dibakar hidup-hidup sedangkan aku punya keupayaan?" Tegas burung itu dalam nada ketakutan. Takut kepada Allah. Jawapan burung itu membuatkan burung-burung lain hanya terdiam dan termangu. Kesal dengan sikap masing-masing.
Lain pula halnya dengan seekor cicak. Cicak kecil itu pula cuba menghampiri api itu lalu menghembus-hembus ke arah api tersebut. Cicak itu berharap api itu akan lebih marak dan dapat menghanguskan terus Nabi Ibrahim a.s. Biarpun mungkin dia sedar perbuatannya tidak mungkin memarakkan api, tetapi disebabkan oleh sikap hasad dan dengkinya, dia meneruskan agendanya itu.
Demikian cebisan kecil daripada gugusan kisah dakwah seorang rasul yang diiktirat sebagai Ulul Azmi, Nabi Ibrahim a.s. Apakah pengajaran di sebalik kisah dua ekor binatang kecil ini kepada anda sebagai remaja?
Dalam kehidupan kita di dunia yang tana' ini, kita juga dihidangkan dengan dua pilihan. Pilihan pertama menjadi seperti burung ciak pada zaman Nabi Ibrahim. Taat danh takwa kepada Allah melebihi perasaan takut kepada benda-benda lain. Burung ciak juga menjadi simbol sikap ihsan;
menyumbang, biarpun sedikit ke arah keselamatan, keamanan, kedamaian, dan kesejahteraan masyarakat.
Remaja yang menjadi 'burung ciak' menyedari amanah yang dipikulnya kepada Allah, ibu bapa, masyarakat, dan negara. Remaja sedemikian akan memberi sumbangan, biarpun kecil asalkan berbaloi demi agama, bangsa, dan negara.
Di rumah, dia akan menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh kesempurnaan. Arahan ibu bapa tidak disanggah kecuali berlawanan dengan kehendak syariat dan undang-undang, Solat tidak ditinggalkan biarpun satu waktu. Dia rela membantu ibu bapa tanpa disuruh seperti membersihkan rumah, memasak, dan mengemas rumah.
Di sekolah, dia juga akan menunaikan amanahnya sebagai pelajar dengan penuh tanggungjawab. Pergi ke sekolah seawal pagi agar tidak ketinggalan dan tidak tertangkap oleh pengawas. Di kelas, memberi tumpuan seratus peratus terhadap pengajaran guru. Jika tidak faham, lekas-lekas bertanya. Dia juga aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Di kalangan rakan-rakan sebaya, remaja ini bijak memilih kawan. Dia akan memilih rakan yang mampu membantunya ke arah kecemerlangan, bukan daripada kalangan yang membantut. Dia tidak akan mengizinkan barang seincipun tindakan rakan-rakan yang boleh merosakkan dirinya.
Dalam masyarakat, dia akan memberi sumbangan sebaik mungkin untuk agama, masyarakat, dan negara, biarpun kecil. Misalnya, mungkin dia akan menderma sebanyak RM0.10 untuk SMS Rancangan Bersamamu, bergotong-royong membersihkan taman perumahan untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes, melaungkan azan di surah, dan sebagainya.
Remaja yang mencontohi burung ciak tidak akan menganggap sumbangan kecilnya untuk memajukan dirinya, agama, bangsa, dan negara sebagai sia-sia atau tidak berfaedah. Ini kerana dia menganggap sumbangan kecilnya amat berguna untuk agama, bangsa, dan negara serta dinilai secara adil oleh Allah SWT.
Hal ini berbeza pula dengan remaja yang menjadi seperti seekor cicak pada zaman Nabi Ibrahim a.s. Remaja 'cicak' ini lebih suka menjadi perosak agama, bangsa, dan negara selain merosakkan dirinya sendiri.
Kerosakan yang ditimbulkan mungkin amat sedikit tetapi berbaloi untuk membantu merosakkan seluruh imej agama, bangsa, dan negara. Remaja 'cicak' tidak peduli akan amanah yang dipikulnya, baik di sekolah, rumah, ataupun masyarakat.
Di sekolah, dia tidak ambil kisah tentang pelajaran. Dia tidak ambil kisah tentang tugasan-tugasan yang diberi oleh guru. Di kelas, dia tidak ambil perhatian atau endah sedikitpun. Bahkan dia lebih senang menjadi perosak. Misalnya, menconteng meja, mencuri harta-benda kawan-kawan sekelas atau mengusik kawan-kawan yang ingin belajar,
Di rumah, dia juga malas membantu ibu bapanya. Dia lebih suka melepak dan memerap menonton televisyen atau melayari internet khasnya laman web lucah daripada membantu keluarga.
Dalam masyarakat, dia lebih senang menjadi kera sumbang. Usahkan membantu, malah merosakkan harta-benda hak masyarakat menjadi kegemarannya. Misalnya, merosakkan telefon, mencuri kabel, meragut, menghisap dadah, melepak, dan sebagainya.
Mungkin baginya perbuatan yang dilakukan itu kecil-kecilan. Misalnya, apalah sangat sekadar mencuri seinci dua inci kabel elektrik. Tetapi dia tidak tahu padahnya. Padah pertama kepada dirinya sendiri yang mungkin akan mati terbakar terkena kejutan elektrik. Kedua, 'sumbangannya' yang sumbang itu boleh mengakibatkan penduduk di seluruh taman perumahan yang didiaminya terputus bekalan elektrik.
Begitu juga dengan remaja yang 'gatal tangan' merosakkan telefon awam dengan mencuri duit syiling atau memutuskan gagang telefon. Mungkin baginya 'apalah sangat' setakat mencuri duit syiling beberapa puluh sen daripada sebuah pondok telefon. Namun risikonya terlalu besar. Bayangkan seorang penduduk yang tidak mempunyai kemudahan telefon atau 'prepaidnya' habis, tiba-tiba mengalami kecemasan seperti rumahnya terbakar atau rumahnya kecurian, dia perlu menggunakan telefon awam, bagaimanakah dia hendak menggunakan kemudahan itu?
Sejak akhir-akhir ini, kita menjadi begitu ngeri mendengar pelbagai kisah mengenai remaja yang menjadi songsang. Misalnya, mengikut aliran punk, black metal, gay, lesbian, penyalahgunaan dadah, dan sebagainya. Mungkin pada awalnya, keterlibatan mereka sedikit demi sedikit tetapi lama-lama menjadi 'bukit.'
Mungkin bagi remaja 'cicak' sebegini, orang lain tidak perlu peduli dengan perbuatan mereka kerana mereka tidak 'mengganggu' orang lain! Namun mereka tidak sedar, dengan menjadi 'cicak,' akhirnya mereka menjadi penyumbang kecil ke arah kemusnahan sebuah bangsa dan negara serta merosakkan imej agama.
Tahukah anda kemusnahan empayar-empayar dan negara-negara besar satu ketika dahulu, bermula dengan 'sumbangan' kecil-kecilan rakyatnya? Misalnya, Empayar Rom, Empayar Khalifah Uthmaniah, Empayar Melaka, dan sebagainya musnah dan tenggelam dalam arus zaman disebabkan oleh kerosakan akhlak muda-mudinya, berleluasanya gejala rasuah, dan salah guna kuasa.
Jadi, menung-menungkan hala tuju hidup anda sekarang. Mahu menjadi burung ciak ataupun cicak?.

06:56 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.