Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 September 2007

Panduan dapatkan manfaat ilmu pengetahuan

SESEORANG penuntut ilmu harus membetulkan niat mereka untuk mendapat manfaat daripada ilmunya. Dalam memperbetulkan niat, ia bermakna mereka perlu berpegang kepada empat perkara.

Pertama, mereka perlu berniat bahawa tujuan menuntut ilmu adalah untuk membebaskan diri daripada kebodohan.

Kedua, berniat untuk memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah orang yang bermanfaat bagi orang ramai.”

Ketiga, dia harus berniat untuk menghidupkan ilmu kerana jika tidak, ilmu akan lenyap berikutan semakin ramai orang mula meninggalkan ilmu pengetahuan.

Rasulullah pernah bersabda, “Belajarlah ilmu sebelum ilmu itu hilang dan kehilangannya ialah dengan matinya golongan ulama.”

Keempat, dia harus berniat untuk mengamalkannya bukan sebaliknya kerana ilmu adalah amal.

Jika kita mencari atau mempelajari sesuatu dengan tujuan yang bukan untuk beramal, ia adalah satu perbuatan yang sia-sia.

Dalam mencari ilmu, seseorang itu wajib mengharapkan keredaan Allah dan tidak boleh berniat untuk mencari dunia. Ini kerana dikhuatiri akan terpesong daripada jalan Allah.

Allah ada berfirman mengenainya dalam al-Quran yang bermaksud: “Siapa yang mengkehendaki keuntungan di akhirat, Kami akan tambah keuntungan itu baginya dan siapa yang mengkehendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (surah As-Syuraa, ayat 20).

Rasulullah pernah bersabda, “Siapa yang mencari ilmu bukan untuk mencari keredaan Allah, dia tidak akan keluar daripada dunia ini hingga menjadi orang yang berniat kerana Allah Taala dan negeri akhirat.”

Seseorang penuntut ilmu tidak boleh kikir dengan ilmunya supaya berkat ilmu itu tidak hilang.

Apabila seseorang meminjam sebuah kitab atau minta tolong kepadanya untuk memahami masalah, penuntut ilmu tidak boleh menolak kerana ia menepati niatnya untuk memberi manfaat bagi orang ramai di masa akan datang.

Abdullah Ibnu Mubarak berkata, “Siapa yang kikir dengan ilmunya, dia akan ditimpa cubaan dengan tiga perkara iaitu mati hingga lenyap ilmu itu, penguasa yang zalim atau lupa ilmu yang dihafal.”

Penuntut ilmu harus menghormati ilmu. Dia tidak boleh meletakkan kitab di atas tanah.

Jika dia keluar daripada tempat membuang air dan ingin menyentuh kitab, ia dianjurkan berwuduk atau mencuci kedua tangannya kemudian mengambil kitab.

Penuntut ilmu harus rela hidup sederhana tanpa mengabaikan makan, minum dan tidur. Mereka harus mengurangkan pergaulan terutamanya wanita.

Ini bermakna mereka jangan menyibuk diri dengan sesuatu yang tidak perlu baginya.

Pepatah ada menyebutkan bahawa, “Siapa yang menyibuk diri dengan sesuatu yang tidak perlu baginya, dia akan tidak berguna baginya.”

Ditanyakan kepada Luqman al-Hakim, “Dengan apa engkau mencapai kedudukan kamu?” Luqman menjawab, “Dengan perkataan yang benar dan menunaikan amanat serta meninggalkan segala apa yang tidak perlu bagiku.”

Penuntut ilmu hendaklah selalu mengkaji dan saling membalas masalah bersama temannya atau secara bersendirian.

Yazid Ar-Raqqasyi meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa dia berkata, “Rasulullah menceritakan hadis kepada kami, kemudian masuk ke rumahnya lalu kami saling membahasnya. Maka seakan-akan ia tertanam di dalam hati kami.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Yahya, ambillah Al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh.” (Surah Maryam, ayat 12). Ayat itu bermaksud belajar sungguh-sungguh dan tekun.

Disebutkan dalam pepatah bahawa kita hendaklah belajar kerana belajar itu adalah tanaman.

Ditanyakan kepada Abdullah bin Abbas, “Dengan apa engkau mendapat ilmu ini?”

Abdullah menjawab, “Dengan lisan yang sering bertanya, hati yang banyak mengerti, akal yang tidak jemu dan tangan yang suka memberi.”

Apabila terjadi pertengkaran atau permusuhan antara penuntut ilmu dan anggota masyarakat, dia hendaklah bersikap lemah-lembut dan adil supaya berbeza dengan orang yang jahil.

Rasulullah bersabda: “Kelembutan tidak memasuki sesuatu melainkan ia menjadi bagus. Dan kekasaran tidak memasuki sesuatu melainkan ia menjadi buruk.”

Seseorang penuntut ilmu harus menghormati gurunya kerana ia akan menimbulkan berkat pada ilmunya. Jika dia meremehkan gurunya, berkat ilmu itu akan hilang daripadanya.

Mereka juga harus bersikap lembut kepada orang lain kerana dikatakan sebaik-baik manusia ialah yang bersikap lembut dan seburuk-buruknya adalah yang suka berdebat.

Dikatakan bahawa penuntut ilmu akan mendapat manfaat dengan perkataan orang alim apabila dalam diri mereka ada tiga perkara iaitu bersikap rendah hati, cita-cita untuk belajar dan penghormatan kepada orang alim.

Dengan tawaduknya, ilmu itu akan berpengaruh kepadanya dan dengan cita-citanya, ia akan menghasilkan ilmu, manakala penghormatan kepada guru akan menarik simpati ulama.

08:43 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.