Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 October 2007

Keruntuhan moral dalam masyarakat

Punca utama yang menyebabkan seseorang itu terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral ialah kerana tidak ada didikan agama. Apabila hal seperti itu berlaku, seseorang tidak akan takut kepada balasan Allah.


Faktor utama yang boleh menyekat seseorang daripada melakukan kejahatan ialah iman yang membolehkan seseorang itu takutkan Allah. Dengan iman, seseorang itu akan sentiasa dalam kawalan Allah, menyebabkan segala tindak-tanduknya mempunyai sempadan yang tidak boleh dilangkaui.

Tabiat manusia, apabila dia bernafas hendak melakukan sesuatu, dia akan berusaha seberapa boleh untuk melaksanakan hasratnya. Dia boleh mengawal dirinya ketika diperhatikan, dikurung dan sebagainya. Walaupun demikian apabila terlepas daripada kawalan, kerana lalai, ia akan bertindak lebih cepat daripada orang yang mengawal tadi. Sebaliknya, orang yang beriman kepada Allah s.w.t. merasakan dirinya sentiasa dalam kawalan Allah sama ada di tempat terang ataupun dalam kepekatan malam.

Lumrahnya orang yang tidak mempunyai didikan agama atau mempunyai didikan tetapi tidak kuat, maka hubungan kekeluargaan seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan akan lebih longgar, kurang pengawasan keluarga, menyebabkan mereka lebih bebas bergerak, banyak membuang masa di luar rumah tanpa dapat membezakan ketika bila seseorang itu seharusnya keluar rumah dan bila tidak boleh keluar rumah.

Anak-anak yang tidak mempunyai didikan agama lumrahnya lahir daripada keluarga yang tidak mementingkan masalah agama. Ini terjadi kerana keluarga itu sendiri tidak memahami keperluan agama. Keadaan menjadi lebih buruk apabila ketua keluarga, termasuk si ibu, lebih menumpukan perhatian, menghabiskan tenaga untuk mencari nafkah, ataupun bukan semata-mata mencari nafkah tetapi tidak mengambil berat tentang anak-anak. Akibat daripada sikap ibu bapa seperti ini, anak-anak akan lebih cenderung dipengaruhi oleh pengaruh sekeliling seperti teman-teman sebaya dan sebagainya.

Anak-anak seperti ini merasakan bahawa diri mereka ada suatu kekosongan yang mesti dipenuhi, yang wujud pada diri setiap orang, iaitu kasih sayang. Oleh kerana tidak mendapat kasih sayang di rumah, mereka terdorong mencari sesuatu untuk memenuhi ruang kosong tadi dan kekosongan itu hanya diperoleh di luar rumah. Apabila seseorang itu telah dewasa dan mempunyai perasaan daya tarikan seks, seorang perempuan itu memerlukan seorang lelaki, begitulah sebaliknya.

Apabila perasaan seumpama ini timbul dan sekatan meninggalkan rumah itu tidak jelas, maka anak-anak yang meningkat remaja tadi bersama teman sebaya yang mungkin mempunyai latar belakang sama akan keluar dari rumah pada masa-masa mereka berkesempatan berbuat demikian, biarpun tujuan asalnya hanya untuk bersuka-suka. Mereka keluar dari rumah mungkin dengan teman-teman sekolah, dengan anak-anak jiran sebelah rumah, jiran sekampung dan sebagainya.

Memang ada anak-anak remaja yang dari awalnya bersifat liar dan nakal. Kerana itu apabila ibu bapa kurang memberi perhatian dan membiarkan mereka keluar pada bila-bila masa, atau pada masa-masa tertentu tetapi disalahgunakan maka keadaan ini boleh melibatkan anak-anak tadi dengan masalah sosial.

Anak-anak remaja seperti inilah yang biasanya bertemu dan berkenalan dengan pasangan masing-masing di kaki-kaki lima, di tepi laut, tasik, di dalam acara keramaian umum dan sebagainya. Setelah berkenalan, mereka berjalan-jalan, bersiar-siar sehingga larut malam. Apabila timbul masalah untuk balik rumah sama ada kerana tiada kenderaan, takut mengetuk pintu rumah dan sebagainya, maka dari sinilah bermulanya masalah.

Kes-kes keruntuhan moral yang melibatkan khalwat, persetubuhan haram, bersekedudukan dan yang seumpamanya berlaku di antaranya ialah kerana keberanian pasangan perempuan menerima ajakan temannya, tidur di rumah sewa pasangannya, di hotel, di tempat kerja pasangan lelaki seperti di bengkel-bengkel dan sebagainya.

Apabila seorang perempuan itu berani dibawa balik ke rumah lelaki di tengah malam, atau ke hotel, sama ada dengan paksaan, separuh paksa atau mungkin dengan kerelaan diri, perempuan tersebut seumpama terjebak dalam perangkap.

Dalam satu kajian kes yang melibatkan persetubuhan haram, terbukti bahawa perempuan-perempuan yang terlibat dengan kesalahan ini bukan semestinya berpunca daripada kerelaan mereka, tetapi kerana dipaksa. Mereka tidak melaporkan hal tersebut kepada polis. Walaupun demikian, biarpun pada zahirnya persetubuhan tersebut berlaku seumpama dipaksa, tetapi dipandang dari segi lain, pihak perempuan sebenarnya telah memberi peluang kepada pasangannya melakukan paksaan. Apabila mereka telah terlibat, pada masa yang lain mereka akan terus mengadakan pertemuan-pertemuan dan mengulangi perbuatan yang sama.

Selain itu, mereka yang terlibat sering tunduk dengan pujuk rayu terutamanya janji-janji untuk berkahwin. Cara menawan pasangan perempuan melalui pujuk rayu, tipu helah dan janji-janji manis seperti inilah yang paling banyak berlaku, yang berakhir dengan persetubuhan haram ataupun zina. Sabahagian daripada pasangan lelaki lari menghilangkan diri sebaik-baik sahaja mengetahui pasangannya mengandung ataupun membuat helah mengaku dirinya telah beristeri, berpendapatan kecil dan lain-lain helah, untuk mengelakkan diri daripada bertanggungjawab terhadap pasangannya.

Perempuan-perempuan yang terlibat dengan kesalahan bersekedudukan kebanyakan terdiri daripada perempuan yang malang.

Sebahagian daripada mereka hidup terbiar, tidak dipedulikan oleh saudara-mara atau kaum keluarga, menyebabkan mereka tinggal bersendirian di satu tempat yang jauh daripada saudara-mara.

Ramai di antara mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap atau tidak mempunyai pekerjaan langsung. Dalam keadaan hidup tidak menentu, mereka mudah mengikut lelaki yang sudi memberi perhatian, memberi belanja makan minum, pakaian dan sewa rumah dan akhirnya menjadi perempuan simpanan.

Ada juga perempuan yang dihalau oleh kedua-dua ibu bapa mereka kerana mengandung di luar nikah. Dalam keadaan menanggung penderitaan mental dan fizikal, perempuan berkenaan bertemu dengan lelaki yang berpura-pura menolongnya, memberi perlindungan tempat tinggal buat sementara, yang akhirnya menjadi perempuan simpanan.

Selain daripada faktor kesedaran beragama, perpindahan masyarakat desa ke pekan-pekan dan juga ke bandar-bandar kerana menuntut ilmu, dan mencari peluang pekerjaan juga menyebabkan hubungan masyarakat dan di antara individu semakin renggang. Dengan demikian, rasa tanggungjawab terhadap individu lain menjadi begitu longgar, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang menghabiskan masa di siang hari bekerja. Dari sinilah lahirnya mereka yang membawa pasangan masing-masing ke rumah-rumah sewa dan sebagainya tanpa segan silu kepada masyarakat sekeliling.

Kecanggihan teknologi maklumat dan media massa yang disalahgunakan juga menambahkan lagi gejala-gejala buruk yang merangsang ataupun menghela kepada perlakuan yang meruntuhkan keharmonian moral.

Pengedaran CD lucah yang boleh didapati dengan mudah termasuk majalah-majalah lucah dan juga adegan-adegan lucah dalam Internet, menyebabkan ibu bapa seperti tidak dapat mengawal anak-anak mereka. Ketika berada di rumah, anak-anak mungkin boleh diaturkan masa-masa tertentu untuk menonton TV. Walaupun demikian, apabila mereka berada di asrama ataupun ketika berada di kampus, mereka lepas bebas, sebebas burung-burung helang terbang di awan yang begitu luas. Begitu juga dengan anak-anak muda yang bekerja di kilang-kilang yang tinggal di rumah-rumah sewa sesama rakan.

Dalam al-Quran (surah al-Isra': 32) tersebut firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Jangan kamu hampiri zina. Allah s.w.t. melarang setiap orang daripada menghampiri zina. Kalimah yang digunakan ialah ``larangan daripada menghampiri zina'' kerana dengan menjauhkan diri daripada perbuatan yang boleh menyebabkan berlakunya zina, seseorang itu akan terhindar daripada perbuatan tersebut.

Perbuatan-perbuatan yang dilarang yang boleh menghampirkan seseorang itu kepada perbuatan zina ialah seperti menonton video lucah, majalah dan sebagainya termasuk perbuatan minum arak.

Gejala-gejala luaran yang boleh menimbulkan keghairahan nafsu begitu meluas, bermula dari persimpangan jalan sehingga ke majalah-majalah dan juga akhbar-akhbar, malah bahan-bahan tersebut boleh dibawa masuk rumah, menyebabkan usaha-usaha untuk membendung kegiatan yang tidak bermoral itu begitu sukar dan kurang memberi kesan.

Situasi seperti inilah yang melahirkan manusia membuang anak di tangga surau, kejadian tangkap basah, bersekedudukan dan juga kejadian mereka yang bernikah setelah pasangannya mengandung. Perlu difahami apabila satu umat itu membelakangkan ajaran al-Quran dan sunah rasulnya, maka Allah s.w.t. akan menurunkan bala ke atas umat tersebut yang tidak semestinya terkhusus kepada mereka yang terlibat.

04:41 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.