01 December 2007
Membaca bahan berkualiti
KEMPEN menggalak rakyat membaca telah dimulakan sejak tahun 1972. Kemuncak kepada kempen tersebut ialah pengisytiharan Tahun 1988 sebagai Tahun Membaca.
Pada setiap tahun pula diadakan kempen bulan membaca, kempen ini untuk melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan.
Tidak dapat dinafikan bahawa membaca merupakan kunci utama memperoleh ilmu, tidak kira apa bahan bacaan, pasti di dalamnya terkandung seribu macam ilmu.
Kita dapat melihat perbezaan apa yang diperoleh oleh pembaca melalui pembacaan berdasarkan apa yang dibaca.
Untuk mendapat kebaikan maksimum daripada pembacaan, hendaklah memilih bahan bacaan berbentuk informasi dan pengetahuan.
Kita dapat mengenali seseorang berdasarkan jenis atau tahap bahan bacaannya kerana ia adalah lambang kepada minda dan kehidupan pembacanya.
Bahan bacaan umpama guru membentuk pelajar mengikut isi kandungan.
Pembaca yang memilih bahan bacaan berbentuk gosip dan santai lebih suka mengetahui tentang orang lain, sedangkan diri sendiri tidak dipedulikan maju mundurnya maka pembaca kategori ini layak dipanggil orang berminda kecil.
Pembaca sukakan bahan bacaan mengenai berita dan laporan dikategorikan sebagai berminda sederhana.
Dia berminat mengetahui dan menggunakan maklumat diperoleh daripada apa yang dibaca dan kehidupan pembaca kategori ini mampu berubah seiring dengan perubahan semasa.
Manakala pembaca berminda besar pula suka memilih bahan bacaan membicarakan tentang gagasan idea, wawasan, keilmuan dan pengajaran hidup.
Orang berminda besar merancang melakukan sesuatu yang besar dan memberi kejayaan besar. Apa yang difikirkan dan dilakukan bukan sekadar untuk keperluan semasa, tetapi melangkaui jangkamasa hadapan.
Bahan bacaan yang baik mencetuskan perkara yang ‘luar biasa’ pada penerimaan umum. Hal ini memerlukan pembaca lebih banyak memerah minda, dan dengan sendirinya meningkatkan keupayaan berfikir.
Ruang lingkup penguasaan ilmu masyarakat setempat bergantung kepada apa yang terdapat dalam buku, majalah, akhbar atau kitab-kitab yang digunakan. Menggunakan ilmu dapat membentuk kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Ilmu tidak mampu ditingkatkan tanpa membaca.
Hasil pembacaan bahan berkualiti membawa kepada pemikiran luar biasa hebatnya kerana melaluinya, banyak pengetahuan baru dijana untuk kebaikan.
Untuk membawa negara mencapai status negara maju pada tahun 2020, komponen utama perlu dicapai terlebih dahulu ialah melahirkan lebih ramai rakyat berilmu, berkemahiran dan berfikiran positif.
Kita dapati individu berjaya dalam pelbagai bidang mementingkan amalan membaca dan Mereka membaca untuk terus menambah ilmu bagi mendapat cetusan minda dan pengalaman baru.
Pembacaan yang konsisten akan menjadikan seseorang itu berilmu dan berkeyakinan melakukan setiap perkara.
Sememangnya ledakan ilmu yang sentiasa berterusan, jadi sesiapa tidak berusaha mencari yang terbaru pasti akan ketinggalan.
Banyak kemahiran dan maklumat menjadi ‘basi’ akibat perubahan teknologi dan persekitaran.
Kita mampu memperoleh kemahiran dalam pelbagai bidang yang diminati walaupun tanpa sebarang pengiktirafan kelulusan, diri sendiri menentukan tahap kelulusan dan kecemerlangan yang dicapai melalui pembacaan.
Amat ketara dapat dilihat perbezaan di antara individu banyak membaca dengan individu tidak membaca.
Cetusan minda dan peribadi individu membaca lebih bernas dan keyakinan diri menghadapi sebarang situasi dan cabaran kerana ilmu melalui pembacaan membentuk kekuatan diri dan mental.
Kekuatan mental terbentuk daripada latihan menggerakkan minda semasa membaca untuk memahami makna perkataan, ayat dan keseluruhan kandungan yang dibaca.
Kaedah itu satu senaman untuk meningkatkan kesegaran, ketajaman dan kebijaksanaan minda.
Minda atau otak yang tidak diaktifkan umpama besi tidak dikilatkan akan hilang seri dan timbul karat yang lama kelamaan karat merosakkan besi.
Jadi, begitu juga otak, perlu dikilatkan dengan senaman berupa membaca bahan-bahan yang berfaedah dan kaedah itu mampu membentuk kekuatan minda, agar mampu menghadapi apa juga cabaran minda.
Kemampuan manusia berdasarkan kepada kekuatan ilmu dan akalnya serta individu berilmu diangkat menjadi pemimpin kepada individu tidak berilmu.
Orang berilmu menjana segala kekuatan dan kepakaran untuk berada pada kedudukan terbaik serta kedudukan tinggi orang berilmu berbanding tidak berilmu merupakan penghormatan sewajarnya.
Ilmu dimiliki bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri, bahkan seluruh ummah serta hasil kerja dilakukan dengan penuh ketelitian dan membuahkan kecemerlangan yang dikongsi kebaikannya dengan pihak berkaitan.
Tradisi keilmuan tidak dapat dipisahkan dengan budaya membaca serta masyarakat bertamadun dikelilingi dengan bahan bacaan dan membaca diperlukan dalam kehidupan moden seperti perlunya makanan untuk terus hidup.
06:11 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.