Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 December 2007

Memupuk budaya gemar membaca

HASRAT kerajaan melahirkan modal insan dengan minda kelas pertama hanya akan berjaya sekiranya bangsa Malaysia memiliki budaya ilmu yang tinggi.

Menjadikan membaca satu budaya secara tidak langsung menjurus kepada melahirkan generasi minda kelas pertama kerana untuk membina tamadun, negara perlukan ilmu.

Perkara terbabit tidak akan berlaku sekiranya masyarakat tidak suka membaca.

Tamadun Yunani yang bermula pada abad kelima sebelum Masihi disuburkan dengan tradisi ilmu.

Hampir semua bidang ilmu yang kini dikembangkan tamadun Barat, bahkan oleh hampir semua tamadun dunia, diwarisi ilmu yang diteroka ilmuwan tamadun Yunani.

Dengan bersandarkan hakikat pentingnya ilmu dalam pertumbuhan dan pelestarian tamadun, negara tidak boleh lari daripada keperluan melahirkan masyarakat berpengetahuan, berfikiran matang dan kreatif.

Trend membaca di kalangan rakyat negara ini sebenarnya sudah berubah. Kalau dulu boleh meluangkan masa membaca selepas waktu kerja atau setidak-tidaknya sebelum tidur tetapi kini mereka bertarung dengan siaran televisyen 24 jam dan kalaupun tiada rancangan menarik di TV, masih ada Internet, permainan komputer, VCD dan DVD.

Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati kadar literasi rakyat negara ini adalah 92 peratus.

Hanya tiga peratus membaca buku manakala selebihnya lebih suka membaca akhbar dan majalah serta komik.

Menurut kajian berkenaan lagi, alasan utama mereka tidak membaca kerana lebih menyukai aktiviti lain, tiada masa lapang dan tidak minat membaca. Mereka lebih suka menonton televisyen daripada membaca.

Tetapi apa yang menghairankan ialah apabila buku kisah percintaan remaja, gosip, konflik dan skandal mudah pula mendapat tempat di kalangan pembaca.

Buku terbaru Nordiana Naim, Catatan Duka Diana Naim, yang menyiarkan cerita suka duka percintaannya dengan Mawi dilaporkan terjual 20,000 naskhah dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Selain itu, novel daripada novelis popular, Ahadiat Akashah yang biasanya memaparkan kisah percintaan dan kehidupan remaja pula dengan mudah dijual sehingga 10,000 hingga 100,000 naskhah.

Angka terbabit dikira agak memberangsangkan dalam industri yang mempercayai hanya majalah seram, gosip dan hiburan boleh dijual di pasaran.

Fenomena terbabit belum lagi mengambil kira majalah hiburan atau santai yang memaparkan kisah Siti Nurhaliza atau Mawi.

Bagaimanapun, buku tulisan sasterawan yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka pula sangat sukar untuk dijual walaupun dicetak 2,000 naskhah.

Ini mungkin menggambarkan gaya membaca masyarakat, apa yang dibaca kebanyakan mereka sama ada lebih menyukai novel picisan, karya hebat atau majalah hiburan yang berlambak di pasaran.

Di samping karya Shahnon Ahmad, A Samad Said, Arena Wati, Keris Mas dan Munshi Abdullah seolah-olah dilupakan, sebenarnya masyarakat sudah hilang minat dengan bahan bacaan yang dianggap berat.

Malah, ada rakyat tidak ada masa membaca karya bukan sastera sekalipun.

Banyak buku dihasilkan dan tahap celik huruf rakyat pula tinggi tetapi persoalannya bukan lagi apa yang kita baca tetapi lebih kepada sama ada kita mengamalkan tabiat membaca.

Memang sukar mahu menarik minat golongan muda membaca karya seperti Hikayat Abdullah, Hikayat Merong Mahawangsa atau karya Barat tulisan William Shakespeare atau Charles Dickens.

Apa perlu dilakukan sekarang ialah perlu ada penjanaan satu fenomena karya yang boleh membuka mata masyarakat, terutama golongan remaja supaya meluangkan masa membaca karya sebegitu.

Ini dapat menyuntik kemalapan industri buku dan yang paling penting, mengembalikan semula pembaca buku.

Lima buku terbaru J K Rowling terjual lebih 200 juta naskhah dan diterjemah kepada 60 bahasa. Walaupun ada yang mempersoalkan kualiti karyanya dan enggan meletakkannya setaraf dengan karya sastera hebat lain tetapi sekurang-kurangnya fenomena novelnya, Harry Porter dan karya Dan Brown, Da Vinci Code mencetuskan minat golongan muda membaca bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Situasi berkenaan juga menyedarkan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghasilkan buku yang memenuhi cita rasa dan permintaan semasa.

Bukan saja buku akademik atau sastera berat tetapi juga buku yang merangsang daya imaginasi, inovasi dan minda analitikal.

Kalau di Malaysia, ada novelis popular seperti Ahadiat Akashah, Aina Emir, Ramlee Awang Murshid, Khadijah Hashim dan Aisya Sofea.

Namun, sesetengah pihak mengkritik novel mereka sebagai picisan, tetapi sebenarnya memenuhi kehendak dan cita rasa pasaran. Walau apapun kata pengkritik, kebanyakan novel mereka berjaya di pasaran.

Mengapa? Ini kerana mereka mewakili suara orang muda pada masa kini. Tulisan mereka menggambarkan kehidupan remaja dan generasi alaf baru. Pembaca mahu cerita kehidupan realiti mereka - bukan cerita klasik yang seolah-olah bertopengkan novel dan membosankan.

Mungkin bagi pembaca, buat apa nak pecahkan kepala apabila mereka boleh dapatkan bahan bacaan yang mudah difahami dan kena dengan jiwa sendiri.

Mereka mahu penulis yang boleh melahirkan pengalaman pembaca, yang menjadikan buku atau karya mereka seolah-olah terjemahan perasaan serta cermin gaya hidup pembaca.

Semestinya setiap karya yang ditulis, tidak kira oleh penulis biasa atau sasterawan, kualitinya masih boleh dipertikaikan pengkritik. Setiap orang mempunyai interpretasi kualiti berbeza.

Sekurang-kurangnya, penulis terbabit masih mampu meneruskan minat masyarakat membaca, walaupun novel mereka hanya fiksyen dan dianggap picisan.

Membaca novel lebih baik daripada membaca majalah hiburan yang hanya memaparkan gosip dan kisah artis tetapi hanya sedikit memperkukuhkan tahap pemikiran pembaca.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah melahirkan kekecewaan sikap masyarakat yang masih tidak menjadikan amalan membaca satu budaya, sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa dengan berhibur.

Najib berkata, budaya itu menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan pelbagai usaha, termasuk menyediakan peruntukan besar bagi membentuk masyarakat berilmu pengetahuan yang bersedia menerima pembentukan negara maju menjelang 2020.

06:13 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.