Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Hj Omar, berkata kerajaan menyediakan peruntukkan sebanyak RM600 juta untuk membina kolej tersebut iaitu kira-kira RM200 juta setiap satu.

Beliau berkata dengan pembinaan tiga kolej itu akan menjadikan 12 kolej selepas sembilan kolej matrikulasi telah dibina di Perlis, Perak, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Johor, Kedah, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML), Jalan Merinding, kelmarin.

Mohd Noh merasmikan pusat penyelidikan dan pembangunan, melawat asrama pelajar dan pusat pelajar, sesi bersama kakitangan dan pelajar, mendengar taklimat mengenai program matrikulasi.

Hadir sama Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, Pengarah KML, Sawang @ Rizal Amit dan kakitangan KML.

KML yang terletak kira-kira 20 km dari pusat bandar telah mengambil 500 pelajar pada Julai 1999 dengan menggunakan kampus sementara di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) di Kiamsam.

Kolej itu yang mempunyai keluasan 56.7 hektar mengambil pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan dilengkapi kolej kediaman, kafeteria, dewan kuliah, bilik tutorial, makmal sains, makmal bahasa, perpustakaan, kedai, ATM, kemudahan sukan, surau dan makmal komputer.

Mohd Noh berkata kerajaan mahu membangunkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki jati diri dan nilai-nilai murni, beretika, mempunyai pendidikan terlatih dan pekerjaan sewajarnya selaras dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.



Dato Noh (tengah) bersama Dr Zainal Abidin (kiri) dan Pengarah KML, Sawang Amit ketika sidang akhbar di KML.