Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

26 March 2006

Bukan sekadar angan-angan

Jejak perhitungan Kamarul yang pasti, takkan dihentikan. Dia kini penuh keyakinan, untuk menjana sebuah kejayaan dalam hidup yang sememangnya penuh cabaran dan hambatan.
"Perlu usaha yang gigih untuk tempa kejayaan," kata-kata rangsangan yang pernah dilontarkan oleh seorang pakar motivasi, ketika Kamarul mengikuti satu seminar motivasi diri.
Kamarul sedar, sebagai anak penoreh getah, dia perlu melanjutkan gerak usaha, agar sejajar dengan perkembangan dunia semasa. Dia tak wajar lagi mensesiakan segala peluang, juga harapan daripada ayah dan ibu yang amat dikasihinya.
Kamarul juga telah lama tahu, yang ayah dan ibunya amat mengharapkannya, yang dirinya akan membuktikan akan kebolehan dan kepakarannya dalam mencipta sebuah kejayaan dalam hidup ini.
"Itulah harapan abah, mahu melihat kamu berjaya dalam pelajaran dan hidup," luah Pak Jenal, menuturkan kata-kata harapan yang dipendam sejak sekian lama.
"Kalau kamu berjaya dalam hidup, kamu juga yang untung, dan yang pasti hidup kamu tak akan sengsara pada masa yang akan datang," tambah Pak Jenal.
Sungguh besar harapan yang dilontarkan. Kamarul berasakan yang dirinya, perlu menter-jemahkan segala harapan dan cita-cita ayah dan ibunya. Dia tahu, amat tak wajar dia mensesiakan segala harapan, kerana kedua-dua orang tuanya itu telah berkorban apajua, hanya untuk melihat dia berjaya dalam hidup.
Lagi pun sebagai anak tunggal, Kamarul amat tahu, dia tak boleh lagi member! alasan yang tak munasabah, untuk tidak memanfaatkan segala peluang yang diberikan ke atas dirinya.
"Soal susah payah abah mencari duit jangan kau persoalkan. Yang penting, kamu mesti terus belajar dengan lebih rajin, untuk berjaya dalam pelajaran. Pelajaran bekalan paling ampuh, untuk mengubah kehidupan kamu pada masa akan datang,” kata Pak Jenal.
"Abah tak mahu melihat kamu mewarisi kehidupan yang abah lalui sekarang ini. Seboleh mungkin, biarlah kehidupan kamu akan berubah pada masa akan datang, untuk kesenangan kamu jua akhirnya,” Pak Jenal menuturkan kata-katanya dengan penuh harapan. Kamarul mendengarnya dengan tumpuan penuh hati.
Kamarul tahu, bukan mudah untuk menterjemahkan segala harapan dan cita-cita yang diiltizamkan selama ini. Bagai kata pepatah, usaha tangga kejayaan. Pergaulannya dengan mereka yang kini hidup penuh kehebatan, telah membuatkan dirinya membuka mata.
Kamarul tahu, melalui cerita yang pernah dituturkan oleh abang Zainal sebagai contoh, dapat disimpulkan, bagi mencapai kejayaan dalam hidup, perlu pengorbanan yang bukan sedikit.
"Yang penting, jangan mudah putus asa, kerana perjuangan hidup memerlukan jati diri yang benar-benar teruji. Pada waktu yang sama sanggup menempuh apa jua rintangan hidup ini, dengan penuh ketabahan , keyakinan disamping keimanan yang mantap di dalam diri," kata-kata yang diluah oleh abang Zainal, yang kini menjawat kerja sebagai seorang doktor di sebuah hospital di bandar.
"Yakinlah, Allah pasti akan menolong hamba-hamba-Nya, yang tekun dan berusaha dalam mengubah kehidupan ini. Macam diri abang sendiri, bukan lahir daripada keluarga yang senang. Ayah dan ibu abang dulu, adalah penduduk kampung, yang kerja harian mereka mengambil upah menanam padi. Tapi semangat yang diberikan oleh mereka, membuatkan abang celik mata untuk mengubah kehidupan ini. Dan akhirnya, setelah belajar dengan tekun dan berusaha tanpa jemu, akhirnya abang berjaya dengan kehidupan sekarang ini. Syukur alhamdullillah," kata-kata Abang Zainal, yang membuatkan Kamarul bagai terangsang untuk mengikut jejakyang telah direntaskan.
Sekarang ini apa lagi yang digundahkan. Cerita daripada mereka yang menempa kejayaan telah difahami. Dan nyatanya, Kamarul akan merebut segala peluang diberikan ke atas dirinya.
Lagi pula, banyak dorongan yang diberikan oleh mereka yang prihatin ke atas dirinya. Sayanglah, kalau dia mengambil sikap alpa dan leka, yang tak selayaknya diamalkan ketika persaingan hidup sekarang ini makin menghambat.
Bagi Kamarul sekarang, dia seboleh mungkin akan mengikutjejak yang telah ditempa oleh Abang Zainal, seorang sahabat yang balk, yang telah mengaku untuk hidup bersaudara. Abang Zainal memang baik, bukan sekadar kata-kata rangsangan yang diberikan ke atas dirinya. Pernah beberapa kali, doktor muda yang ikhlas berkhidmat ini, menghulurkan duit sekitar dua tiga ratus, untuk kegunaan dirinya.
"Pemberian ikhlas daripada abang. Gunakan untuk keperluan Kamarul dalam pembelajaran atau urusan hidup seharian," Abang Zainal menuturkan kata-kata, yang membuatkan Kamarul amat terharu dengan keprihatinan Abang Zainal, yang walaupun tanpa talian darah, namun amat baik hati ke atas dirinya, selama dia berkawan dengan Abang Zainal ini.
Pemberian Abang Zainal amat dihargai oleh KamaruL Dan ternyata, dia akan menggunakan duit yang diterimanya dengan sebaik mungkin seperti keperluan membeli buku-buku rujukan,dan lain-lain yang berkaitan dengan kepentingan
hidup masa depan. Tahun ini, Kamarul akan menduduki
peperiksaan SPM. lltizamnya, dia mahu mencapai kejayaan yang sebaik mungkin dalam peperiksaan yang penting itu. Dia akan menghadiahkan kejayaan yang dicapainya itu, untuk ayah dan ibu, juga untuk guru-guru.
Dan tak lupa untuk Abang Zainal yang selama ini begitu ambil berat dengan perkembangan pelajarannya.
Dengan kelayakan yang dia peroleh nanti, Kamarul akan sedaya upaya untuk memohon belajar di peringkat universiti. Dia mahu, dengan bekalan segulung ijazah nanti, dia akan mengubah kehidupan kedua-dua orang tuanya. Itulah cita-citanya. Bukan sekadar angan-angan, tapi hakikat yang akan dijelmakan melalui usaha yang sedang digerakkan sekarang ini.
Pujukan daripada rakan-rakan yang suka mengambil peluang, tidak dipedulinya. Kamarul tahu, mereka yang bersikap begini, tak mahu sedar, akan kepentingan masa.
Mereka ini, adalah teman-teman yang suka membuang masa, tak tahu untuk merebut segala peluang yang disediakan di depan mata. Biarlah mereka dengan perlakuan mereka. Yang pasti, dia tak akan mudah terpengaruh. Dia lebih sayang diri dan kehidupan masa depannya.
Harapan Kamarul kini, semoga segala harapan dan cita-citanya akan direstui oleh Allah. Dia yakin, Tuhan akan menolong dirinya, kerana selama ini dia telah melipatgandakan usaha dan daya saing, hanya untuk menempa sebuah kejayaan yang benar-benar gemilang, pada kehidupan yang penuh persaingan kini.

13:10 | Permalink