09 October 2007
Penghayatan sejarah elak penjajahan
(Generasi baru wajar ambil iktibar perjuangan bangsa pertahan kedaulatan negara)
USIA kemerdekaan negara kini men-cecah 49 tahun. Dalam meniti usia selama itu, sudah pasti banyak cabaran pahit manis, perubahan dan kecemerlangan yang dicapai negara.
Hakikatnya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini hasil perjuangan generasi dulu yang sudah berkorban seluruh jiwa raga meletakkan bangsa dan negara ini setaraf dengan bangsa lain di dunia.
Bukan mudah meraih kemerdekaan apatah lagi untuk mengekalkannya. Banyak negara di dunia berjaya menuntut kemerdekaan, namun gagal mengecap nikmat kemerdekaan seperti pembangunan, keharmonian dan kebebasan.
Lantas kemerdekaan itu sekadar nama, namun tidak membuahkan apa-apa makna kerana hidup dan cara berfikir masih seperti dijajah.
Oleh itu, dengan memupuk patriotisme atau perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air, kemerdekaan negara dapat dikekalkan.
Patriotisme boleh dicetuskan dengan menghayati sejarah yang mampu menimbulkan kesedaran kepada kita betapa peritnya ranjau dan duri yang terpaksa dilalui generasi dulu dalam usaha menuntut kemerdekaan.
Justeru, dengan memelihara dan mengekalkan kemerdekaan bermakna kita menghargai perjuangan mereka demi kelangsungan warisan tanah pusaka yang bertuah ini.
Perjuangan menentang penjajah bermula sejak 1511 lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis. Pada 1641 Belanda merampas Melaka daripada Portugis.
Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 membuka jalan kepada mggeris menguasai negeri Melayu. Hasrat mereka menguasai negeri Melayu tidak lain daripada untuk mengeksploitasi kekayaan sumber ekonomi dan mengembangkan fahaman agama mereka.
Pada 15 Februari 1942, Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan tentera Jepun. Kemudian Inggeris kembali menjajah pada September 1945.
Biarpun silih berganti berada di bawah cengkaman penjajah, patriotisme rakyat terhadap tanah air tidak pudar, bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
Penentangan terhadap penjajah dibukti-kan dengan serangan balas anak negeri. Portugis tidak mampu menguasai Melaka sepenuhnya, walaupun menduduki Melaka selama 130 tahun. Perjuangan menentang Belanda berjalan terus. Raja Haji dan Sultan Ibrahim berusaha merampas kembali Melaka daripada Belanda, walaupun menemui kegagalan demi kegagalan.
Selama 180 tahun Melaka berada di bawah kuku penjajah Belanda. Penentangan terhadap Inggeris berlaku dalam jangka masa yang panjang. Terlalu banyak nama bangkit mempelopori perjuangan menentang penjajah Inggeris.
Datuk Dol Said di Naning, Datuk Ma-harajalela di Perak, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Sharif Masahor, Rentap dan Asun di Sarawak, Mat Salleh dan Antanum di Sabah, Tok Janggut di Kelantan, Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan ramai lagi yang gugur sebagai pejuang menentang penjajah.
Penjajahan Jepun juga menerima tentangan daripada rakyat tempatan menerusi pertubuhan seperti Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA), Tentera Wa-taniah, Force 136, Askar Melayu Setia dan
Gerila Kinabalu.
Menjelang abad ke-20 perjuangan menentang penjajah secara pemberontakan bertukar menjadi perjuangan menuntut kemerdekaan berasaskan semangat kebangsaan. Bibit kesedaran terhadap kemerdekaan mula mendapat tempat di hati rakyat Tanah Melayu.
Peningkatan bilangan penduduk tempatan yang berpendidikan Barat dan agama turut menyuntik semangat nasionalisme. Perjuangan bersenjata bertukar kepada desakan yang berasaskan semangat nasionalisme. Akhbar dan majalah turut memainkan peranan penting meniupkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.
Semangat nasionalisme ditiup menerusi persatuan yang ditubuhkan pada peringkat negeri. Lahirlah Kesatuan Melayu Singapura, Kesatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Perak, Kelab Putera Kelantan, Persatuan Melayu Pahang, Persatuan Negeri Sembilan dan Persatuan Melayu Kelantan. Turut ditubuhkan ialah Persatuan Melayu Semenanjung, Persaudaraan Sahabat Pena Tanah Melayu dan Kesatuan Melayu Muda.
Penentangan terhadap penjajah Inggeris memuncak apabila Inggeris melaksanakan satu sistem pentadbiran baru dikenali sebagai Malayan Union pada 10 Oktober 1945, Datuk Onn Jaafar dan nasionalis Melayu bangkit menentang rancangan ini kerana dianggap menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menghapus hak istimewa orang Melayu sebagai penduduk yang terbesar di Tanah Melayu.
Pada 1 hingga 4 Mac 1946 Kongres Melayu SeMalaya yang dipengerusikan Datuk Onn memutuskan supaya Raja-Raja Melayu me-mulaukan majlis perasmian dan pelantikan Gabenor Malayan Union.
Majlis berkabung selama tujuh hari juga diadakan mulai 1 April 1946 selain me-ngadakan tunjuk perasaan di bandar utama seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Alor Star.
Ketika itu juga Pertubuhan Kebangsaan oMelayu Bersatu (Umno) ditubuhkan bagi memelihara kepentingan orang Melayu. Tatkala itu, orang Melayu tidak saja melupakan semangat kedaerahan dan kenegerian masing-masing malah bersatu dan bangkit memberi tentangan serta bantahan.
Semangat dan perjuangan kental yang dipupuk itu tidak sia-sia kerana akhirnya Malayan Union dibubarkan pada Mei 1946. Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu rombongan ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan itu masing-masing disertai empat wakil Perikatan dan empat wakil Raja-Raja Melayu.
Hasil rundingan itu, Perjanjian London ditandatangani pada 8 Februari 1956. Kemerdekaan bagi Tanah Melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Justeru, setiap rakyat yang menikmati suasana merdeka perlu merenung detik kesusahan dan keperitan luhur kita berjuang menuntut kemerdekaan.
Dengan menghayati sejarah, kita boleh mengambil iktibar daripada malapetaka penjajahan terhadap bangsa kita. Kini, menjadi tanggungjawab setiap rakyat yang mendiami setiap bumi tercinta ini untuk memelihara maruah bangsa dan negara kita, Malaysia.
Hargailah kemerdekaan negara. Benarlah kata cendekiawan, bangsa yang tidak belajar daripada sejarah akan didera dengan kesalahan yang berulang.
06:21 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)