03 October 2007
Ibu bapa prihatin tentukan hala tuju anak
Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
HARAPAN menggunung sering diletakkan ke atas remaja supaya mereka menjadi pemuda pemudi yang dapat menerajui pucuk pimpinan dan mampu mengharumkan nama negara di arena antarabangsa. Namun begitu, pembabitan mereka dalam gejala sosial hari ini amat membimbangkan.
Selain faktor persekitaran, situasi kekeluargaan di rumah juga turut menyumbang kepada perlakuan jenayah di kalangan remaja. Sebagai contoh, remaja daripada keluarga yang miskin akan tertarik kepada benda yang mahal dan berjenama yang dimiliki oleh rakan mereka yang berkemampuan seperti telefon bimbit dan pakaian berjenama.
Mereka memahami bahawa mereka tidak mampu memiliki barang-barang itu. Dengan itu, mereka akan melakukan jenayah bagi mendapatkan barang terbabit sama ada dengan mencuri wang atau mencuri terus dari kedai atau pasar raya.
Remaja daripada keluarga porak-peranda terdorong melakukan jenayah. Ia mungkin didorong tabiat negatif yang dilakukan ibu bapa seperti minum arak, judi, penagihan dadah, mencuri dan seks bebas.
Kelakuan ibu bapa panas baran dan sering kali memukul anak juga akan menyebabkan remaja itu menjadi ganas dan lahirlah gejala seperti gangsterisme, buli dan sebagainya.
Pengawasan keluarga yang terlalu ketat juga boleh mengakibatkan remaja terjerumus dalam jenayah.
Dalam situasi ini, remaja cuba melepaskan dirinya daripada kongkongan itu dengan pelbagai cara termasuk bergaul bebas dengan rakan di luar sebagai menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap ibu bapa.
Bagi remaja, kebebasan diri amat penting kerana beranggapan diri mereka telah dewasa. Lebih teruk lagi, kegiatan anti sosial seperti perlanggaran undang-undang ditafsirkan sebagai suatu kegiatan yang memberi kepuasan dalam hidup mereka. Maka lahirlah aktiviti lumba haram atau lebih popular dengan istilah mat rempit.
Mendidik anak-anak terutama remaja di zaman ini sememangnya amat mencabar dan memerlukan ilmu keibubapaan yang tinggi bagi memastikan anak-anak terdidik dengan betul dan menjadi anak yang salih. Pada masa sama, remaja juga perlu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran terkini serba canggih yang hanya boleh didapati di luar rumah.
Hakikatnya, anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan bersih (fitrah). Ia akan menjadi seorang yang salih apabila mendapat pendidikan yang baik. Sebaliknya jika dia hidup membesar dalam suasana keluarga yang terpesong dan menyeleweng dia juga turut terpesong dan menyeleweng seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan bersih (fitrahnya) maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” (Muttafaqun 'Alaih)
Islam memandang berat urusan mendidik anak serta menggesa supaya mencari sebab, nilai serta persekitaran yang baik untuk menjamin terlaksananya tarbiah atau pendidikan yang baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Seseorang yang mendidik anaknya (dengan baik) adalah lebih baik dari bersedekah dengan secupak” (Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi).
Walaupun mungkin terlewat bagi ibu bapa untuk menerapkan pendidikan yang sewajarnya untuk anak mereka sejak kecil lagi, masih ada masa untuk kembali memberi bimbingan sekalipun anak mereka melangkah ke usia remaja. Ini adalah melalui pendidikan yang dibentuk melalui semangat kekeluargaan yang dibentengi oleh syariat Islam. Antaranya adalah;
Tunjukkan contoh teladan baik.
Sebelum mengajak anak melakukan kebaikan, ibu bapa perlu terlebih dahulu mengenali sifat yang ada pada diri mereka. Ini bagi memastikan keperibadian ditunjukkan itu selari atau sejajar dengan pendidikan yang ingin diberikan.
Remaja tidak mempersoalkan segala suruhan dan nasihat ibu bapa andainya ibu bapa mereka juga berbuat demikian.
Remaja amat menghargai jika pandangan mereka turut didengari berbanding hanya mereka yang perlu mendengar pandangan ibu bapa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Tidak ada satu pemberian bapa terhadap anak-anak yang lebih dari adab yang mulia.”
Memperuntukkan masa berbual dan adakan perbincangan keluarga.
Ibu bapa perlu memperuntukkan masa yang secukupnya untuk berinteraksi sesama anggota keluarga. Kesibukan kerja atau tugas tidak seharusnya menjadi alasan bagi ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Bukankah anak-anak juga berhak untuk mendapat perhatian yang lebih dari ibu bapanya sendiri? Peluang sebegini dapat membuka ruang untuk saling mengenali tentang sikap masing-masing, mempererat hubungan serta dapat menjalinkan perasaan kasih sayang antara ibu bapa dan remaja.
Bersedia untuk mendengar.
Kebanyakan ibu bapa hanya tahu menyuruh atau memerintah tanpa mempedulikan perasaan atau pendapat anak mereka. Sikap sebegini akan menutup peluang remaja mendekati ibu bapa mereka. Lebih-lebih lagi jika ditambah dengan sikap garang atau bengis yang pasti menimbulkan rasa takut dalam diri remaja.
Sebagai contoh, jika ada perkara yang dilakukan oleh remaja yang tidak disenangi ibu bapa, mereka perlu terlebih dahulu memberi peluang kepada remaja untuk memberi penjelasan apa yang mereka lakukan. Selanjutnya barulah memberikan nasihat dan tunjuk ajar secara lemah-lembut dan berhikmah.
Mengambil tahu masalah.
Sikap mengambil tahu masalah akan membuatkan anak remaja berasakan diri mereka sentiasa diambil berat oleh ibu bapa. Sikap sebegini juga akan dapat mengelakkan remaja daripada mengajukan masalah mereka kepada pihak lain seperti rakan, jiran dan sebagainya.
Menjelaskan sebab bagi setiap tindakan yang dibuat.
Remaja sentiasa ingin tahu mengenai apa berlaku di sekelilingnya. Ini termasuklah segala ucapan dan tindakan yang lahir dari ibu bapanya.
Segala suruhan dan larangan dari ibu bapa perlu disertakan dengan sebab dan alasan agar ianya boleh diterima baik oleh remaja. Walaupun pada hakikatnya segala suruhan dan larangan ibu bapa itu demi untuk kebaikan anak mereka, bagi remaja amat penting sebagai pengukuhan terhadap apa yang dikehendaki oleh ibu bapa terhadapnya.
Memberi peluang untuk membuat keputusan.
Dalam usaha ibu bapa memberi tunjuk ajar yang terbaik terhadap anak remaja mereka, satu perkara yang harus ditekankan ialah memberikan mereka ruang untuk membuat keputusan. Daripada sini, dapat melatih mereka supaya berdikari dan mampu mencorak sendiri masa depan yang ingin mereka capai tanpa mengetepikan bimbingan dan nasihat yang berterusan dari ibu bapa.
Lebih efektif, mereka perlu digalakkan menetapkan sendiri matlamat hidup ingin dicapai dan seterusnya menggariskan keutamaan serta menjadualkan waktu mereka untuk mencapai matlamat itu.
Menerapkan nilai keagamaan dan kerohanian di rumah.
Nilai keagamaan adalah perkara asas dalam kehidupan. Amalan seperti solat berjemaah, memberi salam, berdoa bersama-sama dan membaca al-Quran dapat membentuk sebuah keluarga yang salih dan diberkati Allah.
Walaupun sibuk mencari rezeki di luar, ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap didikan agama kerana hanya dengan didikan agama dapat memelihara anak remaja mereka daripada terjerumus ke lembah jenayah dan maksiat. Ini seterusnya menjamin kesinambungan generasi yang berakhlak dan diredai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah segala amalan (dari dia) kecuali tiga (kebaikan): Sedekah jariah (yang ikhlas), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang salih yang mendoakan (kebaikan) untuknya".
06:25 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)