Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

08 October 2007

Islam hormati hak kemerdekaan

KEMERDEKAAN dalam konteks negara adalah bebas daripada kuasa penjajahan. Negara merdeka diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyat negara itu. Kemerdekaan adalah harta paling mahal bagi sebuah negara dan rakyatnya. Kita harus bersyukur kerana sudah bebas daripada belenggu penjajah sejak 50 tahun lalu.

Kemerdekaan mengikut takrif Islam pula ialah kebebasan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang. Setiap individu berhak melakukan apa yang mendatangkan kebaikan kepadanya. Kebebasan itu tidak pula mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, individu dan pihak lain.

Islam melihat erti kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan individu. Negara yang merdeka, tetapi rakyatnya terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai pemikiran dan cara hidup, sebenarnya masih belum merdeka. Begitu juga jika rakyat bebas melakukan apa untuk dirinya, tetapi negara masih dijajah, maka tidak bererti sepenuhnya.

Islam mengamalkan dasar merdeka kerana tidak ada individu atau pihak yang perlu tunduk kepada telunjuk individu atau pihak lain, melainkan hanya kepada Allah semata-mata. Hubungan sesama manusia hanyalah dengan maksud saling membantu, saling mendapat manfaat dan melaksanakan hak bagi individu atau pihak yang terbabit. Tiada individu atau pihak lain boleh bertindak sebagai penguasa atau penjajah terhadap yang lain.

Hakikatnya, semua manusia adalah hamba kepada-Nya. Manusia diberi hak kemerdekaan dalam urusan kehidupan, yang mempunyai kaitan dengan konteks takwa. Dengan kata lain, kebebasan manusia adalah kebebasan bersyarat.

Islam melarang sebarang bentuk tindakan penganiayaan, keganasan, penguasaan tidak pada hak, perhambaan, fahaman taksub dan mempercayai perkara karut marut. Erti dan nilai kemerdekaan yang dibawa Islam dapat dilihat dengan ketara dalam masyarakat Arab Jahiliah selepas ketibaan Islam.

Masyarakat Arab yang bergelumang dengan norma kehidupan ‘binatang’ sudah bertukar kepada nilai insan yang luhur dan merdeka daripada kebatilan hasil kemerdekaan hidup dibawa dalam ajaran Islam.

Nur Islam menerangi manusia ke jalan kemerdekaan sesuai dengan fitrah manusia. Manusia ingin hidup bebas tetapi kebebasan itu sering merosakkan kehidupan. Justeru, ajaran Islam memberi panduan erti kemerdekaan yang seharusnya diikuti untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Islam membawa kesempurnaan dan rahmat keseluruhan alam tanpa dilakukan secara paksaan. Manusia bebas dan merdeka sepenuhnya untuk memilih cara hidup dalam soal kepercayaan atau agama. Tegasnya, Islam tidak memaksa semua orang menerima ajarannya.

Sesiapa yang mendapat nur Islam, ia dilakukan dengan kerelaan sendiri. Tidak ada dalam sejarah penyebaran Islam dilakukan secara paksa. Islam mempertahankan konsep kemerdekaan yang memberi peluang setiap hamba-Nya menentukan kepercayaan di dunia ini.

Ketika Rasulullah SAW membuka kota Makkah, seluruh penduduknya diberi pilihan untuk menerima Islam atau terus kekal dalam agama asal. Bahkan, Rasulullah SAW memberi pengampunan dan membebaskan individu yang sebelum itu memusuhi dan melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap Baginda.

Islam disebarkan dengan keyakinan tauhid berdasarkan kepada ia agama terbaik untuk seluruh umat. Kemanisan iman hanya dikecapi jika dilakukan dengan kerelaan dan kesedaran. Islam mengamalkan konsep kemerdekaan secara menyeluruh terhadap penganut agama lain dalam soal penerimaan agama Islam.

Hakikat kemerdekaan yang diamalkan umat Islam dipandang tinggi, sempurna dan bertepatan dengan naluri manusia. Keluasan ajaran Islam menjadi faktor mengapa Islam mudah diterima di seluruh pelusuk dunia.

Kemerdekaan dalam Islam membawa amalan keterbukaan dan menghormati hak individu. Segala urusan pemilikan dan kekuasaan dilakukan secara adil. Malangnya, semakin jauh Islam dikembangkan, penghayatan terhadap kemerdekaan dalam Islam sudah diselewengkan. Umat Islam hanyut dalam kemerdekaan dikurniakan Allah.

Kebebasan diberikan disalahgunakan sehingga terkeluar daripada ajaran Islam sebenar. Sikap tamak dan ingin menguasai sesuatu dengan tanpa hak mula menguasai gaya hidup umat Islam. Kebebasan membuat pilihan membawa perpecahan dalam umat Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam mula berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Proses peralihan kuasa daripada seorang khalifah kepada khalifah lain mencetuskan permusuhan.

Nabi Muhammad SAW tidak melantik atau mewasiatkan siapa harus menggantikan Baginda adalah tanda keterbukaan dan kebebasan memilih dalam soal kepimpinan dan hal lain bersangkutan kepentingan umat Islam.

Kebebasan sepatutnya menambah kekuatan kerana dapat membuat pilihan terbaik. Keterbukaan dan kemerdekaan fikiran harus dijadikan teras kepada penghayatan ajaran Islam. Jangan mengheret orang lain kepada pemikiran jumud, taksub dan ekstrem.

Setiap orang bebas memberi cadangan dan melakukan apa yang terbaik. Ajaran Islam memberi kebebasan bagi umatnya melakukan sesuatu bersesuaian dengan naluri, selagi tidak bertentangan batasan syariat.

Sifat kesyumulan Islam untuk seluruh umat manusia. Islam memayungi seluruh umat manusia sehingga ke hari kiamat. Sebab itu konsep kebebasan dan kemerdekaan memberi ruang yang luas untuk manusia melakukan apa diperlukan. Setiap bangsa dan manusia pada zaman berbeza memerlukan sesuatu yang berbeza.

Hal ini jelas dalam membuktikan keluasan rahmat Allah. Manusia bebas melakukan usaha untuk kebaikan. Islam menggalakkan setiap umatnya mencipta kejayaan dan kecemerlangan berdasarkan kepada nilai kemerdekaan yang diberikan.

Sesungguhnya apa yang manusia lakukan adalah untuk dirinya sendiri. Allah tidak mendapat keuntungan atau kerugian atas apa yang dilakukan hamba-Nya. Allah memberi pembalasan bersesuaian dengan apa yang dilakukan setiap orang.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” – (Surah an-Nisa, ayat 124)

Seseorang akan mendapat kemerdekaan sebenar jika menghayati ajaran Islam. Islam memberi panduan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Sesiapa berpandukan kepada ajaran Islam pasti tidak akan sesat di dunia dan bakal mendapat kejayaan di akhirat.

06:32 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)