Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

09 January 2006

Tekadnya terus membara

Teruskan usaha kamu sehingga kamu menemui kejayaan sebagai manusia hebat dalam kehidupan ini,"kata-kata semangat yang pernah diluahkan oleh ayahnya Pak Leman ketika hayatnya.
Marmi tahu, akan harapan besar yang dilahirkan oleh ibu dan arwah ayahnya. Sudah pastinya, dia takkan menghampakan harapan mereka. Dia sedar, tanpa mereka, siapalah dirinya dalam kehidupan ini. Buat arwah ayahnya, yang telah menemui Tuhan dua tahun lalu, segala tutur nasihatnya, terus disematkan di kalbu ingatan hingga saat ini.
"Terima kasih ayah. Yang pasti harapan ayah itu, akan sedaya upaya untuk menunaikannya," Marmi mengucapkan kata-kata sendirian, di kala hening malam yang syahdu dan dingin.
"llmu itu penyuluh kehidupan. Carilah sebanyak yang mungkin, agar kehidupan kamu akan terus ceria dan gemilang," kata-kata semangat yang pernah dituturkan oleh Cikgu Bahrin, seorang guru motivasi masih terngiang-ngiang di telinganya.
Marmi sedar, abang dan kakaknya mahu dirinya menjejak kejayaan yang telah mereka terokai.
"Adik Mi mesti terus bergerak dalam usaha mencapai kejayaan dalam hidup dan bidang akademik," satu harapan yang diluahkan oleh Seman, abang sulung Marmi.
"Sebagai anak, biarlah kita menjadi anak yang tahu membalas jasa bakti kedua-dua orang tua. Dan untuk itu, Adik Mi mesti berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh, sehingga menemui kejayaan," Seman terus menuturkan kata-kata rangsangan untuk adik bongsunya.
Kalau disingkap sejarah kehidupan keluarga, Marmi dapat selami, pada awalnya keluarganya bukanlah senang sebagaimana sekarang. Mengikut cerita yang diberitahu abangnya, waktu sekolah dulu abang dan kakak-kakaknya telah berjuang dan bersusah payah sehabis mungkin. Semuanya dilakukan semata-mata untuk mengubah kehidupan keluarga.
"Kami lakukan semua itu, tanpa menghiraukan kepayahan hidup ini, semata-mata untuk mengubah kehidupan keluarga. Dan hasil usaha bersungguh-sungguh, kami dapat membaiki kehidupan diri dan keluarga," kata Imah, kakak Marmi yang sememangnya dikenali sebagai wanita yang berhati besi. Semangatnya terus membara hingga sekarang.
Dan yang Marmi ketahui jua, abang dan kakak-kakaknya bersekolah dulu, bukan macam dirinya sekarang. Ketika itu, abang dan kakak pergi dan pulang dari sekolah dengan berjalan kaki sejauh 4 kilometer.
Kalau diikutkan memang tampak banyak kesusahannya. Namun abang dan kakak Marmi, telah membuktikan yang mereka telah berjaya menempuhi segala halangan itu, yang akhirnya berjaya dalam hidup masing-masing dan sekarang ini bekerja di sektor awam, dengan jawatan yang cukup membanggakan.
"Kalau ada apa-apa masalah, beri tahu kat kami. Yang penting, kami mahu adik Mi turut mengikuti jejak yang telah kami capai selama ini," ujar Saleha, kakak Marmi yang ketiga.
Sungguh bertuah rasa diri, kerana mendapat perhatian dari abang dan kakak. Memang Marmi tidak menghadapi masalah.
Malah, diberi banyak kemudahan untuk terus melipatgandakan usaha dalam menimba ilmu dan kemahiran diri. Cuma, dalam pergaulan di sekolah, ada sedikit kerumitan yang terpaksa dilaluinya.
Bukan daripada teman-temannya, tetapi kerumitan timbul gara-gara kehadiran seorang teman yang bergelar lelaki.
Lelaki yang dimaksudkan itu ialah Jemain. Jemain telah mengharapkan sesuatu daripadanya. Satu permintaan yang benar-benar mencabar ketahanan dirinya untuk dia melakukan.
Marmi benar-benar tak menyangka, sejauh itu harapan yang diminta oleh Jemain ke atas dirinya. Satu permintaan yang pastinya amat sukar untuk dia melunasinya. Bukanlah dia nak menghampakan harapan Jemain. Tapi dia telah diingati berulang-kali oleh abang dan kakak-kakaknya, supaya menjauhkan diri daripada jerat cinta, ketika masih belajar di bangku sekolah.
Marmi juga telah tahu, akibat bahana cinta ketika alam persekolahan, akan hanya mengundang kesusahan. Dia melihat dengan mata kepalanya sendiri, apa yang telah menimpa teman sekelas, Milah dan Mina. Akibat terlalu asyik dengan mainan cinta, mereka akhirnya merana, prestasi pelajaran pun turut terjejas.
Satu hari itu, Marmi dengan langkah yang penuh yakin menemui Jemain, lalu menuturkan sesuatu....
"Jemain, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak terdaya untuk memenuhi permintaan awak itu. Bagi saya, belum layak lagi untuk kita memikir soal cinta dan perasaan.
"Yang penting sekarang, kita memberi tumpuan kepada pelajaran. Apatah lagi, akhir tahun ini, kita akan sama-sama menduduki peperiksaan penting,"Tenang dan berhemah
Marmi meluahkan segala-galanya. Dia mengharapkan Jemain akan memahaminya.
"Bagaimanapun, saya masih sudi menerima awak sebagai kawan saya. Kita berkawan dengan ikhlas danjujur. Sama-sama mencapai kejayaan yang gemilang dalam hidup," Marmi menambah kata-katanya, agar Jemain tidakterus menjauhkan diri darinya.
Marmi telah melakukan satu tindakan yang dianggapnya wajar. Dia mahu, Jemain turut bijaksana dalam membuat keputusan demi kepentingan bersama.
Dan, satu hari itu, ketika waktu rehat, Marmi didatangi oleh Jemain. Jemain hadir dengan iringan wajah yang berlainan.
"Terima kasih Marmi, atas nasihat yang telah awak luahkan kepada saya hari itu. Segalanya itu telah menyedarkan saya.
Memang, kita belum layak untuk memikirkan soal cinta. Sekarang, kita perlu diutamakan pelajaran dan kejayaan dalam bidang akademik," Jemain menuturkannya dengan tenang.
Saya berjanji pada diri saya, untuk kembali belajar dengan sungguh-sungguh. Saya akan ikut jejak awak. Moga kita akan sama-sama mencapai kejayaan," kata Jemain.
Bagi Marmi sekarang, tekadnya terus membara, untuk mencapai apa yang dicitakan. Dia mahu menggembirakan hati ibu, abang dan kakak-kakaknya.

Oleh Mohamad Nordin Abdullah

14:40 | Permalink