Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

23 January 2006

Tukar rutin - untuk capai matlamat

Oleh Nur Amin

SEORANG pengkaji alam semula jadi Perancis, John Fabre pernah membuat kajian mengenai sejenis ulat bulu yang tabiatnya suka mengikut ulat di hadapannya. Dalam kajian itu Fabre telah mengisi sebuah pasu dengan tanah dan menanam pokok yang menjadi makanan ulut bulu tersebut di tengah-tengahnya.
Fabre kemudian menyusun ulat bulu tersebut seekor demi seekor, mengelilingi tepi pasu dan membiarkannya. Seperti biasa, ulat-ulat bulu tersebut berjalan mengikut ulat yang di hadapannya. Mereka berjalan mengelilingi pasu jam demi jam, dan hari demi hari sehingga akhirnya semua mati kebuluran.
Jika salah seekor daripada ulat bulu itu bergerak keluar kira-kira enam inci daripada pusingan tersebut, ia pasti akan mendapat makanan yang diperlukan. Malangnya ulat-ulat bulu tersebut tetap dengan tabiatnya mengikut ulat di hadapannya tanpa berfikir dan bertindak bijak. Mereka mengikut rutin, dan akhirnya semua menemui maut.
Perkara yang sama mungkin berlaku kepada sesetengah orang, atau anda sendiri. Hidup saban hari melakukan perkara yang sama, dan mengikut rutin serupa tanpa ada perubahan. Matlamat-matlamat yang anda ingin perolehi berada tidak jauh, tetapi anda tidak boleh mencapainya. Dan selagi anda tidak bertindak di luar kebiasaan untuk mencapainya, selagi itulah matlamat-matlamat itu kekal sebagai anganan kosong.
Adalah mudah untuk memahami hal ini, jika hidup anda menjadi satu rutin, ia boleh memusnahkan. Hari demi hari anda akan melakukan perkara yang sama dari pagi hingga ke malam; pergi kerja, bekerja, bergaul dengan kawan, dan pulang untuk tidur. Anda tidak melakukan sesuatu yang lain dengan menggunakan pelbagai alasan. 'Tidak ada masa' adalah antara alasan yang sering didengar.
Ini adalah kehidupan anda, ambil sedikit masa untuk menukar corak rutin harian dan mencipta perubahan yang boleh memberi lebih manfaat kepada hidup anda. Sebelum itu anda perlu mengenal pasti bahawa hidup telah menjadi satu rutin dan perlu berubah.

Jika anda menjalani hidup seharian tanpa banyak berfikir lagi, seolah-olah memandu sebuah pesawat secara autopilot, atau melalui kehidupan tanpa perancangan untuk mengubah masa depan, maka anda sebenarnya sedang berada dalam zon rutin.
Sebenarnya bukan sukar untuk keluar daripada rutin itu. Anda hanya perlu membuat keputusan untuk berubah. Jika berterusan dengan kerja, atau tindakan yang sama setiap hari, keputusan atau hasil yang didapati juga hampir serupa.
Contohnya jika anda ingin mengurangkan berat badan tetapi terus dengan tabiat makan yang serupa setiap hari, adakah anda akan mencapai matlamat itu? Tentu tidak! Begitu juga, anda tidak akan mencapai matlamat jika terikat dengan rutin yang sama. Anda mesti melakukan kelainan, jika anda berterusan dengan perkara yang sama, anda akan terus terikat dengannya sehingga ia menguasai hidup.
Inilah perangkap yang perlu dielakkan. Anda mesti membuat perubahan itu sekarang, dan tidak membiarkan hidup dijalani secara autopilot!.

Rujukan: Al-Islam Julai 2006

09:05 | Permalink