24 March 2006
Akaun TMnet, berkongsi dokumen menerusi rangkaian
a) Saya telah menukar penyedia perkhidmatan Internet daripada Jaring kepada TMnet.
Saya hanya klik Dial-Up-Networking (DUN) dan menamakan TMnet pada type the name for the computer you are dialing, kemudian pada bahagian nombor telefon, saya taipkan 1515.
Bagaimanapun saya tidak memasukkan arahan seperti yang disertakan pada borang pendaftaran TMnet seperti primary DNS dan secondary DNS.
Saya masih juga menggunakan Jaring. Kedua-dua ikon ada pada desktop. Walaupun begitu saya masih boleh mengakses Internet melalui tmnet. Adakah kaedah ini boleh rnerosakkan komputer?
Bagaimana pula untuk memasuki inbox e-mel TMnet. Apakah yang harus saya lakukan.
b) Di sekolah tempat saya mengajar mempunyai beberapa komputer yang dihubungkan menerusi rangkaian. Hanya komputer utama yang mempunyai pemacu CD-ROM.
Bagaimanakah untuk menyalin fail daripada komputer utama ke komputer lain.
Salah sebuah komputer tidak boleh mencetak dokumen, pada kotak dialog semasa cetakan dijalankan terdapat mesej ralat meminta saya memeriksa kabel dan pencetak. Komputer ini juga tidak terdapat dalam senarai Network Neighbourhood komputer-komputer lain. Di dalam Network Neighborhood komputer ini juga tidak ada komputer utama.
Jawapan:
a. Tidak memasukkan maklumat DNS tidak memberikan sebarang kesan buruk kepada komputer anda.
Kebiasaannya, komputer anda akan membuat pemeriksaan DNS secara automatik pada pelayan penyedia perkhidmatan sewaktu anda mengguna Internet, oleh yang demikian maklumat DNS selalunya tidak diperlukan.
Bagaimanapun mungkin dalam keadaan tertentu atau sesetengah perisian pelayar memerlukan maklumat berkenaan untuk memberikan pengalaman pelayaran Internet yang lebih baik.
Jika anda ingin menggunakan e-mel TMnet, anda haruslah mengkonfigurasikan perisian e-mel seperti Outlook Express dengan memasukkan maklumat pelayan SMTP dan POPS padanya.
b. Untuk membolehkan anda menyalin dokumen daripada satu komputer ke komputer. yang melalui rangkaian, sekurang-kurang satu folder di dalam salah satu komputer perlulah dijadikan sharing folder.
Katakan anda ingin menggunakan komputer utama sebagai pusat penyimpanan data, dan data berkenaan ingin disalinkan ke dalam komputer-komputer lain.
Pertama sekali (saya andaikan anda mengguna Windows 98/Me/NT4/2000), anda perlu masuk ke Control Panel dan klik dua kali pada Networks. Klik pada butang File and Print Sharing, kemudian tandakan dua pilihan yang diberi. Klik OK untuk semua tetingkap yang dipaparkan dan kemudian komputer akan memasang komponen-komponen perisian yang diperlukan, dan mungkin meminta supaya komputer dimatikan dan dihidupkan semula.
Apabila komputer telah dihidupkan semula, masuk ke My Computer dan pilih pemacu atau folder yang ingin dikongsi, bawa penunjuk tetikus padanya dan klik sekali, kemudian klik butang kanan tetikus serta ambil pilihan Sharing daripada menu Popup yang dipaparkan.
Pilih tahap perkongsian yang diinginkan dan klik OK. Sekarang, komputer lain akan dapat menggunakan fail daripada komputer utama. Jika anda gagal, periksa dan pastikan semua komputer berada di dalam kumpulan kerja (workgroup) yang sama, dan jika komputer lain telah diberi nama pengguna (username) dan kata laluan (password), ia mestilah digunakan.
Kaedah yang sama boleh digunakan pada pemacu CD-ROM.
Jika ada komputer yang bermasalah, sedangkan yang lain dalam keadaan sempurna, periksa konfigurasi rangkaian pada komputer berkenaan, serta pastikan kad rangkaiannya dalam keadaan baik. Cuba gantikan kad rangkaian yang lain untuk mengesahkan keadaannya.
05:05 | Permalink