Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

05 April 2006

Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita
mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya,
pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi
kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina
sikap positif melalui penampilan yang positif.
Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis
pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja
dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampainya
sahaja anda di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir
lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan
anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda
pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan
anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan
bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah
besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan
emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila
anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat
dan yakin.

Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah
mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu
tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata
pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan
yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang
positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi.
Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-
mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan
anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih
positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional
mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk
berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan
dengan mempunyai penampilan positif.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan
diri:

Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan
menarik.
Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan
masa serta 'matching'.
Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
Kasut - Kasut yang sesuai denga tujuan kehadiran kita di satu-satu
tempat.
Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman
dan lain-lain.
Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan
sebagainya.
Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.
Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda
dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi. Walau pun begitu anda
tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri anda. Sebab
itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses
temuduga. Mereka mahu melihat calun-calun secara terus bukan
sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga
untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi
seseorang.

Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan
masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin
dan sebagainya.

16:37 | Permalink