Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

18 May 2006

Apa khabar Baharom?

CIKGU... ingat lagi tak pada saya?" tiba-tiba seorang anak muda bertanya sebaik dia menoleh ke belakang, selepas mengeluarkan wang menerusi kad ATM Bank Simpanan Nasional di Sungai Besi, Kuala Lumpur suatu pagi, dua tahun lalu.
Tanpa sempat menjawab, pemuda tersebut terus mem-perkenalkan diri.
"Baharom?" katanya sepatah, terus menghulurkan tangan. "Baharom Mubin... alaaaa... yang pernah pitam di sekolah sebab dab dua hari tak makan! Cikgulah yang bagi saya telur rebus sebaik saya tersedar.
"Cikgulah juga yang hantar saya pulang. Bukankah cikgu terkejut apabila tengok rumah saya di suatu kawasan setinggan di pinggir Kuala Lumpur? Rumah saya, ahhhh... kalaulah boleh disebut rumah, memang berbumbung tetapi lantainya..."
"Ya, lantainya tanah dan dindingnya sudah banyak yang tanggal. Cikgu ingat tu!"
"Dua bulan lagi saya akan kahwin, cikgu!" katanya lagi sedang saya masih terpinga-pinga. Pertemuan kami tamat di situ. Tapi tidak pula dia menjemput saya ke majlis perkahwinannya.
Saya akan sediakan hadiah cukup istimewa kalau diundang.
Bagi saya Baharom cukup istimewa. Sekalipun dia tak berjawatan besar, tetapi kerana takdir menentukan dia begitu, saya tetap bersyukur walaupun dia hanya seorang kerani.
Baharom hanyalah salah seorang daripada bekas anak lembam yang pernah saya didik. Hingga kini, kebanyakan mereka, meskipun sudah remaja, masih mengingati dan sentiasa mesra dengan saya, kala bertemu.
Walaupun pernah beberapa tahun mengajar murid kelas biasa sebelum ini, tetapi saya benar-benar memperoleh kepuasan apabila diamanahkan mengajar di sini - sebuah sekolah rendah di pinggir Kuala Lumpur.
Dunia di sini tak sama dengan dunia luar. Di sebalik redup mata anak-anak ini, saya dapat menangkap mereka ini benar-benar memerlukan pembelaan. Pandangan mereka KOSONG!
Ahhh, anak-anak istimewa, segalanya hadir kerana keikhlasan. Kerana keikhlasan itu lahir dari dalam, kehadiran mereka sentiasa menghiburkan saya, kehadiran saya pula dapat menggembirakan mereka.
Mereka riang datang ke sekolah. Bagi mereka tak ada istilah Sabtu dan Ahad. Kalau boleh tujuh hari seminggu atau 30 hari sebulan mereka mahu ke sekolah. Mereka tak mahu berpisah, tak mahu duduk di rumah. Mereka suka dilayan dan mahu bertemu kawan-kawan senasib.
Bagi saya pula semuanya perlu SABAR. Bayangkan, semasa mengajar di depan, yang di belakang main cuit-cuit. Bila ke belakang yang di depan pula tiba-tiba ketuk ketampi tanpa disuruh. Lima enam murid di barisan depan riuh membilang dengan tunggang-langgang; satu, enam, empat malah ada yang terus menyampuk sepuluh kepada rakan yang ketuk ketampi.
Begitulah, ajar pagi tengah hari sudah lupa. Eja B 0 L A, sana sini menyebut bola. Bergemuruh bunyi dalam kelas. Tetapi bila suruh sorang demi sorang, eja B 0 L A jadi huru-hara. Nak tergelak? Sebenarnya mula-mula dulu memang nak tergelak. Lama-lama jadi kesian; bukan mereka mahu dilahirkan begitu.
Diherdik, dimarah mereka tak pernah ambil hari, tak pernah ada dendam. Pagi dimarah tengah hari kembali bergurau; panggil cikgu, malah ada yang membahasakan emak apabila saya memulakan kelas atau mahu meninggalkan sesi persekolahan.
Saya masih ingat, apabila semua sudah menaiki bas untuk pulang, berceratuk kepala dikeluarkan sambil melambai dan berebut-rebut bye... bye... siap flying kiss lagi.
Kalau bcrtemu di mana pun mereka sanggup melepaskan pegangan ibu dan ayah kandung sendiri lalu memanggil saya mak atau ibu.
Begitu juga kalau tiba Aidilfitri atau Aidiladha. Pagi lagi mereka tanpa segan sudah terpacak depan pintu, kemudian mencium tangan dan pipi saya. Mereka bagai anak-anak saya sendiri.
Suatu kerika saya pernah menderita akibat kanser. Ada masanya saya tak berupaya untuk mengajar. Bayangkan... mereka mengatur meja menjadi seperti sebuah katil dan menyuruh saya berehat.
"Cikgu rehatlah... kalau ada pengetua lalu, kami kejutkan cikgu," kata dua tiga orang murid yang sanggup menjadi pak guard, selamba dan bersahaja.
Walaupun mereka adalah anak-anak isrimewa kerana dilahirkan lembam, namun jika kena didikan dan asuhan, mereka juga boleh berjaya.
Lihat Fatimah, seorang setiausaha; Malik, seorang jurutera, Hassan, businnesman yang ada rumah besar di Seri Kembangan dan yang kin-lain, hebat-hebat belaka! Malah istimewanya anak-anak begini, mereka amat mengingati kita sekalipun sudah memegang jawatan tinggi.
Banyak pengalaman dan kenangan manis diperoleh. Yang lucu, yang sedih, yang menghiburkan dan yang terkencing terberak pun saya basuhkan, semuanya saya kutip dan titipkan dalam tinta sanubari. Bila dicampur, ditolak saya memperoleh kebahagiaan yang tak mungkin diperoleh daripada kerjaya lain. Sedar-sedar sudah lebih dua puluh tahun mendidik murid-murid begini.
Baharom oh Baharom...
Sudah dua tahun masa berlalu selepas pertemuan terakhir kita. Hadiah perkahwinan yang cikgu sediakan masih elok tersimpan! Tiada apa yang harus dimalukan.
Kalau ketidak sempurnaan kehidupan keluargamu menjadi halangan untuk kamu menghulurkan kad tempoh hari, alangkah malunya cikgu kerana gagal menghapuskan rasa rendah diri yang ada pada dirimu Baharom.
Agaknya apa khabar Baharom sekarang? Mungkin Baharom sudah menimang cahaya mata!

- Cikgu Maizatul Akmar.

14:40 | Permalink