18 May 2006
Impian terlerai
Pagi itu, cikgu Zuraidah memberitahu setiap kelas dimestikan menyertai pertandingan drama sempena hari 'Kehidupan dan Kesenian' dua minggu dari sekarang.
Untuk pertandingan itu, Syakila terpilih sebagai penyair dan penyajak di samping menjadi pelakon utama untuk mewakili kelasnya.
"Kila, aku rasa seronok bila tengok kau berlakon, bersajak dan bersyair. Kau sungguh berbakat," puji Amylia.
"Alah Amy, kau pun apa kurangnya," balas Syakila.
"Kila, aku akan bawa keluarga aku tengok persembahan Rita, kau pula bagaimana?" soal Amylia.
"Tengoklah nanti," jawab Syakila ringkas.
Ketika Syakila pulang ke rumah, ayahnya masih belum pulang. Dia tahu ayahnya hanya akan pulang setelah lewat malam. Malam itu Syakila masih setia menunggu ayahnya. Tepat pukul 11.30 malam ayahnya sampai di rumah. "Ayah," panggil Syakila. "Eh, Kila tak tidur lagi?" "Tak, Kila tunggu ayah balik."
"Kenapa?"
"Ayah, boleh tak ayah datang ke sekolah Sabtu ni?"
"Maaf Kila, ayah terpaksa ke Bali."
Syakila terdiam. Dia langsung tidak memandang muka ayahnya.
"Ayah tahu ayah salah. Tapi ayah akan minta Mak Chu dan Pak Chu hadir ke majlis tu nanti," pujuk ayahnya.
Syakila tidak mempedulikan kata-kata ayahnya. Dia terus masuk ke bilik. Buat apa Pak Chu, Mak Chu. Dia mahukan ayahnya. Dia perlukan perhatian ayahnya.
Hari Sabtu itu benar-benar membosankan Syakila. Dia cemburu melihat kegembiraan Amylia dan rakan-rakannya. Anugerah yang diterimanya pada hari itu langsung tidak bermakna.
Amylia faham akan perasaan Syakila. Dia cuba merapati Syakila.
"Kila janganlah bersedih," pujuk Amylia.
"Kau tak faham. Aku kesunyian. Kadangkala aku cemburu melihat kebahagiaan yang kau kecapi. Kau ada ayah, ibu, abang dan adik yang memberi perhatian kepada kau. Tapi, aku hanya ada ayah yang tak pedulikan aku."
"Kila kau tak patut bersedih. Hari ini, kau berjaya menjadi pelakon terbaik. Kau perlu raikannya," pujuk Amylia lagi.
Mereka berpelukan. Bagi Syakila, Amylia seperti kakaknya sendiri. Hanya pada Amylia tempat dia meluahkan perasaan.
Hari Isnin itu merupakan hari paling bermakna buat Syakila. Kejayaannya sibuk diperkatakan. Pada waktu rehat, Amylia mengenalkan seseorang kepada Syakila.
"Kila," panggil Amylia.
"Apa?"
"Kau nampaktak budaktu?" tanya Amylia sambil memanjangkan muncungnya.
"Oo....budak yang cornel tu."
"Hmm...budaktu."
"Apa halnya?"
"Kau cakap hari tu kau sunyi. Aku rasa lebih baik kau ambil budak tu sebagai adik angkat. Dia pun macam kau jugak. Dia cuma tinggal dengan mak dia. Nama dia Mohd Daniel Syafiq, best student Form Three.".
Dia berminat dengan cadangan Amylia. Esoknya dia menulis surat buat tatapan Daniel. Dia benar-benar mahu menjadikan Daniel adik angkatnya. Walaupun Daniel belum membalas suratnya tetapi dia sentiasa tersenyum apabila bertembung dengan Syakila.
Perlakuan Syakila ini sampai pada pengetahuan ibu Daniel, Puan Dura. Dia marah dan bimbang kalau perkara ini boleh membuatkan Daniel melupakan pelajaran.
Puan Dura telah pergi berjumpa dengan Pengetua di sekolah. Dia minta supaya Syakila dan ayahnya datang bersama. Encik Suhaimi tertanya-tanya kenapa dia dipanggil pada hari itu.
Dia mengetuk dan membuka pintu bilik Pengetua dengan diikuti oleh Syakila. Sebaik sahaja masuk, dia dan Puan Dura saling berpandangan.
"Suhaimi..." ungkap Puan Dura.
"Dura..." ungkap Encik Suahimi pula.
Tanpa membuang masa, Puan Dura segera meninggalkan bilik itu. Syakila dan Pengetua kehairanan. Kemudian ayahnya juga beredar meninggalkan bilik itu. Syakila kebingungan.
Dia cuba bertanya kepada ayahnya apa yang telah terjadi. Siapa Puan Dura? Adakah ayahnya mengenali Puan Dura. Tetapi ayahnya cuba mengelak dan berbual dengannya.
Syakila benar-benar ingin mengetahui hal yang sebenar. Dia rasa ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuannya.
Akhirnya Syakila mengambil keputusan untuk bertanyakan hal itu ;
kepada Puan Dura.
"Puan, tolonglah bagi tahu saya hal yang sebenar. Saya betul-betul nak tahu," rayu Syakila.
"Kila, sebenarnya mak cik adalah ibu kandung kamu. Ibu yang telah lama meninggalkan kamu' jelas Puan Dura.
Kini Syakila telah mengetahui perkara yang sebenar. Mak dan ayah telah berpisah ketika dia berusia dua tahun. Ini semua angkara neneknya. Nenek telah menfitnah ibu mempunyai hubungan dengan orang lain. Ini membuatkan ayah yang percaya dengan kata-kata nenek telah menghalau emak tanpa usul periksa. Ayah membenarkan emak membawa adik bersama. Ayah sungguh kejam.
Syakila pulang ke rumah dengan perasaan kecewa dan geram di atas perbuatan ayahnya. Setelah ayahnya pulang pada petang itu, dia segera mendapatkan ayahnya. "Kenapa ayah tipu Kila?" "Apa yang ayah buat?" "Kenapa ayah tipu Kila dengan mengatakan ibu telah meninggal dunia ketika melahirkan Kila." Encik Suhaimi tergamam. "Kenapa ayah halau ibu tanpa usul periksa?" Encik Suhaimi masih terdiam. "Kenapa ayah pisahkan kami? Kenapa ayah... kenapa?" "Dari mana Kila tahu semua ni?" "Usah tanya dari mana ayah. Tapi kenapa?"
Encik Suhaimi diam kembali. Kerana terlalu marah Syakila berlari keluar meninggalkan rumah. "Syakila!"
Syakila berlari tanpa menghiraukan ayahnya. Dia rasa marah dan sedih di atas apa yang telah terjadi. Encik Suhaimi segera berlari mendapatkan Syakila. Tiba-tiba, dalam sekelip mata sahaja Syakila rebah di hadapan matanya. Badan Syakila berlumuran darah.
Syakila segera dikejarkan ke hospital. Dia mendapat kecederaan parah di kepala. Sebelum di masukkan ke wad kecemasan, dia sempat menyatakan sesuatu kepada ayahnya.
"Ayah! Kila nak ayah tolong Kila, boleh tak?"
"Apa dia Kila?"
"Tolong adik, ayah. Adik mahukan ayah. Lupakan semuanya ayah.Jangan sampai ayah kehilangan adik pula. Nanti ayah akan kesunyian. Tolonglah ayah," rayu Syakila.
"Baik Kila, baik..."
Kila dimasukkan ke wad kecemasan. Setelah setengah Jam, doktor yang merawat Syakila keluar. Sayangnya hanya berita buruk yang kedengaran. Puan Dura menangis sepuas hati. Dia sedih kerana belum sempat mencium dan membelai anaknya itu. Dia begitu kecewa sekali.
"Maafkan saya Dura," pohon Encik Suhaimi.
"Dura, sebelum Kila pergi dia minta supaya kita bersatu. Tolonglah, itu permintaannya. Kita lupakan segala hal lama, kita bina hidup baru," pintanya lagi.
Daniel datang menghampiri ayah dan ibunya. Dia juga turut bersedih. Dia sedih kerana belum sempat mengecapi kasih sayang seorang kakak.
"Sudahlah ibu. Mari kita sambung impian Kak Kila. Dia mahu kita bersatu..."
Karya: Fatimah Azahrah Abdul Malek
09:35 | Permalink