Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

18 May 2006

Jangan mengalah... teruskan!

SAYA tenung wajah Farhan dalam-dalam. Begitu nyenyak dia tidur. Memang mula-mula niat saya nak kejutkan, tapi mengenangkan dia agak kepenatan, saya biarkan.
Perlahan-lahan saya selimutkan anak ketiga saya daripada lima beradik itu.
Meskipun fizikal Farhan - kini usianya 6 tahun - tidak seperti kanak-kanak lain, dia tetap lincah bermain bersama adik-adiknya yang lain.
Farhan disahkan doktor sebagai kanak-kanak istimewa - sindrom down.
Namun tak pernah saya bezakan kasih sayang di antara dia dan adik beradiknya yang lain.
Takdir juga tak pernah saya salahkan. Saya terima kurniaan Tuhan dengan rela hati kerana yakin Tuhan tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia.
Saya tenung semula wajah Farhan. Saya perhatikan ombak dadanya, terasa amat sayu. Masih segar dalam ingatan, beberapa minggu lalu, sekolah Farhan menganjurkan temasya sukan.
Farhan turut serta menyertai pertandingan lumba lari pada majlis yang julung kali diadakan itu. Dia cukup gembira dan beria-ia membuat persiapan berminggu-minggu sebelum tiba harinya. Hari-hari dia bercerita tentang pesta itu.
"Annn... Annn... akan menang, ma!" katanya berkali-kali pada saya.
"Farhan buat betul-betul nanti, ya sayang!" saya berkata sambil mencium pipi dan menepuk-nepuk bahunya.
Farhan hanya mengangguk-angguk, tersenyum sambil memandang tepat wajah saya. Dia kemudian mencium kedua-dua belah pipi saya.
Entah kenapa saya berasa cukup terharu dengan perlakuannya itu - kali pertama dia mencium saya. Biasanya saya yang mencium pipinya. Terdetik seketika di hati, mungkin Farhan kian membesar dan mula faham erti kasih sayang.
Tibalah waktu yang ditunggu-tunggu. Farhan menarik tangan saya ke tempat mendaftar. Saya semakin kagum dengan Farhan kerana dia kini kerap dapat melakukan tindakan dengan betul.
Selesai mendaftar, saya sekali lagi memberinya perangsang.
"Mama akan sentiasa sokong Farhan. Menang atau kalah mama tak kisah. Yang penting Farhan mencuba, okey sayang!" saya membisikkan ungkapan itu di telinganya.
Sambil memerhatikannya dari tempat duduk berdekatan dengan trek perlumbaan, saya lihat sembilan kanak-kanak senasib dengan Farhan segak melangkah ke tengah padang.
Masing-masing bersedia untuk acara 100 meter itu. Semangat yang mereka tunjukkan, membuatkan hadirin terharu.
"Ke garisannnn... sedia!" Tammmm... sembilan kanak-kanak itu dilepaskan.
Tanpa disangka, di awal larian, kaki Farhan terseradung. Tampak Farhan gagal mengawal imbangan badannya lalu tersungkur di atas trek.
Dia cuba bangun, tapi tak berdaya. Air matanya mula mengalir. Farhan menangis!
Dia ketinggalan, sedang yang lain sudah jauh ke depan.
Tiba-tiba kelapan-lapan peserta berhenti berlari. Seorang demi seorang berpatah balik mendapatkan Farhan.
Seorang daripada mereka membongkokkan badannya, mencium pipi Farhan. Dia kemudian dengan dibantu tujuh yang lain mengangkat Farhan. Sambil seorang mengibas-ngibas pakaian Farhan, seorang lagi mengesat air mata di pipi Farhan. Yang lain menepuk-nepuk belakang Farhan, seolah-olah berkata: "Jangan mengalah... mari kita teruskan!"
Tanpa sedar, hadirin mengalirkan air mata. Kesemua mereka meneruskan acara, berjalan pantas ke garisan penamat sambil berpegangan tangan.
Saya menerpa ke arah Farhan dan memeluknya erat. Sambil mengucup dahinya saya mengucap syukur di atas kurniaanNya yang cukup indah.
"Aaaaan sayang mama. Kami semua menang!" katanya pelat, sekali lagi mencium pipi saya sementara kedua-dua belah tangannya memeluk erat leher saya.
Penonton terdiri daripada ibu bapa, guru-guru dan pelajar masing-masing bangun dan memberikan tepukan gemuruh, bersorak gembira, kagum dengan tingkah laku anak-anak istimewa ini.
Semuanya tersentuh melihat perilaku spontan kanak-kanak istimewa itu. Tersangat tinggi pengajaran yang kita peroleh daripada kejadian itu.

14:40 | Permalink