Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 May 2006

Puteriku sayang

Aku leka menjahit baju melayu suamiku. Katanya aku perlu siapkan cepat baju itu untuk dipakainya pada majlis makan malam Isnin ini untuk meraikan pengurusnya yang akan bersara.

“ Praaanggg!!!

Terdengar bunyi barang pecah dari ruang tamu rumahku mengejutkan aku di luar halaman rumah.

“ Nurul …!!! Tergopoh – gapah aku bangun lalu lari menuju ke ruang tamu.

Subhana Allah!! Masya Allah!!!

Aku memandang ke arah Nurul yang mematung di hadapan serpihan kaca yang berselerakan di lantai. Mataku melopong melihat pasu kristal yang dihadiahkan oleh arwah sahabatku yang kini hancur lebur. Tiba – tiba kemarahanku memuncak. Hatiku bertambah marah apabila melihat bingkai gambar perkahwinanku dan Jamal juga hancur berkecai.

Kelakuan Nurul puteri sulungku banyak membuatkan kehidupanku dan Jamal bukan seperti orang lain. Pelbagai kerenah Nurul terpaksa aku hadapi. Belum lagi kemarahanku hilang dua hari yang lalu , Nurul telah merosakkan lampu tidur di kamarku dan alat solek yang baru dibeli oleh Jamal di Bali.

Seperti biasa, sikap Nurul tidak akan berubah. Hanya sekadar menatapku dengan mata bulatnya. Sama sekali tidak ada perasaan bersalah. Cuma dia akan menangis dan terus tidur jika aku memukulnya.

Terus terang aku katakan aku kehilangan kata- kata. Bingung dengan ujian yang Allah berikan padaku. Aku tidak tahu bagaimana mahu meluahkan segala masalah dalam diriku. Kuhalakan nafas panjang – panjang. Subhanallah! Sabar… sabar …! Bisikku dalam hati. Itupun cuma seketika. Aku sukar untuk membuang perasaan tidak puas hatiku terhadap Nurul.

“ Nurul, mama dah cakap, jangan main dengan benda – benda ni. Degil. Bukannya nak dengar cakap orang. Sini mama kata. Allahuakbar! Ke sini Nurul.”

Nurul masih diam di situ. Hanya sesekali menundukkan kepalanya. Kata – kataku yang kuat tadi memenuhi setiap ruang rumah. Namun, entah di fahami atau tidak oleh Nurul, aku tidak tahu.

Kesal, aku tinggalkan Nurul yang masih mematung di situ walaupun di tarik olehku dengan kuat. Ya Allah!

Tingkah laku Nurul memang berbeza daripada kanak – kanak lain. Perkembangannya dari setahun ke setahun amat mengecewakan aku dan Jamal. Pertumbuhan Nurul agak pasif dan dia sukar dan lambat untuk menangkap sesuatu yang orang lain perkatakan kepadanya. Kalau kanak – kanak lain dalam usia satu hingga dua tahun sudah pandai berjalan dan berlari. Namun, usia Nurul ketika itu cuma mampu merangkak sehinggalah usianya lima tahun. Kini usianya sudah menjangkau tujuh tahun.

Sedih hatiku apabila mengenangkan keadaan Nurul. Bahkan di saat ini Nurul belum lagi mampu mengeluarkan kata – kata walaupun cuma perkataan mama … kecuali dia hanya mampu mengeluarkan bunyi – bunyi aneh yang kurang jelas dari mulutnya. Itupun hanya waktu – waktu tertentu sahaja.

Aku dan Jamal puas berusaha untuk merubah perkembangan Nurul dan merancang kemampuannya untuk berbicara. Berbagai kaset dan CD digunakan untuk membantu supaya Nurul mampu mengucapkan kata- kata masih belum juga terhasil. Doktor yang merawat Nurul sejak dari kecil cuma berharap agar kami bersabar dan teruskan usaha.

Sememangnya aku dan Jamal benar – benar perlu bersabar.Bukan hanya bersabar menghadapi kerenah Nurul, malah terpaksa berhadapan dengan cakap – cakap orang ramai tentang Nurul secara tidak langsung merendah – rendahkan kami.

Aku terpaksa menghadapi semua ini. Ada yang mengatakan bahawa Nurul jadi sebegini kerana kami tidak mengadakan majlis berendoi. Apa kena mengenanya majlis berendoi dengan kecacatan Nurul. Tidak kurang juga yang menganggap Nurul jadi begitu disebabkan kesukaanku makan udang selama mengandungkan Nurul. Logikkah pandangan mereka semua. Tak mungkin apa yang berlaku ke atas Nurul disebabkan semua itu. Ini semuanya tahayul belaka.

Namun, yang sering menjadikan aku naik darah setiap kali aku membawa Nurul ke pasar atau kedai ada saja remaja yang mengejek – ejek Nurul dan mengusik – usiknya. Dadaku sebak menahan sedih. Masih ada lagi manusia pada zaman ini yang berpendidikan hilang pertimbangan sehingga sanggup bersikap tidak beradab.

Apabila aku beritahu Jamal tentang kejadian – kejadian yang berlaku, Jamal cuma tersenyum dan menatapku dalam – dalam.

“ Sabar … sabar , ini cuma ujian daripada Allah SWT. Apabila kita mengaku kita beriman, sudah pasti kita akan sentiasa diuji. Ujian yang Allah berikan ini, mestilah kita hadapinya dengan sabar.”

Itulah jawapan yang sering Jamal berikan padaku setiap kali aku mengadu kepadanya. Sama sekali dia tidak pernah merasakan kelahiran Nurul membebankan dirinya. Cuma aku sahaja sering beranggapan begitu. Jamal bijak memujuk aku dan memberi nasihat yang terbaik untukku menghadapi semua ujian ini.

Sememangnya aku perlu banyak belajar semua ini dengan Jamal. Dia sama sekali tidak pernah merungut atau menyesal dengan ketentuan Allah. Jamal bukan sahaja mampu membina kesabarannya, malah dia banyak memberi perhatian kepada Nurul. Walaupun Nurul tidak mampu berkomunikasi, namun Jamal bijak berkata – kata yang bisa membuatkan Nurul tersenyum riang. Tapi aku, sebagai ibu sering memarahi dan memukulnya.

Kadang – kadang aku malu dengan sikapku selama ini. Sebagai ibu yang berada seharian dengan Nurul sebaiknya aku berusaha untuk membantunya menjalani perkembangan hidup sebagai seorang anak, , memberikan kasih sayang , belaian , tapi sebaliknya yang aku lakukan terhadap Nurul.

Semenjak kelahiran Amirul, anak keduaku, aku lebih banyak menumpukan perhatian kepadanya sejurus terlalu sukar untuk aku bersikap adil terhadap Nurul. Tapi bukan bermakna aku tidak menyayangi dan mengasihinya. Tidak sama sekali. Tidak ada ibu di dunia ini yang tidak menyayangi anak – anaknya. Cuma, aku tidak pasti kenapa perasaan sabar dalam benak hatiku dan diriku tidak mampu ditahan setiap kali berhadapan dengan kerenah Nurul. Itulah yang membuatkan jurang dan jarak antara aku dan Nurul semakin hari semakin jauh.

Alhamdulillah, aku gembira setiap hari melihat perkembangan diri Amirul. Dari bibir halusnya, buat pertama kalinya aku dipanggil mama. Panggilan yang selama ini aku rindukan dan tidak pernah kudengar dari mulut Nurul.

Jelas, Nurul begitu menyayangi Amirul. Setiap kali bangun tidur Nurul pasti ke bilik Amirul. Tiap kali aku saksikan Nurul akan menundukkan kepalanya untuk mencium pipi adiknya itu.

Kadang – kadang aku berasa khuatir untuk meninggalkan mereka berdua bersama. Namun, jelas kelihatan Nurul mampu menjaga adiknya walaupun dia dalam keadaan demikian. Segala arahan yang kuberikan mampu dilakukan oleh Nurul. Mungkin kadang – kadang aku khuatir Nurul akan membahayakan Amirul.

Kini, emosiku semakin rendah terhadap Nurul berbanding dulu sejak kehadiran Amirul. Walaupun ada ketikanya aku terlanjur menengkingnya, dan secara tiba – tiba ia menjadi reda apabila melihat kelucuan Amirul.

Pagi – pagi lagi Nurul menimbulkan kemarahanku. Kertas – kertas projek milik Jamal yang tersusun rapi sebelum ini di atas meja tulisnya berselerakan di lantai dan hanya layak dijadikan pembungkus kacang putih.

Bagaimana aku hendak menerangkan kepada Jamal nanti? Apatah lagi kertas – kertas itu sememangnya dipesan oleh Jamal agar aku menyimpannya dengan baik .

“ Nurul!!! Panggilku dengan kuat. Tapi Nurul entah ke mana.

Kali ini sikap Nurul keterlaluan. Padahal belum sampai setengah jam Nurul merosakkan kertas – kertas projek Jamal, kini bakul jahitanku pula diselerakkannya. Benang, gunting, jarum bertaburan di atas lantai. Benang- benang menjadi kusut. Sebahagiannya meliliti badan Nurul. Sebahagian yang lain penuh di halaman luar rumahku.

Aku nampak Nurul berada di celah – celah pokok bunga. Tangan kirinya menarik – narik ekor kucing Parsi peliharaan kami. Tangan yang sebelah lagi berusaha untuk mengorek mata kucing itu.

“ Nurul …!!! Tengkingku.

Nurul cuma sekadar memandang ke arahku. Kemudiannya dia kembali bermain dengan kucing.

Sudah sebulan aku dan Jamal sibuk berulang – alik ke hospital menemani Amirul. Doktor yang merawat Amirul banyak menenangkan aku yang tidak habis – habis merungut dan kelam kabut tentang keadaan Amirul. Jamal cuba menasihati aku agar lebih bertenang .

Selama ini Amirul sihat seperti biasa. Gembira, bermain dengan riang bersama Nurul. Tapi sekarang kesihatannya tidak dapat aku jangkakan. Sekejap dia menangis , sekejap dia diam. Aku menjadi semakin bingung.

Kini perhatianku lebih banyak ditumpukan kepada Amirul. Hatiku semakin risau melihat keadaan sakitnya yang mempunyai kesamaan dengan Nurul semasa awal kelahirannya sehinggalah dia menjadi seperti sekarang.

Ya Allah, Kau lindungilah Amirul! Bisik hatiku.

Kupandang wajah Amirul dalam – dalam. Bulan hadapan genaplah umur Amirul dua tahun.

Alhamdulillah, wajah Amirul sudah mula nampak kemerahan, tidak sepucat seperti sebelumnya. Namun, aku tetap berjaga – jaga . Sudah dua malam aku tidak dapat melelapkan mata. Kata – kata Jamal tidak aku pedulikan. Dia tidak habis – habis menyuruhku beristirehat.

Aku sedar tugas suamiku di sebuah syarikat penerbitan terlalu sibuk. Aku tidak mahu membebankan fikirannya. Hari ini aku berjuang menahan mengantuk, menunggu Amirul yang masih lagi kurang sihat. Jika Amirul masih berterusan begini, aku akan membawanya semula ke hospital.

Julia… Julia …!!! Assalmualaikum!

Suara salam dan ketukan keras pintu rumah mengejutkan aku. Dengan lemah aku bangun menuju ke ruang tamu hadapan. Dari sebalik jendela aku melihat ramai orang di halaman rumahku. Tiba – tiba lututku menjadi lemah, bertambah lemah apabila menyaksikan Nurul dalam dukungan Pak Long Ali jiran sebelah rumahku.

“ Pak Long, kenapa ni? Tanyaku dengan cemas.

“ Bertenang dulu Julia, Tadi Nurul leka bermain di jalan. Tiba – tiba sebuah lori melanggarnya. Mungkin pemandunya tidak nampak Nurul. Alhamdulillah Cuma sikit sahaja. Kau jangan bimbang, Tak ada apa – apa ni.”

Ya Allah, Nurul!! Apa dah jadi?

Kupeluk Nurul sekuat – kuatnya. Nurul masih tidak membuka matanya. Kaku dalam ribaanku. Tiba – tiba sahaja air mataku menitis membasahi lengan – lengan Nurul.

“ Terima kasih Pak Long,” kataku.

“ Sama – sama .”

Aku membawa Nurul ke dalam rumah untuk menggantikan bajunya yang kotor dan menyapu ubat pada bahagian yang luka. Kulihat kecederaan Nurul memang tidak terlalu serius. Setengah jam kemudian aku melihat Nurul bermain dengan riang bersama Amirul di ruang tamu. Kemalangan yang berlaku kelmarin tiba – tiba sahaja lenyap di fikiranku.

Bila Jamal pulang, aku ceritakan kejadian yang berlaku. Dia kelihatan seperti terlalu khuatir . Berulang – ulang dia memeriksa badan Nurul untuk meyakinkan dirinya bahawa anaknya itu tidak apa – apa.

Aku sedar kelalaianku. Oleh kerana terlalu memberi perhatian kepada Amirul, aku terlupa untuk mengunci pagar rumah. Namun, rasa bersalah itu beransur – ansur hilang apabila melihat keadaan Nurul yang tidak ada apa – apa sejak kejadian itu.

Namun, sangkaanku ternyata silap. Hari keempat sejak kemalangan itu aku melihat Nurul tertidur sesudah Subuh sehingga saat ini, saat waktu solat Asar , Nurul masih belum lagi bangun.

Kulihat nafas Nurul turun naik dengan kuat . Perlahan kutepuk bahunya beberapa kali. Nurul masih lagi diam. Kupegang pipinya dengan keras. Namun, tidak ada reaksi dari Nurul.

Nurul … Nurul…!!! Aku menjerit kuat.

Kerisauanku semakin memuncak apabila mendapati Nurul tidak juga bergerak.

Nurul…!!!

Secepat mungkin aku menelefon Abang Long. Setengah jam kemudian aku dan Abang Long membawa Nurul ke hospital. Sementara Amirul kutinggalkan bersama Kak Long. Alhamdulillah, Amirul tidak banyak meragam.

Sepanjang perjalanan, jiwaku sentiasa resah, walaupun aku dapat merasakan hembusan nafas Nurul, namun aku tetap merasakan ini bukan seperti sakit Nurul yang biasa. Sesuatu telah terjadi pada Nurul.

Setibanya kami di hospital Alor Setar, kami disambut oleh beberapa orang jururawat. Nurul terus dimasukkan ke wad ICU setelah mendapat rawatan doktor. Tak henti – henti aku berdoa. Air mataku turun mencurah – curah tatkala melihat kehadiran Jamal.

Aku belum pernah berasa bersalah seperti sekarang. Aku menyesal tentang diriku sebagai seorang ibu yang kurang perhatian pada Nurul. Sejak kelahiran sehinggalah sebelum ini aku jarang mendoakan kesejahteraan Nurul. Padahal aku sedar doa seorang ibu cukup mujarab kepada anak – anaknya. Semua ini pemberian Allah kepadaku. Sebenarnya aku perlu lebih banyak menumpukan perhatian dan kasih sayang kepada anak istimewaku ini. Zalimnya aku!!!

Aku yakin Jamal dilanda kekusutan fikiran. Dipeluknya aku dan membiarkan esakanku berterusan di bahunya.

“ Sabar Ju, serahkan ini semua kepada Allah. Semua ini pasti ada hikmahnya. Jangan kita menyesal apa yang telah berlaku. Ini ujian dari Allah. Baiknya kita berdoa untuk Nurul.

Mendengar pujukan Jamal, perasaanku menjadi tenang. Berulang – ulang dia menenangkan dan membacakan surah al – Baqarah ayat 153 – 157 yang membuatkan aku berkali – kali beristiqfar.

Ya Allah, berikan aku kesempatan sekali lagi buatku. Pintaku terus menerus. Akan aku buktikan aku mampu menjadi ibu yang baik untuk Nurul. Kasih sayang aku terhadapnya tidak akan hilang.

Pelbagai situasi bermain di kotak fikiranku. Hingga kini, keadaan Nurul belum lagi berubah. Sejak empat hari Nurul di bawa ke hospital, dia masih belum sedar.

Penyesalanku semakin bertambah, saat doktor memberitahu Nurul mengalami pendarahan dalam otak. Rupa – rupanya kemalangan itu mengakibatkan hentakan yang kuat di kepalanya. Tidak sanggup untuk aku saksikan keadaan Nurul seperti itu. Mataku bengkak kerana terlalu banyak menangis .

Aku tidak menyesal ketentuan Allah, cuma tangisanku ini menimbulkan kekesalan sikap aku selama ini yang mengabaikan Nurul.

Ya, aku lalai atas amanah Allah. Keterlaluan sikapku selama ini terhadap Nurul bermain difikiranku. Tergambar saat – saat aku menengkingnya, mengherdiknya ketika dia merosakkan segala barang yang ada dalam rumah.

Selebihnya pelbagai kerenah Nurul yang selalu mengotori dapur dan ruang tamu rumahku. Tidak kurang juga kadang – kadang dalam kamar tidurku dan kamarnya sendiri.

Sebenarnya semua itu aku perlu menghadapinya dengan sabar. Bukannya Nurul yang tidak mengerti apa – apa dihukum sedemikian rupa.

Seminggu berlalu. Aku pasrah. Begitu juga Jamal. Tak henti – henti Jamal menenangkan aku dengan kemungkinan – kemungkinan yang bakal berlaku.

Aku benar – benar bersyukur kepada Allah kerana memberikan aku suami yang banyak memahami, banyak mendorong dan menjadi penguat ketika aku lemah serta sering menasihati aku yang kadang – kadang melakukan kesilapan.

Aku tahu, di sebalik ketenangan di wajah Jamal, aku pasti kesedihannya juga dirasa. Aku perhatikan mutiara- mutiara jernih gugur di mata Jamal setiap kali dia membaca ayat – ayat suci al – Quran ketika menunggu Nurul.

Kupandang wajah Nurul yang kini kian pucat. Ya Allah Kau berilah kesempatan sekali lagi buat diriku.

Sekali ini saja ! Pintaku.

Aku teringat akan suara barang – barang yang pecah dalam rumah. Aku teringat akan kenakalan Nurul yang masih berjalan bertatih – tatih, leka bermain dengan Amirul yang sudah mampu berlari. Ya Allah, aku boleh terima semua itu, tapi bukan yang seperti ini.

Subhana Allah.

Aku mengelap titisan – titisan air mataku yang kembali mengalir. Aku tidak mahu suara merdu Jamal yang leka membaca al – Quran diganggu oleh esak tangisku. Ya Allah, kuatkan semangat hambamu ini.

Tiba – tiba jantungku terasa terhenti. Kulihat layar monitor, detak jantung Nurul hanya tinggal garisan lurus, yang mendatar. Sama sekali tidak ada getaran.

Abang!!! Pekikku dengan kuat.

Pekikanku membuatkan wad itu dipenuhi dengan doktor dan jururawat yang cuba membantu pernafasan Nurul. Tangisanku tidak dapat kutahan lagi.

Maafkan mama, Nurul. Maafkan sikap dan tingkah laku mama selama ini . Mama kurang memberi perhatian kepadamu. Mama selalu memarahimu Nurul, tapi sebenarnya mama sayangkan Nurul.

Nurul, maafkan Ibu kerana terlewat melahirkan rasa kasih sayang terhadapmu.

Suara hatiku terus berbicara.

Ya Allah ampunilah aku! Ampunilah hamba- Mu yang telah mensia – sia kan amanahmu. Ampunilah aku kerana tidak dapat bersyukur atas segala pemberianmu.

Astaghfirullah! Sesalku berulang – ulang.

Aku bagaikan tidak percaya, kulihat kedua kelopak mata Nurul bergerak perlahan – lahan.

Tangisanku terhenti sejenak. Garisan di motor beransur normal. Semua menarik nafas lega.

“ Nurul …!!! Esakku bercampur terharu.

Jamal menggengam erat tanganku, ketika kami sama – sama menghampiri katil Nurul.

“ Maafkan mama, Nurul… mama sayang Nurul ! “ Bisikku di telinganya di selang seli esakanku yang tidak mampu kutahan lagi. Aku tidak tahu sama ada Nurul mengerti atau tidak kata – kataku. Aku tidak peduli, yang pastinya kepuasan dapat aku rasakan selepas mengucapkan kata – kata itu.

Kusaksikan Nurul memandangku sambil tersenyum. Bibirnya nampak bergerak – gerak . Terlalu sukar baginya.

“ Ma … Ma… Mam … Mama!!!

Tangisanku mencurah – curah. Tapi hatiku terlalu gembira. Ya Allah, Nurul sudah mampu memanggil aku .

Kucium kening dan kedua pipi Nurul. Ingin sekali aku mahu meyakinkannya bahawa aku sangat menyayanginya. Namun, namun seketika kemudian Jamal memegang erat tanganku dan memelukku dengan erat. Jamal menarik aku menjauhi Nurul.

Aku pada mulanya kehairanan dengan tindakan Jamal terhadapku. Aku merasakan sesuatu yang tidak kena. Aku memandang pada layar monitor. Jelas layar monitor kini tinggal garisan lurus yang tidak bergerak lagi. Aku longlai di dalam pelukan Jamal. Baru sebentar tadi panggilan mama kudengar dari mulut Nurul dan senyuman manisnya. Tapi kini, kedua kelopak matanya kembali tertutup rapat, dan tak akan terbuka lagi buat selamanya.

Inna lillah…

“ Abang… Nurul abang??

Suaraku tidak mampu kuteruskan. Kulihat mutiara jernih menitis di pipi Jamal. Jamal tidak mampu berkata apa- apa. Cuma anggukannya meyakinkan aku bahawa Nurul tidak akan kembali lagi.

“Tidak, tak mungkin abang??” aku menjerit sepuas hati.

“ Julia…” Panggil Jamal dengan lembut.
Aku masih meraung seperti orang yang tak betul. Jamal cuba menenangkan keadaan aku. Dia mengucapkan dua kalimah syahadah di telingaku.

“ Ju, mengucap Ju. Jangan buat macam ni. Nurul sudah meninggalkan kita dengan baik. Jangan ikut perasaan. Ingat Ju, jika kita mengaku kita beriman dengan Allah kita pasti akan diuji. Jangan menangis lagi. Kita doakan semoga Nurul akan tenang di sana dan sentiasa bersama – sama orang yang beriman.”

Jamal mengelap air mataku yang turun mencurah – curah. Aku memandang pada wajah Jamal. Jelas ketabahan dan ketenangannya di atas pemergian Nurul. Dia menepuk – nepuk belakangku.

“ Sabar ye Ju, Nurul dah pergi. Kita kena terima hakikat ini. Kita kena terima ini adalah ketentuan Allah kepada kita untuk menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran kita. Ju ibu yang baikkan.” Pujuk Jamal lagi.

Sekali lagi aku memandang wajah Jamal. Tangisanku masih tidak dapat ditahan. Aku memeluk erat Jamal.

“ Ju bersalah pada Nurul, abang. Ju bukan ibu yang baik. Ju zalim terhadapnya.”

Jamal menutup mulut Julia. Dia memandang tajam pada raut wajah isterinya yang sejak dari tadi tak henti – henti menangis.

“ Ju, tak baik cakap macam tu, yang dah lepas jangan diungkit lagi. Abang pasti Nurul dapat merasakan kasih sayang Julia kini.”

Aku mengangguk . Mengangguk tanda kepastian kata – kata Jamal.

Ku lihat hujan turun renyai – renyai ketika mayat Nurul dikebumikan. Sebahagiannya membasahi pipiku, bercampur dengan titisan – titisan yang lebih dahulu hadir, titisan penyesalan.

Gerimis belum berhenti, saat aku melangkah longlai pulang beriringan dengan Jamal. Jamal menepuk bahuku. Aku memandang jauh ke dalam kelopak matanya. Jelas ketenangan di matanya membuatkan kesayuan di hatiku.

“ Ju… Kini kita bina hidup baru. Perkara yang lepas jangan Ju ungkitkan lagi. Sebaiknya kita banyakkan berdoa kepada Nurul dan banyakkan sedekah buatnya agar rohnya sentiasa berada dalam ketenangan.Abang percaya ketentuan Allah ini adalah sesuatu yang terbaik untuk kita jadikan iktibar dan tauladan untuk kita membina peribadi dan akhlak yang lebih baik. Ju mengerti maksud abang.”

Aku cuma diam. Hatiku sentiasa berbisik terus menerus sepanjang perjalanan pulang saat itu, “ Nurul … maafkan mama. Sebenarnya walaupun dirimu sudah tiada di dunia ini, namun kasih sayang mama tidak akan hilang buat selamanya. Kini, kasih sayang dan doa mama sentiasa bersamamu.. Semoga kau bahagia dan aman di sana !!!


NUKILAN :NOR

05:53 | Permalink