Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

18 May 2006

Tiub basikalnya bocor

Hari masih pagi benar. Matahari belum kelihatan lagi. Burung-burung belum keluar mencari makan dan dingin pagi masih terasa menggigit tulangnya tetapi Muin sudah bersiap sedia untuk ke sekolah.
Segala peralatan sekolah termasuk buku-buku telah dikemaskannya sejak malam tadi. Memang menjadi kebiasaannya memastikan semua peralatan sekolahnya lengkap sebelum masuk tidur. Esoknya dia hanya perlu menyemak sahaja jadual belajar dan tidak kelam kabut bila hendak ke sekolah.
Pagi itu, selepas minum air kopi bertemankan ubi kayu rebus yang disediakan oleh emaknya; Muin segera beredar ke anjung rumah. Keadaan di bahagian anjung lebih cerah berbanding dengan di dapur tempat dia bersarapan tadi kerana tidak berdinding. Muin melabuhkan punggungnya di bendul yang memang tersedia di situ dan meletakkan beg sekolahanya di sisi. Beg biru tua berjalur kuning itu dihadiahkan oleh arwah kakaknya, Halipah, yang meninggal dunia setahun lalu kerana mengidap penyakit batuk berdarah. Muin masih ingat, semasa arwah kakaknya masih ada, dia selalu menasihatkan Muin supaya belajar bersungguh-sungguh.
Pita fikiran Muin mula menayangkan balik peristiwa yang berlaku antara dia dan kakaknya. Muin masih tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku pada suatu petang kira-kira tiga tahun yang lalu, Ketika itu Muin di dalam Darjah Tiga. In Jangan kacau kakak, kakak hendak memberi makan ayam. Baik pergi baca buku. In kan tidak lama lagi akan menghadapi peperiksaan akhir tahun?" Kata kakaknya dengan lembut. Muin tahu kakaknya sangat sayang padanya.
"Alah, sekejap saja kakak, In hendak tenguk ayam jantan kita tu..... Sudah besar ya kak?" Kata Muin sambil menunjukkan tangannya kepada seekor ayam jantan ..yang berwarna kuning keemasan.
"Yalah, In pun sudah besar, In mesti belajar bersungguh-sungguh jadi orang yang terpelajar. Bela nasib keluarga kita!' Kata kakaknya memberi nasihat.

Lamunan Muin terhenti bila terdengar suara mengiau kucing kesayangannya, Mira. Mira sangat manja dengan Muin. Muin membelai kucing itu dan dia mengeleng-geleng kepalanya, kesal kerana mengelamun. Muin mencapai kasut-nya di bawah bendul,memasukkan kakinya yang telah siap bersetokin dan mengikat tali kasut itu.
Mira menggeselkan badannya pada peha tuannya, Muin membelai kucing itu sekali lagi dan meletakkannya kembali. Dia mencapai beg sekolah, berjalan di atas jemuran dan mula menuruni anak tangga. Ketika itu dia terlihat bas sekolah yang mengangkut budak-budak kampungnya ke sekolah telah melintasi jalan di hadapan rumahnya, Muin merungut sendiri, kesal kerana melengah-lengahkan masa. Dia tahu benar apabila bas itu datang, waktu itu tentunya sudah pukul 7.15 pagi. Dia sendiri pernah bertanyakan hal itu kepada Milah rakan sekelasnya yang sememangnya menaiki bas itu untuk ke sekolah.
Muin terus masuk ke bawah rumah, melalui sebelah kanan tangga. Di situ basikalnya tersimpan. Muin memegang handle basikal itu dan menyorongnya keluar. Perjalanannya terganggu oleh sabut-sabut kelapa yang bersepah di sana sini. Muin tahu itu kerja ayahnya. Pak Manaf, ayahnya bekerja mengambil upah mengopek kelapa dan sabut kelapa itu disedekahkan oleh tuan punya kelapa kepada emaknya. Muin juga tahu, apabila sabut itu kering emaknya akan menggunakannya untuk memasak jagung.
Emak yang terkenal dengan panggilan Mak Leha itu menjadi penjaja. Itu sahaja pekerjaan yang dapat dilakukannya bagi membantu mengurangkan tanggungan suaminya. Itu pun dilakukan hanya setelah musim menanam padi telah selesai. Bagaimana pun jika terdapat jagung yang telah sampai masa untuk direbus, dia terpaksa meninggalkan perkerjaan di sawah. Muin sedar pengorbanan emaknya terlalu besar. Kadang-kadang emaknya sanggup membeli jagung orang-orang kampung jika pasaran jagung baik di satu-satu ketika. Itulah emaknya, Muin terharu mengenangkan orang yang telah melahirkan dirinya ke dunia ini. Dia sedih sendiri.

Muin meneruskan perjalanan setelah membuang sabut yang menggariggu tadi ke tempat longgokkan yang dibuat oleh ayahnya. Dia terlihat kayu runcing yang digunakan oleh ayahnya untuk mengopek kelapa. Kayu itu masih terpacak di tanah dan kedudukannya dalam jarak selangkah dari jemuran serta berada di anak tangga. Muin menjadi seram melihat kayu itu. "Mungkin ayah lupa untuk mencabutnya.., Fikiran Muin membuat telahan sendiri.
Basikal itu disorongnya hingga sampai ke jalan di hadapan rumahnya, dari situ Muin menunggang basikalnya menuju ke sekolah.
Pagi itu, Muin mengayuh basikalnya lebih laju daripada biasa. Dia sedar dia sudah terlewat. "Barangkali Jiman sudah pergi!' Bisik hati kecil Muin. Jiman adalah rakan sekelasnya yang sama-sama berbasikal ke sekolah. Jiman lebih beruntung daripada Muin kerana kedudukan rumahnya hanya kira-kira satu batu dari sekolah. Muin sendiri terpaksa mengayuh basikal sejauh dua batu untuk sampai ke sekolah. Dahulu Muin dihantar oleh ayahnya ke sekolah tetapi itu dulu ketika dia belum tahu naik basikal dan terlalu kecil untuk berbuat demikian. Sekarang dia sudah besar dan tahu menjaga diri.
Ketika Muin sampai hampir dengan simpang keluar dari kampungnya menunju ke jalan besar tiba-tiba dia merasakan basikalnya semakin berat. Muin berhenti di tepi jalan dan memeriksa tayar basikalnya. Muin mendapati tayar basikalnya tidak berangin. "Agaknya basikal ini pancit". Kata Muin di dalam hati. Perasaan Muin menjadi tidak tenteram, dia mula memiikirkan tentang perkara yang bukan-bukan. "Kalau aku tidak datang ke sekolah, kasihan Jiman, dia tentu tertunggu-tunggu. Aku juga akan ketinggalan dalam pelajaran dan ayah tentu marah." Fikiran Muin menjadi berserabut. Dia mula rasa ingin menangis.
Muin menunggu sambil mengharap ada di antara kawan-kawannya yang lalu untuk ke sekolah. Setelah berada di situ kira-kira setengah jam, masih tiada kawannya atau orang yang lalu, harapan Muin hendak ke sekolah menjadi semakin tipis. Muin mengeluh dan diikuti dengan rungutan kecil.
"Hei! Apa lu buat di situ? Lu tatak pergi ke sekolah ke Muin? Tiba-tiba Muin dikejutkan oleh satu suara garau. Muin menoleh ke belakang untuk memastikan siapa yang menegurnya.
'Tidak! Tayar basikal saya pancit." Jawab Muin dengan suara yang tersekat-sekat. Muin kenal benar dengan orang tua itu. Dia adalah tokeh yang memiliki kedai membaiki basikal yang terletak di simpang sana. Namanya Gan Siew tetapi orang-orang kampung memanggilnya dengan gelaran "tokeh" sahaja.
"Tokeh, boleh tolong saya tak?" Tanya Muin kepada orang tua itu.
"Boleh, boleh, ini basikal awakkah?" Tanya orang tua ingin akan keterangan lanjut.
"Ya! Ya!" Jawab. Muin dengan wajah yang berseri seri.
"Sorong ke kedai saya, biar saya baiki, awak tunggu sekejap." Orang tua itu menyambung percakapannya.
Muin menunggu dengan sabar sambil memerhati apa yang dibuat oleh tokeh kedai itu. Dia berharap basikal itu segera siap dibaiki dan dia boleh ke sekolah." Lambat sedikit tidak mengapa nanti boleh beritahu guru bertugas yang tayar basikalku pancit." Muin memikirkan jawapan yang akan dinyatakan pada gurunya nanti.
Beberapa lama kemudian, tokeh itu bersuara.
"Muin, gua fikir tiub basikal lu tidak boleh ditampal lagi, sudah banyak kali tampal, Tiub basikal lu sudah terlalu rosak. Baik lu tukar saja tiubnya. " Kata tokeh itu sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.
"Ikut tokehlah," Jawab Muin tanpa berfikir panjang.
"Muin, kerja menukarkan tiub ini lambat, Gua punya tiub yang ada di kedai ini semua sudah habis, gua kena balik rumah ambil tiub baru. Baik lu balik dulu. Nasib lu baik anak gua Ah Teng hendak ke rumah Haji Kassim, lu boleh tumpang dialah." Kata tokeh itu lagi.
"Bila saya boleh datang mengambil basikal saya tokeh? Tanya Muin ingin tahu.

"Gua fikir, semasa Ah Teng hendak balik, lu boleh tumpang dia datang ke sinilah. Saya agak dalam pukul sepuluh pagi". Tokeh itu memberi penerangan kepada Muin.
Muin menganggukkan kepalanya. Tokeh itu memanggil anaknya dan bercakap sesuatu dalam bahasa Cina. Anaknya kelihatan menganggukkan kepala dan seketika kemudian anak itu memanggil Muin.
"Muin, mari kita pergi sekarang"
"Baiklah saya datang". Jawab Muin sambil berjalan menuju ke Van Ah Teng dan masuk melalui pintu yang telah dibukakan oleh Ah Teng. Muin duduk di sebelah pemuda cina itu. Pemuda cina itu menghidupkan injin dan memencutkan van itu di atas jalan menuju kampung Muin.
"Bapa gua cakap, tiub basikal lu pancit, dia jumpa lu tadi pagi ketika dia sedang membukakan pintu kedai kami, betul tak?" Ah Teng memecahkan kesunyian di dalam van yang sedang bergerak laju menuju destinasinya.
"Ya! Jawab Muin, sambil merenung muka pemuda cina yang belum dapat menguasai bahasa Malaysia dengan sepenuhnya itu.
Van putih susu kepunyaan Ah Teng itu berhenti di hadapan rumah Muin. Muin segera turun dan mengucapkan terima kasih kepada Ah Teng. Selepas Ah Teng meneruskan perjalanannya, Muin menghayun langkah menuju rumahnya.
Di rumah tiada siapa yang ada, Muin mendapati ayahnya telah pergi ke sawah dan emaknya tentu ke rumah Mak Tehnya, melihat jagung yang hendak dibelinya. Semalam Muin terdengar perbualan antara ayah dan emaknya.
'Abang saya tidak ke sawah pagi esok, saya hendak ke rumah Teh di darat sana melihat jagung yang dijanjikannya."
'"Kenapa awak tidak pergi petang esok saja, boleh ajak Muin sekali!" Cadang ayah Muin.
"Saya bimbang tidak sempat direbus nanti jagung itu." Kalau lusa baru hendak direbus, hilanglah rasa manisnya." Kata emaknya memberi alasan.
"Ikut kata awaklah!' Balas ayah Muin pendek.
Matahari telah meninggi, Muin telah selesai menukarkan pakaian dan dia masih tercari-cari duit simpanan ayahnya. Muin bercakap kepada dirinya sendiri," Bagaimana hendak mendapatkan duit bagi membayar upah membaiki basikal itu, aku tidak ada duit simpanan hendak ke sawah meminta duit pada ayah takut tidak sempat kerana Ah Teng janji dia hendak pergi sekejap sahaja. Kalau aku ke rumah Mak Teh... memangnya tidak sempat sebab rumah Mak Teh jauh."
Tiba-tiba Muin teringat yang ayahnya selalu menyimpan duit di dalam tip rokok yang terletak di ruang tengah rumah. Muin berlari ke luar dari bilik dan menuju ke tempat simpanan tin itu. Nasibnya baik kerana didapati di dalam tin itu terdapat sekeping duit kertas lima ringgit selain dari tembakau dan empat batang rokok. Muin senyum sendiri. Dia mengambil duit itu dan memasukkannya ke dalam poket seluarnya
Muin keluar menunggu Ah Teng di jemuran rumahnya. Dia duduk di birai jemuran dan membiarkan kakinya menghayun ke bawah. Di dalam menunggu kedatangan Ah Teng itu muin cuba menenangkan perasaan gelisahnya kerana mengambil duit ayahnya tanpa kebenaran itu. Entah kenapa perasaan gelisah itu tiba-tiba menyarang benaknya. "Ah! Emak dan ayah tidak akan memarahi aku, bila balik nanti aku akan beritahu mereka tentang tiub basikalku yang terpaksa diganti itu dan kenapa aku tidak ke sekolah hari ini." Bisik hati kecil Muin.
Ketika Muin sedang melayan perasaan itu, dia terasa kakinya sakit kerana terkena suatu benda keras. Dia tunduk ke bawah untuk memastikan kenapa kakinya tiba-tiba saja rasa sakit. Rupanya kaki Muin terkena kayu pengopek kelapa ayahnya. Muin merungut sendiri kerana cuai".' Baik aku cabut kayu itu, mungkin ayah terlupa untuk mencabutnya semalam. Merbahaya jika dibiarkan begitu". Diam-diam lahir rasa tanggungjawab didalam diri anak itu.
Muin turun ke tanah dan cuba mengoyangkan kayu itu tetapi tidak bergerak langsung. Ketika itulah dia mendengar hon van Ah Teng.
"Hai! Muin lu sedang buat apa tu? Lu sudah siap ka? Ah Teng menyoalnya bertubi-tubi.
"Sudah!" Jawab Muin sambil berlari menuju van Ah Teng dan terus menaiki van itu. Dia duduk di samping Ah Teng.
"Apa lu sedang buat tadi?" Tahya Ah Teng ingin tahu.
"Saya cuba mencabut pengopek kelapa ayah tetapi tidak dapat." Kata Muin.
'"Bapalu suruh cabut, lu tidak cabut, dia tidak marah ke sama lu? Tanya Ah Teng lagi.
"Ayah saya tidak suruh!' Terang Muin. Ah Teng berpuas hati dengan jawapan itu dia menghidupkan enjin vannya dan mereka pergi dari situ.
Semasa mereka tiba di kedai bapa Ah Teng, basikal Muin belum siap dibaiki. Muin menunggu tokeh itu menyiapkan kerjanya. Setelah selesai Muin membayar upah dan mengucapkan terima kasih kepada Ah Teng dan bapanya kerana telah bersusah payah menolongnya.
Muin menyorong basikalnya menuju ke jalan besar, di pertengahan jalan dia berselisih dengan Pak Usunya. Orang tua itu ditegumya.
"Pak Usu hendak ke mana?" Tanya Muin.
"Eh! Engkau Muin? Kenapa kau tidak ke sekolah?" Tanya orang tua itu tanpa menjawab pertanyaan Muin.
"Tiub basikal saya pancit tadi Pak Usu, Pak Usu hendak ke mana?" Muin mengulangi pertanyaannya.
"Pak Usu hendak ke kebun, kau hendak ikut; marilah." Kata orang tua itu mempelawa Muin.
Perlakuan mereka diperhatikan oleh tokeh tempat Muin membaiki basikalnya. Tokeh itu langsung mengajak Pak Usu Muin singgah.
"Ha! Haji Kassim, Jemput singgah di kedai saya. Awak punya anak saudara punya basikal bocor tiub. Saya sudah ganti dengan yang baru'! Cerita tokeh itu tanpa ditanya.
"Terima kasih, Sudah dibayar upahnya tokeh?" Tanya Haji Kassim.
Muin mengikuti Pak Usunya masuk ke kedai itu semula.
"Sudah! Muin pulang ambil duit tadi, dia tumpang saya punya anak. Ah Teng." Tokeh itu memberi penjelasan lagi.
"Tetapi duit itu saya ambil dari simpanan ayah sahaja, tiada orang di rumah semasa saya pulang tadi." Terang Muin.
'Tidak mengapalah Muin, nanti bila pulang beritahulah ayah dan emak kamu tetapi jangan pula kau habiskan duit bakinya. Berapa kau bayar upah membaiki basikal kau tu? Haji Hassim bertanya kepada anak saudaranya seolah-oleh dia itu seorang mata-mata gelap.
"Tiga ringgit dua puluh sen, Pak Usu." Jawab Muin. Pak Usunya bercakap dengan tokeh Gan tentang pasaran kelapa yang dikatakan agak merosot terutama di negeri Selangor. Setelah berada kira-kira setengah jam di kedai itu, kelihatan Muin mengekori Pak Usunya keluar dari kedai tersebut. Mereka beriringan berjalan menuju ke tempat letak basikal dan kemudian menunggangnya menuju ke kebun.
Di kebun, Muin menolong Pak Usunya memasukkan kelapa ke dalam guni untuk menyenangkan Ah Teng mengangkutnya nanti. Tengahari itu Muin makan di rumah Pak Usunya. Petangnya dia mengikut Pak Usunya ke kebun lagi.
Ketika matahari tegak di atas kepala Pak Manaf, ayah Muin pulang dari sawah. Selepas mandi dan sembahyang Zohor dia ke ruangan tengah rumahnya menunggu Muin pulang. Sementara itu emak Muin telah pulang lebih awal dari suaminya. Dia sedang menghidang makanan di dapur.
"Ke mana Si Muin ini, hari sudah petang belum juga pulang." Pak Manaf percakap sendiri.
"Abang, mari kita makan, hidangan telah saya sediakan." Kata isterinya.
"Eh! Awak ni, tidak sabar-sabar, Tunggulah anak kita pulang dulu". Balas Pak Manaf. "Hairan pula saya, anak kita ini bang. Selalu bila kita pulang dari sawah, dia sudah pulang. Ini hampir dua jam saya di rumah tidak nampak-nampak batang hidungnya. Ke mana dia pergi! "Jangan-jangan tidak ke sekolah tak?" Mak Lena mula menaruh curiga terhadap anaknya.
"Merapeklah awak ni, mak Muin oi! Takkan budak itu tidak ke sekolah," Pak Manaf membela anaknya.
"Manakah kita tahu!" Balas Mak leha sambil berlalu masuk ke dalam bilik. Pak Manaf membuka tin rokoknya, didapati duit kertas lima ringgit yang disimpananya semalam sudah tidak ada lagi. Dia bertanya kepada Isterinya.
"Emaknya, mari ke sini sekejap! Duit lima ringgit yang saya simpan di sini, awak ambil? Tanya Pak Manaf sambil menunjukkan tin rokoknya.
"Tidak! Eh! Abang, saya agak anak kita tidak ke sekolahlah. Pakaian dan beg sekolahnya ada di dalam bilik." Mak Leha memberitahu suaminya."
l
"Kalau macam ini, duit saya yang hilang itu Si Muinlah yang ambil. Perkara ini tidak boleh dibiarkan!" Pak Manaf meninggikan suaranya.
"Kalau ya pun sabarlah dulu, kita tanya dia baik-baik. Entah-entah orang lain yang mengambilnya. Mana kita tahu!" Mak Leha cuba menenangkan suaminya." Mari kita makan bang nanti sejuk pula nasi itu."
"Yalah! Jawab suaminya acuh tidak acuh. Mereka beriringan masuk ke dapur.
Petang itu, ketika hari hampir senja Muin pulang dalam keletihan tetapi dia gembira kerana dapat menolong Pak Usunya. Selepas menyimpan basikalnya di tempat biasa, dia naik ke atas rumah. Belum sempat dia masuk tiba-tiba ayahnya terjenguk di muka pintu.
"Ha! Baru balik Muin? Sergah Pak Manaf.
"Ya! ayah, saya dari ....." Belum pun Muin habis berkata-kata ayahnya terlebih dahulu menyambung cakapnya.
"..... dari merayau! Kecil-kecil sudah pandai mencuri, dahlah tu, ponteng sekolah pula! Anak kurang ajar! Tengking ayahnya.
Muin mula menyesal kerana mengambil duit ayahnya dan tidak mengikut nasihat Pak Usunya supaya pulang tengahari tadi untuk memberitahu ayah dan emaknya yang dia ke kebun Pak Usunya.
Pak Manaf menerkam ke arah anaknya dan mengheret anak itu rapat kepadanya. Anak itu dipukulnya bertubi-tubi.
"Kau curi duit ayah ya? Tanya Pak Manaf dengan kuat.
"Memang duit itu saya ambil tetapi saya bukan ........ percakapan Muin mula bercampur
dengan tangisan.
"Abang sudahlah tu, berilah dia peluang memberitahu perkara yang sebenarnya." Mak Leha cuba memujuk suaminya.
"Ah! Awak pun sama bukti yang macam mana lagi yang awak mahu! Tidak cukup lagi? Dia sendiri telah mengakui yang dia mengambil duit itu. Lagi pun tadi Jiman datang bertanyakan kenapa dia tidak ke sekolah hari ini..... Itu bukan bukti lagi?" Tengking Pak Manaf Kepada isterinya. l
Tangisan Muin semakin panjang. Sesekali terdengar dia terbatuk mungkin kerana menahan tangisan dan sebak di dada.
Pak Manaf semakin teruk memukul anaknya. Dia seolah-olah lupa yang dipukulnya itu anaknya bukan bantal. Kalau bantal pun sampai satu tahap akan pecah inikan pula manusia. Muin tidak tertahan dengan pukulan ayahnya. Lengan ayahnya yang selama ini kerap mengendung semaian itu digiginya. Lengan kiri yang di dalam gengaman ayahnya terlepas. Muin mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri. Mak Leha yang tadinya terduduk kerana tolakan suaminya semasa cuba menolong Muin ikut bangun berdiri.
Muin berlari ke arah jemuran, Pak Manaf mengikut dari belakang. Muin menyangkakan ayahnya sudah hampir dengannya terus sahaja terjun ke tanah tanpa melihat apa yang sedang menunggunya. Satu jeritan yang panjang kedengaran mengusik ketenangan senja yang hening. Pak Manaf dan Mak Leha terkejut melihat peristiwa itu. Perasaan kesal mula menguasai Pak Manaf.
Tubuh Muin terkulai, cecair merah mengalir sepi menuruni sebatang kayu runcing yang telah menelan segala cerita seorang anak. Burung-burung berkicauan memanggil anak-anaknya masuk ke sarang dan mega merah di kaki langit semakin hilang serinya menyambut malam.
Al-Fatihah. Amin.

Pena: T.S.
PSR PM 3

04:10 | Permalink