Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 May 2007

Kolej matrikulasi RM130j di Bukit Merbau

Oleh SAROJI MOKHTAR

KOTA BHARU 2 Mei – Kerajaan Pusat meluluskan pembinaan sebuah kolej matrikulasi di negeri ini di Bukit Merbau, antara Kok Lanas dan Selising, Pasir Puteh melibatkan peruntukan lebih RM130 juta.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata, pembinaan kolej berkenaan akan dilakukan segera sebaik sahaja proses pengambilan balik tanah yang memerlukan kerjasama kerajaan negeri selesai dilakukan.

‘‘Kontraktor sudah pun dilantik oleh Kementerian Kewangan untuk membolehkan urusan reka bantuk dan pelaksanaan disegerakan.

‘‘Kita cuma menunggu proses pengambilan balik tanah dan jika dapat dimulakan tahun ini, maka pembinaannya dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun.

‘‘Oleh itu kita jangkakan mulai tahun 2009 pengambilan pelajar pertama untuk kolej itu dapat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis anugerah pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 bagi Daerah Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat di Balai Islam di sini hari ini.

Seramai 407 orang pelajar termasuk dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima anugerah tersebut.

Pelajar cemerlang yang mendapat 18A (17 1A,1 2A), Siti Fatimah Mukhtar dari Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu turut menerima anugerah itu.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri (JPN) Ismail Md Noor, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPN dan pegawai Pegawai Pejabat Daerah terlibat.

Mengeri tawaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di Kelantan supaya berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran beliau dengan hati ikhlas berharap kerajaan negeri bertindak segera menerimanya.

Katanya, sekiranya terdapat masalah lain boleh dibincangkan kemudian apabila sahaja SAR atau SAN menjadi sekolah berdaftar di bawah kementerian.

‘‘Saya percaya Kementerian Pelajaran mengambil pendekatan yang agak terbuka dalam menyentuh perkara berkaitan pelajaran.

‘‘Jangkaan masalah itu tidak seharusnya menghalang menerima langkah pertama mendaftar dan saya nasihatkan kerajaan negeri supaya ambil dulu langkah pertama menerima tawaran dan apa masalah boleh lah dirundingkan kemudian.

‘‘Kita doakan agar semua SAR dan SAN di Kelantan akan dapat melalui satu fasa pendidikan yang lebih baik apabila berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran,” tegasnya.


Sumber: Utusan Malaysia 3.4.2007

05:18 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink