01 December 2007
Remaja Islam malas membaca, berbincang dan berfikir
ALLAH s.w.t. mengurniakan manusia akal. Potensi akal membolehkan manusia merenung, memerhati, mengetahui dan berfikir. Kekuatan minda menjadikan seseorang mampu mengingat, berfikir dan mempunyai daya taakulan. Menerusi berfikir dan mengkaji datangnya maklumat, fakta, data dan ilmu. Melalui maklumat dan ilmu membolehkan manusia tahu. Pengetahuan menjadikan manusia memiliki cara untuk tahu tentang sesuatu. Al-Quran pula menghasilkan hikmah dan daripadanya pemikiran mendapat suluh membimbing manusia ke arah pengetahuan yang benar.
Tony Buzan yang mempunyai kepakaran dalam Peta Minda menyebutkan manusia hanya menggunakan satu peratus daripada otak kanan dan otak kiri. Otak kanan berguna untuk berfikir hal-hal yang berkait dengan seni dan sastera sementara otak kiri berguna untuk berfikir hal-hal yang berkait dengan angka. Penggunaan otak kanan dan otak kiri, kata Tony Buzan, boleh meningkatkan kualiti berfikir seseorang.
Amalan berfikir adalah suatu tabiat baik sama ada ia menjadi amalan individu atau kelompok yang ingin mengembang dan menajamkan minda. Pepatah ada menyebut bahawa 'fikir itu pelita hati' yang membawa maksud bahawa seseorang yang melakukan amalan berfikir, dia sentiasa menerima cahaya dan petunjuk. Amalan berfikir bermula dengan tabiat membaca yang tinggi, tabiat berbincang yang baik dan tabiat menghasilkan pemikiran dalam bentuk karya sama ada berbentuk kreatif mahupun deskriptif.
Remaja adalah tenaga yang segar dan amat berpotensi untuk membina amalan berfikir. Dengan potensi akal yang tinggi dan segar, otak memerlukan latihan. Apa yang remaja baca, bincang, renung dan fikir memberi sumbangan yang amat berguna untuk mempertajam dan memperkasa minda. Orang yang tajam mindanya adalah hasil latihan otak yang berterusan. Mindanya menjadi kreatif, pandangannya menjadi kritis dan analisisnya menjadi sistematik. Ia mampu menilai sesuatu data, fakta dan menyebabkan maklumat berkembang. Ilmunya meningkat dan bertambah dan menyebabkan upaya bijaksananya tinggi. Hasilnya ialah pengalaman berfikir meningkat dan kewibawaan ilmu juga berkembang.
Para remaja harus menyajikan minda dengan bahan-bahan yang baik dan yang berguna untuk difikirkan. Membaca buku-buku yang berfaedah, majalah yang bermutu, berbincang isu-isu ilmu yang bermanfaat, meneliti perkembangan semasa yang sedang berlaku boleh mengembangkan daya fikir. Amalan membaca bukan hanya menerima apa yang dibaca dan dibincang tetapi ia merupakan langkah awal untuk menyuburkan tabiat berfikir.
Jalan berfikir yang berkesan selalunya dua hala; ia tidak sehala. Oleh itu berfikir seorang diri kadang-kadang tidak menjadikan minda remaja tangkas dan perkasa. Tetapi bila berlaku perbincangan dua hala minda remaja akan dilatih dengan amalan berfikir, memberi buah fikiran yang bernas dan akhirnya bersedia untuk memberi dan menerima kritik dan pandangan yang membina terhadap sesuatu perkara.
Al-Quran memberi keutamaan kepada amalan berfikir yang mempunyai maksud yang baik dan bermanfaat. Konsep ya'qilun, yatafaqqarun dan yatadabbarun sebenarnya mengajak manusia berfikir, merenung dan mengkaji atau menyelidik. Tradisi ini sangat hebat dilakukan oleh pemikir, ilmuwan dan ulama silam. Amalan berfikir tidak hanya terlihat dalam muzakarah yang berterusan, halaqah yang subur tetapi juga dalam penulisan. Ulama-ulama besar pada masa dulu berfikir tentang diri, hubungan dengan alam dan Pencipta dan memanfaatkan pensyariatan Allah dalam al-Quran, melakukan tadabbur atau kaji selidik yang berbentuk sains, ilmu bintang, falsafah dan lain-lain. Kemajuan umat Islam pada masa lalu adalah akibat berkembangnya tabiat dan tradisi berfikir di kalangan pemeluknya khususnya para ilmuwan, ahli fikir dan juga ulama.
Ada beberapa langkah boleh dilakukan oleh para remaja supaya amalan dan tradisi berfikir boleh bertunas dan berkembang. Pertama, remaja mesti ada keinsafan bahawa akal merupakan sebesar-besar kurniaan Allah yang perlu dimanfaatkan. Kemahiran dan kesuburan berfikir harus dikembangkan supaya kesukaan kepada membaca dan mendapatkan idea-idea baru membolehkan pemikiran berkembang.
Kedua, gunakan potensi otak kanan dan kiri supaya amalan berfikir akan mendapat faedah maksimum. Ibn Sina malah Albert Einstein umpamanya menggunakan kedua-dua otak kanan dan kiri yang menjadikan mereka ahli fikir sekali gus pakar dalam bidang sains. Tetapi para remaja tidak boleh hanya bergantung kepada sumber pemikiran untuk mengetahui sesuatu. Pemikiran remaja dan manusia dalam apa bentuk pun adalah terbatas. Tetapi yang terbatas itu boleh berkembang sekiranya suluh hikmah atau al-Quran dijadikan pedoman untuk mengembangkannya. Dalam al-Quran terkandung sumber ilmu yang amat bernilai. Bagi mereka yang berfikir, sumber itu akan memberikan kekuatan untuk membimbing manusia meneroka dan mencari kebenaran.
Ketiga, para remaja mesti ada kecenderungan membaca, mendengar, berbincang, menulis supaya buah fikiran berkembang. Remaja Islam tidak harus hanya membatasi diri dengan hanya membaca buku-buku atau kitab-kitab yang ditulis oleh penulis-penulis Islam saja. Para remaja Islam harus dapat mengembangkan ruang pembacaan terhadap bahan berbanding daripada sumber Barat dan Timur. Mengetahui jalan berfikir orang lain adalah jalan terbaik untuk memahami budaya dan cara hidup orang lain. Sekiranya ada di kalangan remaja bertekad untuk menjadi pendakwah, mengetahui dan memahami fahaman dan budaya orang lain amat dituntut supaya para pendakwah memiliki kebijaksanaan dalam melakukan usaha-usaha penyeruan dan pengajakan.
Keempat, para remaja harus membina asas berfikir yang sifatnya kreatif, lateral, strategik, deskriptif dan analitis supaya perkembangan minda dapat ditingkatkan, dipertajamkan dan diperkasakan. Corak cabaran pada era globalisasi sifatnya tidak sehala atau mudah. Kompleksnya hidup pada era globalisasi menuntut para remaja membina persiapan minda yang tinggi dan nilai agama yang diperoleh menjadi asas untuk menyaring yang baik dengan yang buruk atau antara yang bermanfaat atau sebaliknya.
Kelima, bila para remaja sudah mempunyai asas dan tabiat berfikir ia menjadi petanda cerah remaja memiliki identiti dan integriti yang akan dihormati kerana remaja yang berfikir tidak mudah dipengaruhi, diperlecehkan malah dibuli oleh pemikiran-pemikiran cetek dan tidak bernilai.
Remaja yang menjadikan berfikir sebagai amalan akan merasakan hikmah yang luar biasa hasil daripada berfikir. Apabila dewasa nanti amalan berfikir akan menjadi sebati dan inilah petanda negara memiliki harta yang sangat bernilai kerana kekuatan negara bergantung antaranya kepada warganya yang mampu berfikir, kaya dengan idea dan sentiasa memiliki pemikiran alternatif apabila berdepan dengan cabaran dan ujian.
Modal insan yang amat bernilai ialah mereka yang berfikir. Mereka yang berfikir tidak saja menjadi pengguna kepada sesuatu yang baik daripada orang lain tetapi bakal menjadi penyumbang kepada tamadun umat Islam dan tamadun umat manusia.
06:17 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.