12 September 2007
Budaya kerja cemerlang mengikut perspektif Islam
MUKADIMAH
Kecemerlangan mempakan satu matlamat yang diimpikan bukan sahaja oleh individu tertentu tetapi juga oleh sesuatu organisasi yang berwawasan. Kecemerlangan adalah natijah daripada beberapa siri kejayaan dalam semua aspek yang diharapkan. Tiada kecemerlangan yang bersama dengan kelemahan, kegagalan atau mundur ke belakang. Kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik, gemilang, menerima sanjungan, dan menjadi idola atau "role model" individu atau masyarakat.
Manusia mempunyai potensi untuk berfikir, merangka strategi, melaksana, dan mencapai tahap kejayaan cemerlang dalam sesuatu gerak kerja yang dilaksanakan. Bagaimanapun, kecemerlangan bukan suatu perkara yang mudah dicapai. Kecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepimpinan, dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah yang positif.
Islam mengatur dan memberi kerangka asas untuk seseorang itu mencapai kecemerlangan mengikut landasannya tersendiri. Budaya kerja yang bagaimanakah yang dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam? Sesuatu yang cemerlang pada anggapan seseorang, boleh jadi tidak dianggap cemerlang mengikut perspektif Islam. Di sini penulis cuba mamaparkan persoalan budaya kerja cemerlang mengikut perspektif Islam dalam konteks Islamisasi dan pembinaan kerangka tersendiri merujuk kepada sumber-sumber muktabar. Bagaimanapun, ianya hanya sekadar kemampuan yang ada untuk membuka tirai perbincangan di sini.
ASAS PENTAFSIRAN
Seorang pelajar yang rajin, berdisiplin, sistematik, bertanggungjawab, mempunyai daya kepimpinan, bermotivasi, matang, kritis dan kreatif, menguasai pelbagai kemahiran, dan berjaya dalam peperiksaannya, akan dianggap sebagai pelajar yang cemerlang. Begitu juga seorang pengurus kasino yang berjaya mengaut keuntungan berjuta ringgit sehari, mampu menarik ramai pelanggan, dan dapat mengurus kasino dengan baik sudah tentu dianggap sebagai pengurus yang cemerlang oleh pengarah
syarikat tersebut.
Nampaknya, terdapat pertembungan nilai dalam contoh di atas semasa mentafsirkan kecemerlangan.
Apakah landasan yang harus diguna-pakai dalam menilai kecemerlangan? Setiap orang boleh menilai untuk menentukan tahap sesuatu kecemerlangan, tetapi ukuran kecemerlangan itu sudah tentu berdasarkan cita rasa, asas pegangan, dan disiplinnya yang tersendiri. Jika demikian, sudah tentu pelbagai tafsiran kecemerlangan akan timbul.
Sebenarnya, dalam setiap gerak kerja, Islam menetapkan agar kita menilai mengikut perspektif ketuhanan .Hal ini bersesuaian dengan konsep pengabdian kepada Allah yang diikat dalam ungkapan kalimah syahadah oleh setiap orang Islam, iaitu "Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah".
Firman Allah bermaksud:
Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia, kecuali untuk mengabdi diri kepadaKu. Adz-Zariyat, 56.
Segala amalan yang kita lakukan, sesungguhnya tidak bermakna dan sia-sia sahaja di sisi Allah SWT sekiranya tiada matlamat untuk mengabdi kepadaNya. Corak pengabdiannya pula adalah secara total, menyeluruh, dan tidak terpisah-pisah walau dalam keadaan bagaimana sekalipun.
Firman Allah bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan RasulNya, Allah melaknat mereka di dunia dan akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. Al-Ahzaab, 52.
Perspektif ini seharusnya disedari dan dipegang teguh oleh setiap orang Islam. Islam menetapkan supaya matlamat menuju keredhaan Alah dijadikan sebagai landasan utama dalam segala gerak kerja. Daripada perspektif inilah sebenarnya budaya kerja cemerlang perlu ditafsir, dinilai dan dihayati. Untuk menilai sejauhmana sesuatu amalan itu berjaya, ukurannya mestilah disandarkan kepada kerangka ketaatan kepada Allah SWT.
Firman Allah bermaksud:
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. Al-Ahzaab, 71.
KERANGKA BUDAYA KERJA CEMERLANG
Apabila disebut sahaja perkataan "budaya kerja cemerlang", akan tergambar kepada kita bermacam-macam pendekatan, strategi, dan teknik yang digunakan untuk mencapainya. Dalam sesuatu organisasi kita akan mendengar "MBO" (management by objective) yang melibatkan visi, misi, objektif, plan bertindak, tema-tema, piagam dan sebagainya.
Budaya kerja akan dirancang berdasarkan visi, misi dan objektifhya. Sebagai contoh, sebuah organisasi yang telah menetapkan misinya untuk mendidik pelajar supaya menjadi guru yang budiman, cekap, kreatif pengajarannya, serta dapat menjadi mangkin kepada kemajuan pendidikan di sekolah telah menetapkan budaya kerjanya seperti berikut:
Cara-cara kerja atau budaya kerja yang hendak dibina adalah berdasarkan dorongan ke arah pencapaian hasil yang bermutu dan perkhidmatan yang cemerlang, sentiasa menghasilkan idea baru, berdisiplin, ilmiah dan profesional, mesyuarah, kerja berpasukan, rangkaian kerja, dan berorentasikan pelajar.
Kita mengamati bahawa pernyataan budaya kerja yang sedemikian rupa amat strategik, profesional, dan merangkumi aspek pengurusan yang berkesan. Secara umumnya kita bersetuju dengan pernyataan tersebut. Bagaimanapun, apabila kita berbincang tentang pandangan mengikut perspektif Islam, kita perlu memperhalusi budaya kerja tersebut dengan beberapa soalan dan tindakan seperti yang berikut:
1. Tidakkah kita terlepas pandang mengenai persoalan niat? Apakah niat kita melaksanakan kerja-kerja tersebut? Jika setiap kali kita bersembahyang, kita akan berniat, apakah kita tidak perlu berniat dalam melaksanakan sebarang kerja di luar waktu sembahyang?
Hadith Rasulullah SAW bermaksud:
Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan.
2. Tidakkah kita memerlukan bimbingan syariah untuk melaksanakan unsur-unsur dalam budaya kerja tersebut? Jika kita bertembung dengan persoalan keutamaan, kita akan bertanya yang manakah berkategori wajib dan yang mana pula berkategori sunat. Apabila kita bertembung dengan persoalan "boleh atau tidak boleh dilakukan" kita berhadapan dengan masalah hukum halal, haram, harus, sunat, atau syubhat.
Maksud Hadith Rasulullah SAW:
Sesungguhnya yang halal itu nyata (jelas) dan yang haram itupun nyata (jelas) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa memelihara dirinya daripada segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya.
3. Tidakkah ada dasar-dasar Islam yang berkait rapat dengan budaya kerja yang kita lakukan? Contohnya, dalam soal kepimpinan dan kepatuhan terhadap pemimpin. Siapa dan kepimpinan yang bagaimanakah yang wajib dipatuhi?
Firman Allah SWT bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu Kepada Rasullulah SAW dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu mengembalikan kepada (kitab) Allah dan Sunnah RasulNya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Sunnah RasulNya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih eluk kesudahannya. An-Nisa. 59.
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. An-Nisa. 119.
Apakah kita merasa aman dan boleh berlepas diri daripada natijah sebarang amalan atau gerak kerja yang kita lakukan? Tidakkah kita merasa perlu mengenal pasti kedudukan sesuatu amalan sama ada ianya diterima oleh Allah SWT sebagai suatu kebajikan atau sebaliknya?
Firman Allah SWT bermaksud:
Sesiapa yang membawa amal kebajikan (pada hari akhirat) maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebajikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya, sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). Al-An'aam. 160.
Firman Allah SWT bermaksud:
(laitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Al-Kahfi, 104
Firman Allah SWT bermaksud:
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah) dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu. Al-Baqarah, 175.
Apakah unsur-unsur budaya kerja tersebut dapat menjurus kita untuk mencari keredhaan Allah?". Adakah kerja-kerja yang kita lakukan adalah tergolong dalam kategori memenuhi kehendak Islam atau sebaliknya? Jika tidak, apakah perlu proses Islamisasi terhadap unsur tersebut dan bagaimanakah caranya untuk bertindak sedemikian?
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Al-Ankabut.69.
Apakah budaya kerja tersebut tidak membabitkan kita melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah dan RasulNya? Lebih malang lagi jika amalan tersebut telah meletakkan kita sebagai penentang kebenaran ayat-ayat Allah.
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan orang-orang yang berhujjah menyangkal dan membantah tentang kebenaran agama Allah sesudah disebut dan diterima agamaNya itu, bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu sia-sia berlaku di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya. As-Syura. 16.
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat Allah, mereka itulah ahli neraka. Al-Haj. 51.
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang yang beroleh kemenangan. An-Nur, 52.
Ringkasnya, proses refleksi perlu dilakukan terhadap seluruh gerak kerja kita baik dalam aspek kerja individu, kerja bermasyarakat atau berorganisasi. Dalam konteks budaya kerja cemerlang mengikut perspektif Islam, kecemerlangan yang sebenamya terletak sejauhmana amalan tersebut disandarkan kepada konsep pengabdian kepada Allah melalui proses berniat. Selepas itu amalan tersebut perlu dirancang, dilaksana, dimurni, dan ditapis mengikut aturan syariah. Proses seperti ini sebenarnya hanyalah proses mengubahsuai gagasan budaya kerja cemerlang yang telah sediada dipaparkan di hadapan kita untuk diselaraskan dengan kehendak Islam. Pendekatan ini seharusnya mampu kita kuasai untuk berhadapan dengan pelbagai saranan budaya kerja cemerlang yang dihadapkan kepada kita setiap masa.
PEMBINAAN BUDAYA KERJA CEMERLANG
Perbincangan sehingga ini masih berlegar dalam proses mengislamisasi budaya kerja cemerlang yang telah kita lalui. Kita juga boleh membina kerangka tersendiri berdasarkan petunjuk Al-Quran, sunnah Rasulullah SAW, dan Ijmak Ulamak sepanjang zaman. Dalam keupayaan yang serba terhad ini penulis cuba menggariskan ciri-ciri pembinaan budaya cemerlang berdasarkan petunjuk kitab Bimbingan Mukmin karangan Imam Al-Ghazali. Amalan atau kerja yang cemerlang seharusnya mempunyai ciri-ciri yang berikut:
1. Pemusatan Tujuan (niat)
Pemusatan tujuan, matlamat, atau objektif setiap amalan bermula dari gerak hati kecil yang sentiasa dirasai oleh setiap orang. Sebenamya ia adalah pekerjaan hati yang disebut sebagai niat. Allah memandang berat masalah niat.
Firman Allah SWT bermaksud:
Jika kedua-duanya (suami-isteri yang sedang bersengketa) menginginkan perdamaian, nescaya Allah akan memberi taufiq kepada kedua-duanya. An-Nisa. 35
Niat sesuatu amalan boleh tergolong dalam tiga keadaan, iaitu amal taat, amal maksiat, atau amal mubah (harus). Amal taat adalah amalan yang dikaitkan niatnya sebagai ibadat kepada Allah semata-mata, tidak menyimpang selain daripadaNya. Niat suatu amalan taat boleh diperbanyakkan untuk mendapat pahala yang berlipat kali ganda. Sebaliknya jika niat itu bercampur dengan perkara lain seperti riya' maka amalan tersebut menjadi amal maksiat.
Amal maksiat adalah amalan yang menyimpang dan petunjuk syariat dan terkeluar daripada keredhaan Allah. Amal maksiat tidak akan berubah kedudukannya dengan mengubah niat. Contohnya, mencaci orang dengan tujuan mengambil hati rakan atau berbohong kerana melindungi kawan yang berdusta. Amal mubah (harus) pula adalah amalan yang disertai dengan pelbagai niat. Contohnya, memakai minyak wangi kerana inginkan bau yang wangi adalah harus, tetapi apabila diniatkan untuk meneladani Rasulullah SAW atau supaya orang berasa senang hati, maka hukumnya sunat.
Bersandar Pada Ilmu
Allah memberi penghormatan yang sangat tinggi kepada orang-orang yang berilmu. Bagaimanapun, penghormatan tersebut masih dihubungkaitkan dengan persoalan iman.
Firman Allah SWT bermaksud:
Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan bagitu pula pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat. Al-Mujadalah, II.
Kategori ilmu yang wajib (fardhu 'ain) adalah ilmu untuk mengenal Allah, mempelajari cara beribadah dengan sempurna, mengenal dan membeza antara yang hak dengan yang batil, dan untuk mengenal sesuatu yang dibolehkan dalam kehidupan seharian. Imam Al-Ghazali menghuraikan lebih lanjut dengan katanya:
"Termasuk juga ilmu yang fardhu 'ain ialah ilmu yang mengenal hal-ehwal hati, mengenai sifat-sifat yang terpuji, seperti bersabar, bersyukur, bermurahati, berakhlak tinggi, bergaul baik, berkata benar dan ikhlas. Begitu juga dengan sifat-sifat yang terkeji, seperti balas dendam, dengki, menipu, meninggi diri, riya', marah, berseteru, membenci dan kikir. (Jld.1 him. 18)".
Ringkasnya, amalan yang baik adalah amalan yang diiringi ilmu yang hak, jelas, dan tepat. Dengan ilmu tersebut dapat dibezakan antara amal taat dengan amal maksiat atau amal mubah sehingga kita dapat menyalurkannya menuju ke arah keredhaan Allah.
Bersih dan Suci
Bersih, kemas, teratur, sistematik, menarik dan sejuk mata memandang adalah satu kriteria penilaian yang orang lain berikan untuk menilai amalan kita sepintas lalu. Bagaimanapun penilaian tersebut masih belum menyeluruh kerana selepasnya ada konsep suci yang diajarkan oleh Islam. Dalam membincangkan konsep suci. Imam Al-Ghazali menjelaskannya melalui tingkatan bersuci seperti yang berikut:
a. Mensucikan anggota lahir dari hadas (najis), anasir jahat dan kelebihan-kelebihan yang tidak perlu.
b. Mensucikan anggota badan daripada perbuatan-perbuatan salah dan berdosa.
c. Mensucikan hati daripada akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
d. Mensucikan kebatinan diri daripada semua perkara selain Allah SWT.
Bersuci seperti yang disebutkan di atas, sesungguhnya sangat menyeluruh dan luas maknanya. Sesuatu amalan atau sesuatu benda yang nampaknya bersih boleh jadi tidak suci mengikut perhitungan Allah. Oleh itu, sewajamyalah kita mengaplikasikan kedua-dua konsep bersih dan suci dalam amalan kita semoga Allah meredhainya.
Firman Allah SWT bermaksud:
Padanya ada orang-orang yang suka sekali bersuci dan Allah mencintai orang-orang yang bersuci itu. AT-Taubah, 7.
Firman Allah SWT bermaksud:
(laitu) orang yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (daripada kafur, syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka "Selamat sejahtera kepada kamu, masuklah ke dalam surga disebabkan amal baik yang telah kamu lakukan. An-Nahl, 32.
1. Memenuhi Masa
Semasa membuat carian perkataan "masa" dalam CD Al-Quraan, penulis merasa terpegun kerana terdapat sebanyak 224 perkataan "masa" dalam terjemahan Al-Quran dalam CD tersebut. Bagaimanapun peringatan Allah dalam surah Al-Asr tentang masa amat penting dalam perbincangan ini, iaitu
"Demi masa, Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan orang yang berpesan-pesan ke atas kebenaran. Dan orang yang berpesan-pesan ke atas kesabaran ".
Maksud surah Al-Asr itu sudah cukup untuk mengingatkan kita bahawa masa yang ada dalam pengurusan kita akan berlalu begitu sahaja dalam kerugian apabila kita tidak menjadikan segala amalan sebagai pengabdian kepada Allah. Amaran ini diperteguhkan lagi dengan penjelasan ayat 66 surah Al-Ahzab.
Firman Allah SWT bermaksud:
Pada masa muka mereka dibalik-baikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya) "Alangkah baiknya kalau kami dulu (semasa di dunia) taat kepada Allah SWT serta kepada Rasulullah SAW. Al-Ahzab, 66.
Menjamin Keadilan
Berlaku adil dan menjauhi kezaliman dalam beramal adalah tuntutan Islam yang perlu kita ambil berat. Tidak adil boleh berlaku apabila kita melakukan penipuan, tidak jujur, khianat, dan tidak memberi hak yang sepatutnya diperolehi. Amalan yang disertakan dengan penipuan terhadap Allah atau terhadap manusia akan tetap dicatat oleh Allah dan diperlihatkan semula kepada kita di hari akhirat nanti.
Firman Allah SWT bermaksud:
Kami (Allah) mencatat apa yang telah mereka lakukan terdahulu dan kesan-kesan dari amalan mereka. Yasin, 12.
Seseorang itu dianggap tidak adil dan melakukan kezaliman yang besar apabila menidakkan kebenaran ayat-ayat Allah. Misalnya, seorang ahli politik boleh berjaya memenangi pilihanraya hasil kebijaksanaannya memberi kepercayaan kepada majoriti pengundi bukan Islam bahawa beliau tidak akan melaksanakan hukum hudud. Kejayaan yang dicapai sebenarnya hanya menzalimi diri sendiri bahkan akan lebih menyesatkannya lagi.
Firman Allah SWT bermaksud:
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghilang mereka daripada memahaminya dan (Kami jadikan) pada teliga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-selama-lamanya. Al-Kahfi, 57.
Ikhlas
Sebagaimana tanaman yang subur akan sentiasa dikerumuni makhluk perosak, begitu juga amalan kita sentiasa dikelilingi oleh perosak antaranya ialah tidak ikhlas. Ikhlas lawannya ialah sifat sekutu. Orang yang tidak ikhlas bermakna menyekutukan amalannya seperti kerana riya dorongan nafsu, dan kepentingan dunia. Dalam hal ini Imam Al-Ghazali menjelaskan lagi seperti katanya:
"Kesimpulannya, tiap-tiap dorongan dunia yang dirasakan senang oleh jrwa dan menarik hati, samada sedikit atau banyak, apabila mencampuri kandungan amalan (kerana Allah), nescaya keruhlah kejernihan amalan itu dan terhapuslah keikhlasannya. Setiap amalan yang khalis itu, tentulah tidak akan dipengaruhi oleh sesuatu gejala apapun, kecuali mendekatkan diri kerana Allah Ta'ala. Amalan yang khalis semacam itu itu pula tidaklah akan berhasil, melainkan oleh orang yang benar-benar cinta kepada Allah. Dalam hati mereka tidak ada sedikitpun yang tinggal dari membesarkan cinta kepada dunia. (Jld.2, him. 3 3 3)
Keikhlasan dalam beramal adalah penting untuk menjaga martabat amalan yang kita lakukan. la perlu dipelihara merentasi usia kita kerana amalan yang terdahulu boleh dibinasakan sekelip mata apabila kita mula mengungkit dan mempersoalkannya. Walaupun sesuatu amalan yang kita lakukan hanya sedikit tetapi apabila ia dilakukan dengan ikhlas maka ia sudah memadai. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Ikhlaskanlah amal itu, cukuplah walaupun sedikit".
PENUTUP
Sehingga ini kita telah berbincang bagaimana sesuatu amalan itu seharusnya dinilai mengikut perspektif ketuhanan yang membawa kepada matlamat mengabdi dan mendapat keredhaan Allah SWT. Setiap amalan yang telah diletakkan niatnya untuk mengabdi kepada Allah SWT perlu dirancang, dilaksana dan dimuhasabahkan mengikut syariat Allah. Ringkasnya, amalan yang diniatkan kerana Allah, dilakukan berdasarkan ilmu yang yakin, bersih dan suci, setiap masa tidak terputus hubungannya dengan Allah, adil dan tidak menzalimi diri atau orang lain, serta ikhlas tanpa ada sebarang elemen perosak yang mencampurinya maka ia akan menghasilkan buah amalan yang cemerlang.
Sesungguhnya dalam kesempatan yang terbatas ini, hanya beberapa perkara asas dapat dihuraikan mengenai budaya kerja cemerlang. Masih banyak lagi sumber yang perlu diteroka dan kesempatan itu mungkin boleh diperolehi dalam sesi perbincangan yang diadakan. Fokuskanlah usaha kita dalam mendalami aspek ini semata-mata kerana Allah semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang bertaqwa.
Firman Allah SWT bermaksud:
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya. An-Nahl, 128.
Firman Allah SWT bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya), dan berjuanglah pada Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. Al-Maedah, 35..
Wallohua'lam.
Oleh: Hj. Othman Sodikin, MPPM Melaka
RUJUKAN:
Al-Quraan. Cdrom Holy Quran, Ver 6.0. Syarikat Perisian Skhir. 1996.
Imam Al-Ghazali. Bimbingan mukmin (Terjemahan MohAbdai Rathomy). Al-Maktabah At-Tijariyyah Al-Kubro.
Institut Perguruan Sultan Idris.(1994). Kecemerlangan ibu kandung. Naskah tidak diterbitkan.
Mustafa 'Abdul Rahman. (1989). Hadith 40: Terjemahan dan syarahnya. Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
Mustafa Kamil Ayub. (1994) Menangani cabaran membina kecemerlangan tamadun ummah Budaya Ihnu Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.
YusufQardhawi. (1980). Halal dan haram dalam Islam. Pustaka Nasional, Singapura.
06:39 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)