21 September 2011
Generasi pewaris negara perlu timba ilmu
KUALA PILAH 20 Sept. - Memikul peranan sebagai generasi pewaris negara pada masa depan memerlukan anak-anak muda menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan sama ada secara formal atau sebaliknya.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hanya dengan ilmu pengetahuan sahaja membolehkan mereka berdepan dengan pelbagai cabaran getir termasuk penjajahan yang dilakukan secara tidak langsung.
Beliau berkata, peranan sebagai generasi pewaris negara tidak datang secara tiba-tiba tetapi ia perlu dilakukan sejak awal bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan.
"Penjajahan sekarang bukan seperti dulu, walaupun kita boleh lihat ada negara yang dijajah secara konvensional iaitu cara bersenjata seperti Libya, Iraq dan Afghanistan tetapi banyak negara juga yang dijajah secara tak sedar.
"Mereka dijajah pemikirannya, ekonomi dan segalanya sehinggakan mereka tidak boleh berfikir dengan baik kerana pemikiran telah dijajah dalam bentuk yang tidak langsung.
"Itu sebabnya kita mesti berilmu. Ilmu yang membolehkan kita mempunyai kayu pengukur sendiri dan keupayaan sendiri untuk menapis apa yang baik dan yang tidak baik untuk diri kita dan negara kita," katanya ketika menyampaikan ceramah Bicara Cendekia di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di sini, semalam.
Turut hadir, pengarah kolej berkenaan, Fuad Hashim.
Mohamad turut menasihatkan para pelajar kolej berkenaan agar memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran dan tidak tersasar daripada tujuan asal mereka datang ke situ.
"Kita dihantar oleh keluarga, saudara dan masyarakat kita untuk memastikan kita cerdik dan boleh menjadi pemimpin pelapis pada masa akan datang," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 21.09.2011
05:37 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)