Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

21 July 2009

Program Matrikulasi KPM - 10 Tahun

Tahun 2008 ini genaplah sepuluh tahun usia Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program ini dimulakan dengan penubuhan Bahagian Matrikulasi KPM pada September 1998 untuk mengambil alih, menyeragam dan menyelaras semua program matrikulasi / asasi yang selama ini dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pengambilan pertama pelajar dalam program ini bermula pada Januari 1999 melibatkan 330 orang yang ditempatkan di kolej Yayasan Pelajaran MARA, Bangi, Selangor. Pengambilan pelajar seterusnya dibuat pada ambilan Jun sesi 1999/2000 apabila Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) siap dibina dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) ditempatkan sebagai kampus sementara di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Cawangan Labuan. Pada ketika yang sama, KPM juga menempatkan pelajar-pelajar di 18 buah kolej swasta (IPTS) yang dipilih untuk melaksanakan Program Matrikulasi KPM.

Kini Program Matrikulasi KPM mempunyai 9 buah kolej iaitu KM Melaka, KM Labuan, KM Pulau Pinang, KM Negeri Sembilan, KM Perlis, KM Johor, KM Perak, KM Kedah dan KM Pahang yang mengendalikan Program Matrikulasi Sains dan Perakaunan. Selain itu, pelajar juga ditempatkan di dua buah kolej MARA iaitu Kolej MARA Kulim dan Kolej MARA Kuala Nerang.

Dalam tempoh 10 tahun ini, banyak perubahan telah berlaku yang menunjukkan betapa dinamiknya perkembangan program Matrikulasi KPM. Ini dilihat dari pelbagai tahap yang meliputi aspek fizikal, kurikulum, program perkembangan pelajar, program pengantarabangsaan, perkembangan staf, pengambilan pelajar dan sebagainya.

Pada peringkat awal, Program Matrikulasi KPM dilaksanakan dalam tempoh 3 semester, namun mulai sesi 2001/2002 tempoh pengajian dipendekkan kepada 2 semester. Pada sesi 2002/2003 bilangan subjek yang perlu diambil oleh pelajar jurusan sains telah dikurangkan kepada 3 subjek berbanding 4 subjek sebelumnya disebabkan keperluan mengkhusus dalam bidang-bidang berkaitan dan juga keperluan untuk mengambil kursus lain seperti Sains Informatik, Pendidikan Islam dan Moral, Dinamika Kemahiran dan kegiatan kokurikulum.

Apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan, Program Matrikulasi juga tidak ketinggalan. Mulai sesi 2004/2005, semua subjek teras dalam Program Matrikulasi Sains disampaikan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya meliputi kuliah, tutoran dan amali. Serentak dengan itu, soalan peperiksaan juga disediakan dalam dwi bahasa. Dapatan terkini menunjukkan 94 peratus pelajar menjawab dalam Bahasa Inggeris.
Untuk memberi impak pencapaian yang lebih tinggi kepada pelajar-pelajar, Program Matrikulasi telah membuka ruang kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera sebanyak 10 peratus mulai sesi 2004/2005. Ini dilihat tepat pada masanya dalam mencapai hasrat perpaduan dan intergrasi nasional.

Untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar bumiputera yang berpotensi, program rintis Matrikulasi dua tahun atau dikenali sebagai Program Dua Tahun (PDT) dimulakan pada sesi 2006/2007. Program ini sedikit berbeza berbanding Program Satu Tahun (PST) dimana pelajar akan mengikuti program Matrikulasi selama 4 semester. Dalam dua semester pertama (Tahun 1) pelajar akan mengikuti modul khas yang merupakan tahun penyesuaian. Pada 2 semester berikutnya (Tahun 2), pelajar akan mengikuti program matrikulasi sains sebenar setelah lulus tahun penyesuaian. PDT ini dikahskan kepada jurusan sains sahaja.

Dalam memantap, meningkatkan kualiti dan memastikan tahap P&P sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, kurikulum Program Matrikulasi dikaji dan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun. Semakan dan penggubalan semula kurikulum ini melibatkan pensyarah-pensyarah IPTA dan Kolej Matrikulasi. Kurikulum yang telah disemak dan digubal itu perlu mendapat pengesahan Jawatankuasa Penasihat Akademik (JPA) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPM dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua Timbalan Naib Canselor (Akademik) IPTA.

Salah satu perkembangan penting Program Matrikulasi KPM ialah apabila tertubuhnya Pusat Kecemerlangan atau Centre of Excellence (CoE) untuk menjamin kualiti berterusan program ini. Penubuhan pusat-pusat kecemerlangan ini adalah antara perancangan strategik Bahagian Matrikulasi ke arah pengklusteran kolej-kolej Matrikulasi. Semua kolej Matrikulasi telah diberikan peranan sebagai pusat-pusat kecemerlangan tertentu bagi menzahirkan aspirasi menjadikan Program Matrikulasi lebih berprestij dan salah satu pemangkin yang dapat mengangkat martabat pendidikan negara di mata dunia. Penubuhan CoE ini juga selari dengan hasrat KPM untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Lima bidang kecemerlangan telah dipertanggungjawabkan kepada kolej-kolej seperti berikut:

i. Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran di KM Pulau Pinang dan KM Pahang.
ii. Pusat Kecemerlangan Arkib dan Dokumentasi di KM Kedah dan KM Negeri Sembilan.
iii. Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan di KM Melaka dan KM Perlis.
iv. Pusat Kecemerlangan Kokurikulum di KM Johor dan KM Labuan.
v. Pusat Kecemerlangan Sumber Manusia di KM Perak.

Dalam meneruskan perkembangan kecemerlangan Program Matrikulasi, mulai tahun 2006 Program Pengantarabangsaan telah dimulakan. Dua aktiviti utama yang telah dan sedang dijalankan ialah Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi (SLTPPM) dan Program Inapan Desa (Homestay). Melalui SLTPPM pelajar-pelajar cemerlang lepasan Program Matrikulasi KPM dihantar melanjutkan pelajaran ke beberapa buah universiti terkemuka di United Kingdom seperti University of Birmingham, University of Surrey, University of Nottingham dan University of Manchester. Pelajar-pelajar ini akan mengikuti pengajian ini dalam bidang fizik, kimia, biologi dan matematik dengan pendidikan, dan akan menjadi tenaga pengajar Program Matrikulasi setelah menamatkan pengajian. Penghantaran secara berperingkat SLTPPM ini bermula dengan 18 pelajar pada tahun 2006, 22 pelajar (2007), 50 pelajar (2008) dan dijangka 100 pelajar (2009).

Program Inapan Desa pula bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepimpinan serta sosial kepada pemimpin pelajar kolej-kolej matrikulasi. Program ini dimulakan dengan perjanjian persefahaman antara Bahagian Matrikulasi KPM dengan beberapa buah universiti di Sumatera, Indonesia. Bermula pada tahun 2006, seramai 31 pelajar dihantar ke Universitas Sriwijaya, Palembang. Ini diikuti pada tahun 2007 ke Universitas Andalas, Padang dan tahun 2008, program ini diadakan di Universitas Sumatera Utara, Medan.

Sepanjang 10 tahun Program Matrikulasi KPM ini, beberapa pencapaian yang membanggakan telah terhasil. Pada tahun 2004, Bahagian Matrikulasi telah memperolehi sijil MS ISO 9001:2000 meliputi pengurusan peperiksaan, pengambilan dan penempatan pelajar, serta latihan dan perkembangan staf. Sehingga tahun 2007, semua kolej matrikulasi telah memperolehi pengiktirafan MS ISO 9001:2000.
Selain itu, Program Matrikulasi KPM juga menekankan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D). Aspek ini penting untuk membentuk budaya penyelidikan untuk menyelesaikan isu-isu pendidikan dalam konteks Program Matrikulasi. Pencapaian dalam R&D ini sungguh membanggakan. Bermula dengan pembentangan 12 kertas kajian dalam Seminar Penyelidikan Pendidikan anjuran Bahagian Matrikulasi pada tahun 2003, bilangan kertas yang dihasilkan setiap tahun terus meningkat. Sejumlah 24 kertas telah dibentangkan pada tahun 2004, 58 kertas (2005), 64 kertas (2006) dan 69 kertas (2007).

Disamping itu, pencapaian kolej Matrikulasi juga sangat membanggakan. Sebagai contoh, Kolej Matrikulasi Pahang telah memenangi tempat pertama Pertandingan Anugerah Inovasi KPM pada tahun 2007. Kolej Matrikulasi Perak pula berjaya mendapat tempat pertama Anugerah Pengurusan Kewangan dan Akaun KPM. Kolej Matrikulasi Perak juga telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Pengurusan Kewangan, Kementerian Kewangan Malaysia 2008 (keputusan tempat belum diumumkan).

Bahagian Matrikulasi KPM turut turun padang untuk bersama masyarakat bagi menjelaskan Program Matrikulasi dan pencapaiannya. Ini dilaksanakan menerusi Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan bermula di Mukim Bagan Samak, Daerah Kulim-Bandar Baharu, Kedah pada tahun 2006 dan diurus setiakan oleh Kolej Matrikulasi Kedah. Ini diikuti pada tahun 2007 di Daerah Seberang Perai Utara dan dirus setiakan oleh Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Pada tahun 2008 ini, program tersebut akan diadakan di Felda Chini Timur, Daerah Pekan, Pahang dan diurus setiakan oleh Kolej Matrikulasi Pahang. Program ini melibatkan 310 pelajar dari semua kolej matrikulasi KPM dan Kolej MARA bertujuan memberi pendedahan tentang kehidupan masyarakat sebenarnya sebagai persediaan menjadi pemimpin masa hadapan. Semua pelajar terlibat ditempatkan di rumah keluarga angkat selama lima hari dan menjalani beberapa program seperti gotong royong, khidmat sosial, bimbingan pelajaran kepada anak-anak masyarakat setempat, sukan dan kehidupan harian. Program tahun 2008 ini akan lebih bermakna lagi kerana kemuncak sambutan satu dekad Program Matrikulasi akan dilaksanakan bersama Majlis Penutupan Program Matrikulasi Bersama Masyarakat.

Dibawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), empat buah kolej baru telah diluluskan pembinaan dan lima buah kolej sedia ada dinaik taraf. Kolej-kolej baru yang sedang dan akan dibina ialah Kolej Matrikulasi Selangor (dijangka membuat pengambilan pelajar pada tahun 2010), Kolej Matrikulasi Kelantan dan Kolej Matrikulasi Terengganu (dijangka membuat pengambilan pelajar pada tahun 2011) dan Kolej Matrikulasi Sabah (dijangka akan mula dibina pada tahun 2010). Dengan pertambahan kolej-kolej baru ini yang serba moden, jumlah pelajar yang akan mengikuti Program Matrikulasi KPM akan bertambah dan dapat membekalkan jumlah pelajar mengikut keperluan IPTA.

Pada tahun 2008 ini juga, keputusan untuk mewujudkan Program Matrikulasi Teknikal/Kejuruteraan telah dicapai dan dijangka akan memulakan pengambilan pelajar pada sesi 2009/2010. Keputusan ini dihasilkan bersama dengan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) KPM yang mana Bahagian Matrikulasi akan diberikan sekurang-kurangnya dua buah Sekolah Menengah Teknik sedia ada. Beberapa persediaan awal ke arah pelaksanaan program ini sedang giat dijalankan meliputi aspek kurikulum, syarat kemasukan dan infrastruktur serta perjawatan yang berkaitan.

Setelah melihat semua perkembangan, pencapaian dan beberapa perancangan masa depan Program Matrikulasi KPM ini sudah semestinya sambutan satu dekad Program Matrikulasi KPM diraikan secara gilang gemilang. Pada 28 Jun 2008, pelancaran sambutan Satu Dekad Program Matrikulasi KPM telah diadakan di Kolej Matrikulasi Melaka (KMM). Simboliknya, KMM merupakan kolej pertama dalam Program Matrikulasi KPM. Pelbagai acara telah diatur sepanjang tahun 2008 untuk memeriahkan sambutan satu dekad ini seperti pertandingan logo satu dekad, penghasilan cenderamata satu dekad, majlis makan malam dan sebagainya. Sambutan satu dekad Program Matruikulasi ini akan diakhiri dalam Majlis Penutup Program Matrikulasi Bersama Masyarakat sebagai kemuncaknya yang dijangka diadakan pada 8 November 2008.


Sumber: Utusan Malaysia 30.10.2008

 

04:02 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)