Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

04 December 2008

Matrikulasi teknikal

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Tiga sekolah menengah teknik dipilih untuk dinaik taraf sebagai Kolej Matrikulasi tahun depan

TIGA sekolah menengah teknik (SMT) akan dinaik taraf sebagai Kolej Matrikulasi yang menawarkan aliran pengajian teknikal khusus untuk lepasan sekolah terbabit, tahun depan.

Sekolah itu ialah SMT Pendang, Kedah; SMT Pontian, Johor dan SMT Jengka, Pahang dipilih hasil lawatan serta tinjauan Bahagian Matrikulasi, dan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran ke sekolah itu, baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata pemilihan itu mengambil kira pelbagai aspek berkaitan lokasi, prasarana dan persekitaran yang membolehkannya beroperasi sebagai kolej matrikulasi.

Katanya, proses menaik taraf SMT terbabit akan dilaksanakan secara berperingkat biarpun peruntukan bagi tujuan itu belum jelas sebagai persediaan awal menerima pelajar kumpulan pertama bulan Mei, tahun depan.

“Jumlah pelajar yang akan diambil bagi memasuki kolej itu bagaimanapun belum diputuskan namun kita menjangkakan pengambilan akan dibuat dalam jumlah sederhana.

“Dari segi syarat dan polisi kemasukan, ia sama seperti program matrikulasi sedia ada, namun kita ubah suai dengan memberi kelonggaran lulusan SMT tetapi tetap kompetitif kerana sistem merit diguna pakai bagi memilih pelajar yang layak,” katanya kepada Berita Harian, di Putrajaya.

Sambil menjelaskan banyak perubahan perlu dilaksanakan termasuk mewujudkan budaya dan persekitaran kolej matrikulasi yang berkonsepkan ala universiti di SMT terbabit, Zainal Abidin berkata, satu pasukan petugas khas dianggotai pegawai Bahagian Matrikulasi diwujudkan bagi melancarkan penubuhannya.

“Dari segi rangka kurikulum, kita berjaya mendapatkan maklum balas daripada Jemaah Dekan Kejuruteraan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membangunkan program komprehensif serta memenuhi keperluan IPTA di negara ini.

“Kurikulum dibangun bagi memberi pendedahan asas kukuh kepada pelajar aliran teknikal ke arah menjadi tenaga pakar dan profesional dalam bidang kejuruteraan serta perdagangan,” katanya.

Beliau menjelaskan, cadangan penubuhan kolej itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Akademik yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang pada 2 Julai lalu.

Keputusan itu katanya, sejajar strategi memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional yang dibentangkan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Datuk Yusoff Harun kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 25 Julai lalu.

Seterusnya, ia dipersetujui Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

“Pelaksanaan usaha ini dilihat sebagai laluan kepada lulusan cemerlang SMT melanjutkan pelajaran kerana sebelum ini mereka sukar mendapat tempat berikutan saingan sekolah lain seperti sekolah berasrama penuh.

“Malah pihak IPTA mengalu-alukan pelaksanaan ini yang turut memberi peluang kepada mereka mendapatkan pelajar berkelayakan bagi melanjutkan pengajian peringkat tinggi dalam bidang berteraskan kejuruteraan atau teknikal di universiti masing-masing,” katanya.


Sumber: Berita Harian 4 Disember 2008

03:53 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)