09 October 2007
Belajar Memberi Bukan Menerima
Terdapat pengajaran penting dari kisah di atas, bagi kita terutama yang telah berumah tangga, perlu mengubah paradigma berfikir bahawa kemuliaan yang sejati bukan berasal daripada apa yang orang lain berikan kepada kita, tetapi daripada apa yang mampu kita berikan kepada orang lain. Paradigma berfikir seperti ini perlu ditanamkan, sama ada dalam diri sendiri, pasangan hidup, mahupun pada anak-anak. Sesungguhnya memberi dengan ikhlas adalah amalan yang sangat mulia. Malah Rasulullah S.A.W. memberi gelaran "khairunnaas; manusia terbaik" kepada orang yang selalu memberi kerana mereka tidak menjadi bebanan kepada orang lain.
Baginda bersabda, "Sebaik-baik manusia adalah manusia yang paling banyak memberi manfaat pada orang lain".
Kesan baik daripada paradigma ini adalah "sebelum kita mampu memberi, kita perlu mempunyai sesuatu untuk diberikan. Untuk memiliki sesuatu itu, kita perlu berusaha memperolehnya."
Jadi ada kaitan rapat sifat memberi ini dengan sikap gigih berusaha. Ini kerana tentu sukar bagi seseorang untuk bersedekah wang sekiranya tidak memiliki wang yang hendak disedekahkan. Untuk memiliki wang, seseorang perlu berusaha. Begitu juga dengan ilmu dan kemahiran, bagaimana hendak mengajarkannya kepada orang lain jika seseorang itu tidak memiliki ilmu tersebut. Ilmu dan kemahiran diperoleh apabila seseorang gigih menuntutnya.
Demikianlah juga, jika kita inginkan anak-anak kita menjadi manusia terbaik, yang lebih suka memberi daripada menerima, maka kita sebagai orang tua akan berusaha mendidik jiwa anak-anak dengan benih-benih kebaikan. Diharapkan, benih-benih tersebut akan tumbuh menjadi pokok yang subuh yang buahnya dapat dinikmati oleh orang ramai.
Ketika ibu bapa menginginkan anaknya berilmu dan beramal, maka ibu bapa perlu berusaha menanamkan cinta ilmu pada dirinya dan anak-anaknya.
Jika ibu bapa inginkan anak-anak menjadi seorang yang dermawan, maka ibu bapa perlu mendidik anak-anak menjadi seorang yang "pandai" mencari wang dan bersifat pemurah. Jika ibu bapa inginkan anak-anak menjadi seorang yang suka membuat kebaikan, maka anak-anak perlu diisi jiwa mereka dengan akhlak mulia.
Bagaimanapun, semua ini tidak akan berkesan sekiranya ibu bapa tidak mengisi jiwanya terlebih dulu dengan nilai-nilai kebaikan tersebut. Dengan kata lain perlu ada contoh dan teladan terlebih dahulu, sama ada dalam berfikir mahupun dalam bertindak.
17:45 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)