Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 May 2006

Matrikulasi tak sekat ke IPTA

BH - 3/5/06
Masih layak dipertimbangkan untuk ikuti kursus asasi sains dan diploma

PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, pelajar yang diterima memasuki program matrikulasi Kementerian Pelajaran, masih berpeluang mengikuti pengajian asasi sains dan diploma di bawah Kementerian Pengajian Tinggi di 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Program itu meliputi Asasi Sains Universiti Malaya, Asasi Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia, Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan diploma di lapan IPTA.

Lapan IPTA itu ialah Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia, Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia, Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia dan Kolej Universiti Islam Malaysia.

Sumber memberitahu Berita Harian, pelajar yang sudah mendapat tawaran matrikulasi masih layak dipertimbangkan bagi mengikuti program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf di IPTA terbabit.

Beliau berkata, pertimbangan itu diberi kerana program kompetitif seperti pengajian perubatan, pergigian dan farmasi, dikhaskan untuk pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam SPM.

“Pelajar tidak perlu bimbang kerana peluang mereka tidak terjejas, walaupun sudah mendapat tawaran matrikulasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi, secara automatik digugurkan dalam senarai pengambilan bagi program asasi sains dan diploma di IPTA terbabit.

Tahun ini, Kementerian Pelajaran menawarkan tempat matrikulasi kepada 27,000 lepasan sekolah yang dijadual mendaftar 15 Mei ini.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka turut memohon program asasi sains dan diploma Kementerian Pengajian Tinggi dan tertanya-tanya mengenai status permohonan mereka.

Sumber itu menasihatkan pelajar terbabit supaya mendaftar dulu di mana-mana kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan menarik diri selepas mendapat tawaran program Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata, 11 IPTA terbabit menawarkan 41,000 tempat dan keputusan ke program di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dijangka diketahui pada minggu ketiga bulan depan.

12:55 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink