Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 May 2006

Tingkat prestij kolej matrikulasi

Tingkat prestij kolej matrikulasi




KUANTAN: Kementerian Pelajaran akan mewujudkan rantaian antara kolej matrikulasi tempatan dengan universiti terkemuka antarabangsa dengan sasaran menjadikan kolej berkenaan sebagai institusi pendidikan berprestij sekali gus diiktiraf pada peringkat dunia.




Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah penjenamaan semula program matrikulasi akan digerakkan secara bersepadu mulai tahun ini dengan Kolej Matrikulasi Pahang, di Gambang, dekat sini, menjadi perintis.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata, akan memastikan program yang digerakkan Bahagian Matrikulasi kementerian itu berjalan mengikut perancangan.

“Saya sendiri akan memastikan pelaksanaan rancangan penjenamaan semula dan program pengantarabangsaan kolej matrikulasi ini menepati sasaran dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan majlis penutup Program Jatidiri dan Kecemerlangan Akademik Pelajar Matrikulasi Sesi 2005/2006 dan Penyampaian Sijil MS ISO 9001:2000 kepada Kolej Matrikulasi Pahang, di sini, semalam.

Sejumlah 21,000 pelajar dan 2,100 pemudah cara dan penceramah terbabit dalam program jatidiri yang dijalankan setiap hujung minggu dalam tempoh sebulan.

Sehubungan itu, Hishammuddin mahu seluruh warga kolej matrikulasi pensyarah dan pelajar serta pihak pengurusan bersiap sedia berdepan cabaran baru itu kerana mereka yang akan menjayakan program itu.

“Berdasarkan pencapaian terkini pelajar, tenaga pengajar mahu pun pihak pengurusan, saya percaya kolej matrikulasi di negara kita sudah sedia menghadapi cabaran baru.

“Dengan sokongan padu kementerian, kita percaya kolej matrikulasi kita yang sudah membuktikan pencapaian terbaik mereka berupaya muncul sebagai kolej yang diiktiraf dunia,” katanya.

"Apa yang kita harapkan ialah kerjasama seluruh warga kolej untuk merealisasikan sasaran murni ini kerana merekalah yang berperanan besar untuk menjayakannya," katanya.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut mengadakan sesi dialog dengan pelajar Kolej Matrikulasi Pahang yang mengutarakan pelbagai pertanyaan membabitkan dasar pendidikan negara.

Pada satu soalan berkaitan sistem pendidikan yang dikatakan lebih menumpu kepada aspek peperiksaan, Hishammuddin bersetuju dengan pandangan itu dan pihaknya sedang berusaha keras bagi mengubah keadaan sedemikian.

"Kita sedang berusaha memberikan pengisian lebih bermakna terhadap sistem pendidikan kita supaya tidak terlalu menumpukan kepada peperiksaan dengan memberikan keseimbangan terhadap aspek lain yang juga penting," katanya.



Rujukan : BH - 06/03/06

08:00 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)